Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
"Pemandangan Sungai Pahang di Temerloh" -Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Isnin, 8 November 2010

SEJARAH ISLAM DI DAERAH BERA

TOKOH ULAMA SEKITAR DAERAH BERA
1600-1957.

Daerah Bera merupakan satu daerah yang sudah lama wujud di Pahang ;dulu di kenali dengan nama Daerah Mengkarak, pengasas kepada daerah ini tidak lain tak bukan ialah Tuk Mengkarak 1 ia itu Imam Zul Bayan atau yg bernama Hashim yang merupakan Mufti Pahang sekitar tahun 1720-1750.

Tuk Mengkarak (Imam Dzu Bayan)
(1630-1730)
Tokoh ini merupakan ulama yang mula membuka Kampung Mengkarak, di Daerah Bera. Beliau dikenali juga dengan nama Hashim. Beliau dikatakan berasal dari Sumatera dari suku Minangkabau, Ibunya adik beradik perempuan kepada Tuk Suji Bilang yang membuka penempatan di kawasan Temerloh.
Hubungan Imam Syahibudin dengan Imam Zu’l al-Bayan,dimana ibu Imam Dzulbayan merupakan adikberadik kepada Suji Bilang,datuk kpd Tuk Shahibudin;seperti berikut::

Tersayang-sayang pada rasaan
Kepada “Umbi” Datuk Perempuan
Orangnya arif lagi budiman
Upas jahil sudah termakan

Makam beliau kini terdapat di Mengkarak tetapi tidak dipelihara dengan baik. Makam ini terletak di tebing Sungai Pahang,kemungkinan besar dalam beberapa tahun lagi makam ini akan runtuh dihanyutkan oleh arus Sungai Pahang yang sentiasa mengubah tebing sungai.
Tokoh ini disebut oleh Tuk Shahibudin di dalam syair “Ghafilah ” dengan gelaran Imam Zu al- Bayan,yang bermaksud “Orang yang mempunyai kemampuan menjelas dan menerangkan sesuatu”. Beliau mempunyai kemampuan untuk menghuraikan dan mentafsirkan ajaran Hamzah Fansuri dengan jelas dan memuaskan hati pendenganr dari segi kefahaman teks,huraian dan tafsiran serta bandingan. Menurut cerita mitos beliau digelar “Imam Dua Bayang” yakni kerana kehebatan dan ketinggian ilmunya maka jika pada waktu malam beliau mempunyai dua baying tidak sebagaimana orang biasa yang mempunyai satu baying.
Tuk Mengkarak Seorang ulama yang terkenal di negeri Pahang dan menjawat jawatan Mufti ketika itu:

Cerita ini dipendekkan
Masyhur di Pahang Imam Zu’l al- Bayan
Ialah jadi Na’ib al-Sultan
Pulang kepadanya perintah sekalian

Dari sumber Tuk Shahibudin, beliau digelar Naib Sultan yakni pemangku sultan. Dari segi Bahasa Melayu kemungkinan kita memberi tafsiran bahawa beliau ini menjadi ganti sultan apabila baginda sultan tiada di dalam negara,ini telah menimbulkan beberapa kekeliruan sebenarnya maksud di sini beliau sebagai naib sultan di dalam hal-hal keagamaan, beliau menjawat jawatan mufti Negeri Pahang pada masa itu. Setakat nota ini ditulis,beliaulah merupakan mufti pertama(1700M) yang dapat dikesan secara jelas melalui bahan sejarah seperti Syair Ghafilah ini.
Beliau dipercayai mendapat pendidikan di Acheh kerana ajaran yang dibawa oleh beliau adalah dari Aliran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri dari Acheh, Oleh sebab kealiman beliau berbanding dengan ulamak-ulamak lain di Pahang ketika itu,dipercayai beliau mempelajari ajaran ini dari anak murid Shamsuddin Sumaterani.Sebuah buku karangan beliau dapat dikesan untuk membuktikan dakwaan ini. Sekembalinya ke Pahang beliau telah dilantik menjadi mufti.Ajaran yang di bawa oleh be;iau merupakan Ajaran Mertabat Tujuh sebagaimana beliau dapat dari gurunya Shamsuddin Sumaterani sebagaimana yang dijelaskan oleh Tuk Shahibudin di dalam Syair al Ghafilah:

Kepala ilmu mengenal diri
Dimisalkan tanah, buyung dan kendi
Sekalian alam wujud mazaji
Hanyalah Allah yang hakiki

Berbagai jenis kias dan misal
Siapa yang menang itulah handal
Alam Arwah , Alam Misal
Alam Ajsam , Insan Kamil

Alam Lahut , Alam Jabarut
Alam Nasut , Alam Malakut
Ayan Thabit dimisalkan ombak
Putus makrifat disanalah hanyut

Muhadith dan Qadim di sana terhimpun
Umpama laut ombak mengalun
Dimisalkan benih dengan pohon
Benihkan dahulu atau pohon?

Sedutan Syair Al Ghafilah

Huraian dari syair di atas mengenai ajaran Mertabat Tujuh yang diasakan oleh Hamzah Fansuri dan di bawa ke Pahang oleh Tuk Mengkarak boleh kita rujuk kepada sumber di bawah ini yang kami petik dari beberapa buah kitab.
Hamzah Fansuri ialah ulama sufi dan penyair Indonesia. Tahun lahirnya masih belum diketahui secara pasti. Ada yang berpendapat Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur pada penghujung abad ke-16 dalam wilayah kekuasaan Aceh. Negeri asalnya masih menjadi pertikaian, sama ada “Syahru Nawi”, “Bandar Ayuthia” ibu kota kerajaan Siam pada zaman dahulu atau Syahru Nawi, nama lama tanah Aceh sempena nama seorang Pangeran Siam bernama Syahir Nuwi yang datang membangunkan Aceh sebelum kedatangan Islam . Ada ulama yang mengatakan Hamzah penganut Syiah yang sesat, dan tidak kurang pula meyakini bahawa dia mengikut Mazhab Imam Syafie dalam bidang fikah dan mengamalkan tarekat Qadiriyah. Pegangan sufinya sama saja dengan Abi Yazid Bisthami, al-Hallaj dan Abdul Karim al-Jili, yakin tidak mencampuradukkan ajaran sufi mereka dengan ahli sufi seperti Imam Ghazali dan sebagainya Hamzah benar-benar mengalami sufi berupa praktik bukan teori, kerana susah payahnya semasa pengembaraan, sedangkan pada zamannya alat perhubungan tidaklah selancar sekarang.
Hamzah mengembara di seluruh Asia Tenggara, walaupun yang dicatat hanyalah negeri seperti Pahang, Kedah, Banten, Jawa dan Siam. Riwayat lain mengatakan dia pernah sampai ke Makkah, Madinah, Baghdad dan Parsi dengan selamat bahkan mungkin dia juga menguasai beberapa bahasa daerah di seluruh Asia Tenggara. Kecaman yang mengatakan dia berfahaman “Wahdatul Wujud” itu merupakan perkara biasa kerana berlaku hampir kepada semua ulama sufi. Beberapa karangan Hamzah ialah Asraarul ‘Arifiin, Syarbul ‘Asyiqiin, al-Muhtadi, Ruba’i Hamzah Fanshuri, Ziinatul Muwahhidin, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Dagang dan Syair PerahuDi dalam hal taswuf atau ilmu kesufian, Syeikh Hamzah Fansuri menganut paham Wahdat Al Wujud, yaitu paham kesatuan antara Mahluk dan Tuhan. Dalam hal ini beliau sangat dipengaruhi oleh para sufi seperti Muhyidin Ibnu Arabi, Abdul Karim Jili, Al Hallaj, Bayazid Al Bistami, Fariduddin Attar, Jalaluddin Rumi, Al Ghazali dan lainnya.
Pada tahun 1650 di Sumatera, khususnya di Aceh, terjadi perdebatan sengit tentang paham Wahdat Al Wujud yang melibatkan ahli-ahli tasawuf, ushuludin, dan fiqih pada saat itu. Perdebatan ini dibicarakan antara lain oleh Syeikh Nuruddin Ar-Raniri di dalam buku Bustan Al-Salatin, yang menentang paham Wahdat Al-Wujud dari Syeikh Hamzah Fansuri dan para muridnya.Perdebatan itu akhirnya memuncak menjadi perseteruan politik. Pada masa Sultan Iskandar Tsani (1937-1641), Syeikh Nuruddin Ar-Raniri diangkat menjadi qadi Sultan. Pada masa itu pula, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri kerap menyatakan di dalam khutbah-khutbahnya bahwa ajaran tasawuf Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsudin Sumatrani telah sesat, karena termasuk ajaran kaum zindiq dan pantheis. Kemudian atas saran Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan ulama istana Aceh pada waktu itu, Sultan Iskandar Tsani memerintahkan pembakaran ribuan buku karangan penulis penganut paham Wahdat Al Wujud di halaman masjid Raya Kutaraja. Karya-karya Syeikh Hamzah Fansuri juga termasuk yang dibakar. Bahkan, para murid dan pengikut Syeikh Hamzah Fansuri banyak yang dikejar-kejar dan dibunuh

Oleh kerana syair-syair Hamzah dibawa ke Pahang dan diajarkan di pusat-pusat pengajian di Pahang ketika itru,maka kita dapati lahir seorang tokoh penyair di Pahang iaitu Tuk Shahibudin(1708) yang juga menulis syair-syair untuk menolak ajaran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri ini di Pahang.Syair-syair beliau merupakan kecaman-kecaman terhadap pengikut fahaman ini yang hanya mengikut secara membuta tuli.
Di samping itu , Tuk Mengkarak oleh kerana berketurunan bangsawan beliau juga mahir di dalam pentadbiran;di antara jasa beliau ialah membina sebuah mahkamah timbang tara bagi menghukum pesalah,Setiap pesalah yang ringan atau yang dikenakan denda akan diletakkan di atas satu dacing yang mempunyai dua piring. Semua pesalah dinaikan ke atas salah satu piring dacing itu, manakala dacing yang disebelah lagi diletakkan padi atau beras,pisang jagung dan sebagainya. Cara ini pernah ditegur oleh Pak Sako di dalam bukunya. Ini kerana Pak Sako tinggal di Kampung Buntut Pulau yang mana masih menyimpan dacing tersebut sekitar tahun 1930an,dacing ini diwarisi dari Imam Muda Mamat anak kepada Imam Zul’ al –Bayan yang tinggal di sana.Pak Sako mungkin tidak memahami konsep Takzir di dalam Islam, konsep ini mempunyai pelbagai cara bagi si Hakim untuk menjatuhkan hukuman bagi kesalahan kecil dan kesalah yang tidak ada di dalam hokum Hudud dan Qisas. Sebenarnya cara ini tidak salah kerana bagi kesalahan takzir,si hakim mempunyai kebebasan untuk menjatuhkan hukuman. Mungkin cara ini sesuai pada zaman dahulu yang mana denda bagi setiap kesalahan kecil berupa pisang,ubi,padi dan beras.
Di samping itu beliau juga membina sebuah tali air bagi pengairan sawah di Kampung Mengkarak.Ini bagi meningkatkan pendapatan petani.





Tuk Mengkarak 11 (Imam Nur Qadim1670-1760)
Tokoh ini juga dikenali melalui syair “Ghafilah” yang dikarang oleh Tuk Shahibudin sekitar tahun 1720 yang menyebutkan nama beliau, yang merupakan seorang ulamak yang alim dan banyak membantu ayahndanya di dalam urusan pentadbiran agama di negeri Pahang ketika itu. Semasa hayatnya beliau mengaji kepada bapanya dan kemudian dipercayai mendalami ilmu Mertabat Tujuh di seluruh pelusuk Negeri-negeri Melayu yang ketika itu sangat kuat dipengaruhi oleh aliran Hamzah ini.

Kemudiannya itu Imam NurQadim
Anak yang tua lagipun alim
Mertabat besar terlalu rahim
Seisi Pahang, tawakal dan salim

Ramai pengkaji tersilap di antara Imam Zu ‘l al-Bayan dengan tokoh ini apabila menyebut mengenai “Tuk Mengkarak”.Tokoh ini merupakan Tuk Mengkarak yang kedua,Tuk Mengkarak yang pertama adalah Imam Zul Bayan. Beliau merupakan mufti kedua yang dapat di kesan yang mengantikan ayahndanya setelah ayahndanya meninggal dunia. Maqam beliau terdapat berhampiran dengan masjid Mengkarak dan juga kesan masjid yang didirikan oleh beliau masih terdapat di sana. Tokoh ini merupakan seorang pendidik yang mempunyai murid yang sangat ramai diPahang ketika itu, namun hasil karya beliau tidak dapat dikesan walaupun menurut sumbar yang tidak rasmi masih ada beberapa orang yang menyimpan naskah-naskah syair karangan beliau.
Imam Nur Qadim mahir di dalam Ilmu Mertabat Tujuh,beberapa perdebatan telah diadakan dengan Imam Syahibudin yang menentang aliran ini,akhirnya oleh kerana pengaruh Gerakan Pembaharuan di Acheh yang dipimping oleh Sheikh Nuruddin al Raniri berjaya mengalahkan fahaman ini,maka Imam Nur Qadim pun mengistiharkan bahawa pendapat mufti Acheh ketika itu dianggap benar dan betul. Kejayaan Tuk Shahibudin mengalahkan Imam Nur Qadim di dalam perdebatan mungkin kerana pada masa itu terdapat pelbagai ajaran di Pahang yang sedikit sebanyak disedari oleh Imam Nur Qadim akan masalah tersebut. Ajaran yang pelbagai bentuk dan cara ini membuatkan terdapat pelbagai ajaran sesat di Pahang ketika itu yang berakarkan Salek Buta dan ajaran Hakikat yang tidak diketahuan asal dan puncanya.
Maka semula penduduk negeri Pahang kepada fahaman Widatul Suhud bukan lagi Widatul Wujud.

Che Walat Sulong Keramat(1750)
Keramat Kuala Bera, seorang ahli di dalam Ilmu Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri dan mengajar juga Ilmu Hakikat dan Makrifat. Tokoh ini disebutkan oleh Tuk Shahibudin di dalam Syair Ghafilah:

Asal makrifat tiga perkara,
Pertama itu akal yang sempurna,
Kedua itu panca indera,
Ketiga riwayat dengan cerita.

Segala yang jahil bernama zulumat,
Kepalanya itu kafir dan murtad,
Kemudian jahil tiada bertaubat,
Seperti Che Walat Sulung Keramat.

Kalau kita perhatikan bahawa kritikan Tuk Shahibudin ini agak keras kepada tokoh ini. Akan tetapi ini bukan sebagaimana kita gambarkan.Kita mesti memahami situasi di Pahang ketika itu yakni sekitar tahun 1720, banyak berlaku krisis politk dan kepimpinan di Pahang disamping krisis akidah sebagaimana di Acheh. Tuk Shahibudin keseorangan pada masa itu untuk menghadapi lawan yang ramai. Pelbagai cara beliau gunakan untuk menbawa lari masyarakat Pahang dari fahaman Mertabat Tujuh yang berakarkan Widhatul Wujud kepada fahaman beliau yang berasaskan Wihdatul Suhud.Apabila beliau menulis sesuatu beliau cuba membawa audien beliau membenci dan melarikan diri dari ajaran yang sedia ada,maka kita dapati beliau menggunakan kata-kata yang agak keras dan kasar.
Diantara ajaran yang dibawa oleh Che Walat Sulong Keramat ialah Ajaran Mengenal Diri, Hakikat Diri dan Diri yang sebenar diri. Dipercayai ajaran ini merupakan olehan beliau dari apa yang beliau pelajari dari Tuk Ku Pulau Manis yang mengajar Kitab Hikam dan juga berasaskan kepada Ajaran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri di Acheh.. Keterangan-keterangan dari Kitab Hikam sangat mengelirukan hingga menyebabkan pelbagai tafsiran dibuat oleh para pengkaji kitab tersebut,Bagi Tuk Shahibudin, ilmu yang semacam ini lebih merupakan imijinasi dan rekaan dari sebahagian para ulamak yang tidak patut dibicarakan di hadapan orang awan yang jahil. Walaupun method ini tidak salah untuk dibicarakan tetapi kadar akal orang awam tidak mampu untuk memahami ilmu ini dan akan menyebabkan mereka sesat.
.Imam Koming(1800an)
Beliau di percayai berasal dari Kampung Pedah di Jerantut,dalam satu perjalanan beliau bertemu dengan seorang pahlawan yang bernama Panglima Koming,orang besar raja. Panglima Komeng menerima kurniaan Sultan Ahmad kerana jasa-jasa beliau membantu Baginda menguasai negeri Pahang, dalam perjalanan yang sama maka kedua-dua Komeng ini bertemu di satu tempat dan mereka dikatakan mengadu kekuatan masing-masing dengan ilmu yang dipelajari di atas perahu masing-masing. Oleh kerana mereka tidak dapat mengalahkan antara satu sama lain maka akhirnya mereka berdamai dan mengaku bersaudara.Maka Pahlawan Koming menjadikan Imam Koming sebagai menantu beliau. Kedua mereka membuka perkampungan di tempat mereka beradu tenaga,kekuatan ilmu zahir dan batin , lalu kampong itu dinamakan dengan sempena tempat mereka mengikat perahu mereka iaitu di Juai Buluh di dalam Sungai Pahang. Oleh kerana sebutan “Juai” menjadi berat pada sebutan lidah maka lama kelamaan di sebut “Guai” sehingga kehari ini di sebut Kampung Guai.Beliau merupakan tokoh yang pertama dapat dikesan mendirikan pondok di Kampong Guai, Bera. Gandingan dua tokoh yang mempunyai kehebatan ilmu dunia dan ilmu akhirat ini akhirnya menjadikan kampong ini tempat rujukan penduduk setempat mendapat pendidikan agama.

.Imam Kassim bin Imam Koming (1840 an)
. Kadi Ismail(1860an)
Kampung Guai adalah diambil nama sempena nama seorang perempuan yang jelita pada masa dahulu. Gadis ini telah dikahwinkan dengan En Comot iaitu cucu kepada Imam Dzu’l al- Bayan. Hasil dari perkahwinan ini maka kedudukan kampong Guai mula berubah. Semangat keagamaan semakin kuat maka mulalah didirikan pondok pengajian di sana. Di antara tanda ketinggian ilmu keagamaan di kampong tersebut lahirnya seorang alim yang akhirnya menjawat jawatan Kadi di Daerah Bera. Kadi Ismail,maqamnya masih kekal sehingga hari ini di Kampung Guai berhampiran dengan Sekolah Agama Al Ittifaqiyyah. Anak cucu beliau ramai yang menjadi ustaz dan ulamak di antaranya Ustaz Ahmad di Kampung Tuk Langit Guai Seberang.
.Tuan Haji Semaun bin Haji Ishak(1900an )

Tokoh ulama ini berasal dari Negeri Sembilan ,ibunya bernama Hajjah Fatiah yang berkahwin dengan bapa kepada Kadi Ahmad di Kg Berhala Gantang,Haji Semaun datang ke Pahang untuk tinggal bersama bapanya akan tetapi membatalkan hasrat beliau apabila dipanggil oleh penduduk kampung Guai untuk menetap di sini.
Di Kampung Guai beliau telah berkahwin dengan Cik Putih anak kepada Imam Kassim bin Koming yang merupakan imam tua di kampung tersebut,beliau juga berkahwin dengan isteri keduanya orang kampung Paya Kecil.
Beliau mendirikan pondok di tapak balai raya kampung Guai dan juga sebuah masjid di situ. Oleh kerana beliau terkenal dengan kealimannya maka ramailah penduduk sekitar yang datang mengaji ke Guai antaranya Bilal Ahmad, bapa kepada Tuk Empat Omar. Anak muridnya datang dari Bera,Lebak,Batu Papan sehingga ke Buntut Pulau

.Imam Awang bin Imam Kassim (1920an
.Tuan Imam Haji Abdul Kadir bin Long
Bapa tokoh ini berasal dari Kampung Pulau Tawar Jerantut, datang ke Kampung Guai untuk menuntut ilmu dari Tuan Guru Haji Semaun. Setelah habis mengaji bapa beliau berkahwin dengan seorang wanita penduduk Kg Guai yang bernama Juriah.
Sejak kecil beliau menuntut ilmu dari Tuan Guru Haji Semaun,bapa beliau seorang yang cintakan agama sehingga semua anak-anaknya disuruh mengaji ilmu agama dan menjadi orang yang alim seperti Tuan Haji Sham,Lebai Husin dan Mak Cu Busu merupakan guru quraan di Kampung Guai.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Kelantan dan Patani selama lebih sepuluh tahun. Beliau sangat alim di dalam ilmu keagamaan,setelah tamat pengajian beliau di Patani, Haji Abdul Kadir di panggil oleh Kadi Kuala Lipis pada masa itu membantu beliau mengajar di pondok Kampung Tanjung Besar di Kuala Lipis.
Beliau tinggal di Tanjung Besar sejak dari tahun 1926 hingga ke awal perang Jepun dalam tahun 1940,kemudian beliau kembali ke Kampung Asalnya di Guai dan membuka pondok pengajian dimana beliau sebagai pengetuanya sehingga ke tahun 1950.

.Tuan Guru Haji Abdul Majid bin Buyong (1910-1956)
Tuan Guru Haji Abdul Majid bin Buyong al Hafiz,meninggal pada tahun 1956, Berasal dari Ulu Langat Selangor,Beliau berketurunan dari suku Mendailing, apabila usianya remaja dihantar oleh kedua orang tuanya menghafal al Quraan di Kelang, setelah tamat pengajian di Kelang menyambung pengajian di Kedah. Setelah tamat di Kedah,Tuan Guru merasa tidak puas hati dengan ilmu yang ada datang ke Pondok Benut Payung untuk belajar di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir sekitar awal tahun 1940an.
Di Kelantan,Tuan Guru bertemu dengan ramai pelajar dari Pahang terutama dari Kampung Guai,Tuan Guru juga sempat bertemu dengan Tuan Guru Haji Hasanuddin Mohammad dari Kampung Berhala Gantang. Setelah hampir 5 tahun di Kelantan, Tuan Guru Haji Majid berhasrat untuk ke Mekah,akan tetapi beliau telah dipelawa oleh rakan-rakannya dari Kampung Guai untuk membuka pondok di kampung ini. Hasrat itu disambut oleh beliau dengan senang hati.
Di Guai beliau berkahwin dengan Cik Nah mendapat tiga orang anak: En Ismail,Ustaz Abdul Aziz dan Salamiah.Isteri kedua bernama Badariah bte Hashim, mendapat dua orang anak: Ustaz Ishak dan Ustazah Rubiah (UKM), Isteri kedua Tuan Guru adalah berasal dari keturunan Cina yang memeluk Islam terkenal dengan panggilan “Tukang Hashim”, beliau pandai membina rumah;antara pekerjaan utama beliau mengambil upah membina masjid. Kesemua anak Tuan Guru tinggal di luar Kampung Guai.
Tuan Guru memulakan pondoknya di satu kawasan yang berhampiran dengan Sungai Pahang di atas tapak seluas setengah ekar,maka didirikan sebuah bangunan dan dibuatkan sebuah rumah untuk beliau. Sebuah surau didirikan di sebelah hulu masjid bagi tujuan mengajar dan latihan solat jemaah, dari surau ke rumah Tuan Guru dibuat satu titian yang panjang supaya memudahkan tuan guru datang ke surau pada waktu solat.Pondok ini mendapat sambutan yang hangat dari penduduk setempat.Menurut En Mohamad bin Mat Taib, sambutan penduduk tempatan terhadap pondok ialah kerana ketika itu zaman dharurat,maka sebahagian penduduk kampung Lebak,Tengguh,Mengkarak datang ke Kampung Guai meminta perlindungan dari Tuan Guru, Sdr Manaf Jepun yang menguasai kawasan Guai ketika itu sangat hormat kepada Tuan Guru Hj Majid dan memberi janji bahawa pasukannya tidak akan membuat kacau di Guai. Keistemewaan Tuan Guru,beliau tidak suka bercakap kosong atau sia-sia, jika tidak ada apa yang hendak diperbualkan maka beliau akan mengaji Quraan dengan kuat,biasanya jika ada jemputan kenduri maka dari penambang ke rumah yang dituju beliau akan diiringi oleh penyambut tetamu dari belakang dan di hadapan beliau akan mengaji al Quraan. Kemerduan suara Tuan Guru menarik hati penduduk setempat untuk semakin rapat kepada beliau.Tuan Guru juga mengadakan kelas Maghrib setiap malam di Masjid Beliau,kelas ini khusus untuk golongan dewasa. Setiap malam di adakan kelas Tafsir,Fekah,Tasawuff,Tauhid dsb, Bagi pelajar pondok pula kelas di adakan sesudah solat subuh dan sebelah pagi, mereka diajar mengikut peringkat kemampuan mereka. Di antara murid Tuan Guru yang masih hidup ialah: Abu Osman bin Abu Bakar (Lanjut),Abdul Wahab bin Osman(Guai),Hj Ahmad bin Chik (Guai),Mat Sham(Buntut Pulau),Ustaz Hj Idris bin Omar(UKM)Usia Tuan Guru tidak panjang, dalam umurnya lebih kurang 46 tahun beliau meninggal dunia.
. Lebai Jaafar bin Abdul Majid ( - 1962)
Tuan Guru Haji Abdul Majid digantikan oleh Lebai Jaafar bin Abdul Majid,Beliau adalah berasal dari Kampung Kerdau, mendapat didikan awal dari Tuan Guru Haji Ibrahim,Bukit Ketumbit Kerdau dan Tuan Guru Haji Bakar Lagu. Beliau merupakan murid Tuan Guru yang paling cerdik dan mempunyai suara yang sangat merdu terutama apabila membaca al Quraan dan berzanji.Dengan kebolehan ini maka beliau dilantik menjadi Mudir mengantikan Tuan Guru. Usia beliau juga tidak panjang, ini kerana setelah berkahwin kesihatan beliau tidak begitu baik dan selalu sakit-sakit. Keadaan ini menyebabkan madrasah tidak terurus dengan baik dan sempurna.ramai pelajar mula lari meninggalkan sekolah.
Setelah empat tahun menjadi mudir di sekolah ini beliau kembali ke rahmatulllah. Antara adik beradik beliau yang dikenali ialah Sdr Yusuf Majid(bekas suami kepada seniwati Sarimah)

. Tuan Guru Hj Ahmad bin Hj Chik (1935 - )
Lebai Jaafar digantikan pula oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Chik yang mentadbir sekolah ini dari tahun 1961 sehingga 1998, Tuan Guru Hj Ahmad dilahirkan di Kampung Teluk Sentang Mk Sanggang pada 22.9.1935Pendidikan awal di Sek Melayu Kg Sanggang,kemudian di Sekolah Melayu Kg Teluk Sentang . Kemudian beliau dihantar mengaji ke Kampung Guai di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Majid pada tahun 1949 hingga ke tahun 1954, setelah tamat di Sekolah ini beliau menyambung pengajian di Sek Men Agama Arjunid di Singapore . Kemudian Tuan Guru mendapat tawaran belajar di Kolej Islam Kelang di Selangor. Di sana pengajian hanya sempat dihabiskan selama setahun sahaja kerana kekurangan perbelanjaan. Akhirnya beliau kembali ke kampong halamannya dengan hati yang berduka lara.
Pada bulan Januari 1961 telah datang dua orang dari Kampung Guai ke rumah beliau di Teluk Sentang menjemput Tuan Guru datang ke Guai untuk mengantikan Tuan Guru Haji Jaafar. Kedua yang datang itu ialah Ketua Kampung Guai, Tuk Empat Salehuddin dan Ustaz Abdul Rahman bin Haji Kadir. Bermula pada 8hb Jan 1961 maka Tuan Guru mulalah menhidupkan Sekolah Menangah Agama Al Ittifaqiyyah,Kg Guai dengan bersungguh-sungguh hingga dapat melahirkan sebilangan ramai anak murid yang berpendidikan tinggi dan berjaya.Bermula dengan sistem pondok kemudian terus kepada sistem sekolah agama moden yang mana sekolah dilengkapi dengan kemudahan asrama dan bilik kelas yang teratur. Dengan usaha Tuan Guru bermula dari tapak seluas setengah ekar sehingga hari ini jumlah keseluruahan tapak sekolah seluas 12 ekar, terletak di atas kawasan bukit yang cantik pemandangannya.Sekolah Men Agama Al Ittifaqiyyah di ambil alih oleh Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1998 kerana memandangkan negeri ini masih kekurangan sekolah agama kerajaan negeri dengan itu maka jumlah sekolah Kerajaan Negeri Pahang sebanyak 18 buah. Perjuangan beliau untuk menghidupkan sekolah ini merupakan satu perjuangan yang lama dan sukar, ini kerana kedudukan sekolah ini jauh dari arus perdana, akan tetapi hampir lebih 50 orang bekas pelajar sekolah ini berjaya di dalam pendidikan antaranya Tuan Haji Abdul Rahman Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Pahang, Penceramah terkenal Ustaz Mahmud Mat.
Tuan Guru berkahwin dengan Rahmah bt Ismail ,isteri beliau merupakan cucu kepada Kadi Ibrahim bin Hurairah. Di Kampung Teluk Sentang terdapat ramai adik beradik kepada Kadi Ibrahim sebapa , Dari hasil perkahwinan ini beliau memperolehi tiga orang anak; Ustaz Faisal bin Hj Ahmad, Ustazah Salwa bin Haji Ahmad dan Muzammil bin Haji Ahmad.

2 ulasan:

  1. Admin tumpang sekejap yer...
    Mana -mana individu yang berminat melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Temerloh, Pahang dalam program 'Furniture Design' boleh hubungi sms/wassup di 0148004302 -mohd, Yuran semester yang murah dan dapat elaun(bukan pinjaman) lagi
    elaun : rm1200/sem
    yuran : rm200/sem
    https://www.facebook.com/PerabotKKtemerloh

    BalasPadam

Ikuti SIP