Sunday, November 7, 2010

SENARAI ULAMAK DLM SYAIR GHAFILAH

SENARAI ULAMAK PAHANG YANG DISEBUT OLEH
TUK SHAHIBUDIN DI DALAM SYAIRNYA BERJUDUL
“SYAIR AL GHAFILAH”
SEKITAR TAHUN 1720-1800 MASEHI.


Ingat-ingat kita disini
Hendakkan laba menjadi rugi
Bidaah dan karut memenuhi bumi
Kepala yang zahir Maulana Sofi

Lainnya itu tersangat banyak
Malas mengata jadi mengumpat
Terkenangkan kaum banyak yang sesat
Berkata pun tegah di dalam berhemat

Mohammad Arif menyatakan pulak
Akan Che Wok dua beranak
Mentua dan bini Haji Ishak
Khatib Junid bersama pulak

Lain nya itu berapa banyak
Daerah Temerloh serta Mengkarak
Setengahnya yakin setengahnya tidak
Setengahnya benci dikatakan lawak

Nakhoda Abdullah di Sungai Mak Dulang
Mengajarkan ilmu dari Tuk Marang
Jibri dan Qadir, mukaranah sembahyang
Memutuskan kata tali dipinggang

Demikian lagi Si Kaya Seman
Melingguk zikir kiri dan kanan
Sampai kepada Duli Pertuan
Ajad Atar melengakan


………………………



Asal makrifat tiga perkara
Pertama itu akal yang sempurna
Kedua itu panca indera
Ketiga riwayat dengan cerita

Segala yang jahil bernama zulumat
Kepalanya itu kafir dan murtad
Kemudian jahil tiada bertaubat
Seperti Che Walat Sulung Keramat

Kemudian banyak tiada berbilang
Berbilang rantau daerah Pahang
Lebai Ajam To Malim Panjang
Di dalam Badok daerah Sanggang

……………………………………..


Cerita ini dipendekkan
Masyhur di Pahang Imam Zul bayan
Ialah jadi Naib sultan
Pulang kepadanya perintah sekalian

Kemudian itu Imam Nur qadim
Anak yang tua lagipun alim
Mertabat besar terlalu rahim
Seisi Pahang tawakal dan salim


Jalan agama tatkala itu
Sebarang jenis sekalian laku
Berbuat ibadat sekalian nafsu
Tukang tidak membuang kayu

Berapa banyak yang handalan
Dari Jelai sampai ke Pekan
Kampung Makasar bergelar To’Uban
Di rantau Temerloh berbilang pegangan

Kepala ilmu mengenal diri
Dimitalkan tanah buyung dan kendi
Sekalian alam wujud mazaji
Hanyalah Allah yang hakiki

Berbagai jenis kias dan misal
Siapa yang menang itulah handal
Alam arwah, Alam misal
Alam ajsam, Insan Kamil

Alam lahut, Alam jabarut
Alam nasut, Alam Malakut
Ayan Thabit dimisalkan ombak
Putus makrifat disanalah hanyut


Keratan syair ini menyebutkan seblilangan ulamak yang terdapat di Pahang sekitar tahun 1700 hingga 1800 masehi, mereka ini mewakili pelbagai aliran dan pegangan yang wujud di Pahang pada masa itu. Syair Al Ghafilah ini ada di dalam simpanan Sdr Ariffin Said iaitu seorang ahli Budayawan Pahang yang pernah menjadi pensyarah di UPM Serdang.

Golongan dari anak murid kepada Tuk Ku Pulau Manis:
1) Maulana Sopi, Cenor Maran Pahang
2) Tuan Guru Haji Mohammad Arif
3) Tuan Guru Encik Siwok
4) Tuan Guru Haji Ishak
5) Tuan Guru Khatib Junid
6) Nahkoda Abdullah di Sungai Mak Dulang Pekan
7) Ulamak wanita: Mentua dan bini Haji Ishak
(tokoh ini tidak dapat dikesan tempat kegiatan mereka….)

Golongan pembawa aliran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri:
1) Tuk Uban Kampung Makassar,Pekan
2) Orang Kaya Shahbandar Osman,Pekan
3) Encik Walat Sulung Keramat Kuala Bera
4) Lebai Ajam Tok Malim Panjang Kg Badok Mk Sanggang,Temerloh
5) Mufti Imam Dzul Bayan, Mengkarak Bera
6) Anaknya : Mufti Imam Nur Qadim,Mengkarak Bera
7) Anaknya: Imam Muda Mohamad, Buntut Pulau Temerloh

Golongan Wihdatul Suhud:
1) Tuk Suji Bilang, Kg Tanjung Keramat Temerloh.
2) Kadi Ismail Mendailik, Kg Bangau Tanjung Temerloh
3) Tuk Shahibudin,Kg Berhala Gantang,Temerloh


Aliran pengajian di Pahang sekitar tahun 1600-1800.

Dizaman penguasaan Melaka, Negeri Pahang di kuasai oleh golongan ahli sufi yang membuka pusat pengajian mereka di Lubuk Pelang,Kuala Krau Pahang.Selepas tahun 1600,Pahang telah di serang oleh Acheh,kesannya rakyat Pahang mulai dikuasai oleh Golongan Mertabat Tujuh kerana Negara Acheh pada masa itu dikuasai sepenuhnya oleh golongan ini. Pada awal 1700,ramai para ulamak Pahang belajar kepada Tuk Ku Pulau Manis di Terangganu,maka lahir pula golongan Bersufi-sufi diri kerana Tuk Ku Pulau Manis terkenal dengan kitab Al Hikam melayunya.

Apabila Tuk Shahibudin balik ke Pahang sekitar tahun 1750an,beliau berhadapan dengan pelbagai masalah akidah dan kepercayaan dikalangan rakyat Pahang.Terdapat golongan Ahli Sufi,golongan Mertabat Tujuh,Golongan Hakikat,Golongan Pendekar,Golongan Pawang,Golongan Tukang ramal,Kepercayaan Khurafat dan Bidaah. Maka dari situ Tuk Shahibudin cuba membawa kesemua rakyat Pahang supaya kembali rapat kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah atau di sebut Aliran Widatul Suhud.Maka lahirlah syair-syair karya beliau seperti Syair Asyikin (terbitan kementerian kebudayaan dan kesenian)dan syair di atas ini.


Ingatan:

Anak anak Pahang yang hendak membuat M.A dan Phd patut mengkaji sejarah islam Pahang sebab ini sejarah negeri mereka……….

0 comments:

Post a Comment