Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Ahad, 4 September 2016

Perkembangan Syair Keagamaan di Pahang.


SYAIR




Pendahuluan
Syair keagamaan mula diperkenalkan di dalam bahasa Melayu oleh Hamzah Fansuri di Acheh. Kebanyakan syair hasil karya beliau adalah di dalam bentuk syair tasawuff yang membawa ajaran Mertabat Tujuh yang terkenal itu. Di samping syair-syair yang di hasilkan oleh Hamzah terdapat juga sebuah lagi syair yang agak awal iaitu sebuah syair berbentuk roman yang berrtajuk “Syair Ken Tembuhan” syair ini tidak di ketahui siapa pengarangnya.

Gambar Hiasan - penyair.wordpress.com

Perkataan “ syair”  di ambil dari perkataan Arab; ia berupa serangkap puisi yang mengemukakan idea yang lengkap. Syair sangat popular di kalangan orang Arab,sehingga penyair-penyair di zaman Jahiliah dianggap aset yang sangat penting bagi sebuah kabilah atau puak-puak yang terdapat di Tanah Arab. Zaman Jahiliah dianggap zaman kemuncak perkembangan syair di kalangan orang Arab. Setelah orang Arab menerima Islam,syair terus diperkembangankan dan disuaikan dengan tatasusila Islam,apabila agama Islam diterima oleh penduduk di Alam Melayu,maka mereka menjadikan syair salah satu bentuk hiburan dan penyampaian maklumat di kalangan mereka. Walau bagaimanapun syair Melayu berlainan bentuk dan rentaknya dari syair Arab. Syair di Alam Melayu lebih menyerupai pantun dari segi bentuk dan rangkapnya.

Hamzah di anggap sebagai orang yang pertama mencipta syair Melayu,ini kerana beliau ada mengariskan cara-cara bagi membuat syair. Pelbagai bentuk ragam dan rentak syair yang dihasilkan oleh Hamzah. Selepas syair diperkembangkan oleh Hamzah Fansuri,maka syair digunakan dengan meluas oleh para pendidik untuk menyampaikan ilmu pengetahuan terutama bagi peringkat kanak-kanak.Disamping itu juga syair mendapat tempat di kalangan para pencinta kisah-kisah roman. Beberapa hasil karya roman di syairkan seperti Syair Dendang Setia,Syair Siti Zubaidah dsb.

Syair-syair  di Negeri Pahang
Karya syair mula dikesan di negeri Pahang adalah di dalam Bahasa Arab,ia tertulis pada batu nesan yang dijumpai di Pulau Tambun di Pekan Pahang bertarikh 419H/1020 M. Potongan syair itu menceritakan tarikh kematian si empunya makam tersebut yang bemaksud:
        
Ingatlah dunia ini laksana kenderaan,
Datang nya di waktu petang ,
Dan berlalunya diwaktu subuh,
        ……………………………………………..

Syair di dalam bahasa Melayu yang pertama setakat ini dapat di kesan di negeri Pahang adalah merupakan perbualan di antara Tuk Shahibudin(1708-1800) dengan bapa saudaranya Imam Zul’ Bayan(1650-1730) yang dikumpulkan oleh Sejarawan Pahang; Encik Zakaria Hitam,syairnya seperti di bawah:

Iman Syah Budin alim Betawi,
                Batu Intan dikata kawi,
Berbuat ibadat bersayo diri,
Seperti kelakuan orang mencuri.

Ilmu Usul (luddin) terlalu payah,
Sekalian ulamak selalu membantah,
Jikalau tak kena kata sepatah,
Menjadi kafir nauzubillah.

Oleh kerana negeri Pahang ketika itu menerima ajaran Mertabat Tujuh yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri; maka dengan mudah kita membuat kesimpulan bahawa syair mula diperkenalkan di Pahang menerusi syair-syair Hamzah yang di sebarkan dan dipelajari di Pahang ketika itu.Pengaruh Hamzah begitu kuat hampir kesemua pusat pengajian di Pahang sekitar akhir 1600 dan awal 1700 masehi mengajar aliran ini,kecuali pusat pendidikan di Kampung Bangau Tanjung di bawah Tuan Guru Haji Ismal yang merupakan guru kepada Tuk Shahibudin.Syair-syair begitu banyak dihasilkan di Pahang ketika itu tetapi di gelar “Syair Rejam” sebagaimana di Berunei Darul Salam.

Koleksi Syair Tuk Shahibudin
Di antara koleksi syair yang banyak  didapati di Pahang ialah hasil karya Tuk Shahibudin. Karya  di dalam bentuk syair yang dimiliki oleh orang persaorangan seperti naskah-naskah simpanan Puan Saadiah,Imam Mohd Yassin, Puan Sharifah dan Dato’ Shahibudin Imam Mohammad.

Naskah yang paling sempurna setakat ini di dalam simpanan Dato Shahibudin bin Imam Mohammad. Koleksi ini mempunyai kesemua hasil karya Tuk Shahibudin yang belum dijumpai setakat ini seperti Syair Kebun dan Syair Pembasuh Tangan. Koleksi yang disimpan oleh Imam Mohd Yassin adalah di antara naskah yang paling mudah di baca kerana tulisannya baru dan naskah pun baru bukan asal.

Syair yang dihasilkan oleh Tuk Shahibudin  ialah Syair Asyikin,Syair Ghafilah,Syair Usul,Syair Tumbuhan dan Sifat Dua Puluh. Hasil karya beliau yang paling mendapat perhatian ialah Syair Ashikin.


Syair-syair Lain
Sesudah zaman Tuk Shahibudin, perkembangan syair berterusan di zaman Khatib Hassan(1750-1830) yang banyak meniru gaya Tuk Shahibudin iaitu di sekitar awal 1800. Sayangnya naskah karya beliau tidak ditemui.Dipercayai Syair Kebun, Syair Pembasuh Tangan adalah karya beliau.

Pada awal 1920 dijumpai satu lagi syair yang dipercayai ditulis oleh Imam Yaakub dari Sanggang Temerloh Pahang. Syair ini berbentuk syair keagamaan dibidang Tajwid atau “Syair Tajwid”. Syair ini agak jelas dan kemas penulisannya tetapi bukan dari naskah asal.

Di tulis di atas buku penulisan biasa Imam Yaakub merupakan seorang yang ahli dibidang Tajwid dan begitu lama mengaji di Mekah dan pernah membawa balik bersama beliau seorang hamba Habsi perempaun yang dibeli di Jeddah. Beliau membuka pondok pengajian di Kampung Sanggang Seberang.

Bentuk-bentuk Syair
A)  Syair yang di hasilkan oleh Tuk Shahibudin kebanyakannya mengenai kritikan kepada Ajaran Mertabat Tujuh yang terdapat di Pahang di awal kurun ke 18,seperti Syair Asyikin dan Syair Ghafilah. Terdapat juga syair di dalam bentuk pelajaran seperti Syair Usul dan Syair Sifat Dua Puluh yang berkaitan dengan Ilmu Tauhid.Syair yang di hasilkan oleh Tuk Shahibudin boleh digolongkan sebagai syair Keagamaan dan Syair Pelajaran.

B)  Syair Tajwid merupakan syair yang agak mendalam mengenai Ilmu Tajwid. Syair ini dikarang oleh Imam Yaakub dan ia lebih merupakan satu terjemahan dari satu kitab atau syair di dalam Bahasa Arab ke Bahasa Melayu, kitab asalnya belum dapat ditentukan namun kemungkinan besar dari kitab Al Syatibi seorang penyair tajwid berbangsa Arab yang sangat masyhur itu.

Pengaruh Syair-syair Pahang Ke atas Riau.
Syair-syair dan penulisan kitab-kitab agama yang  dihasilkan oleh Tuk Shahibudin dan anak cucu beliau mendapat perhatian yang meluas di kalangan penduduk Pahang khususnya di daerah Temerloh.Penuntut yang datang belajar ke Kg Berhala Gantang datang dari seluruh negeri Pahang seperti Daerah Cenor hingga ke Mentiga,Daerah Semantan hingga ke Kuala Kaung, Daerah Jerantut hingga ke Penjom,masing-masing tidak ketinggalan membawa pulang syair-syair keagamaan yang terdapat di Kampung Berhala Gantang

Syair-syair ini juga di bawa keluar dari Pahang sehingga ke Suamtera dan Pontianak,adalah tidak mustahil syair ini dibawa ke Riau untuk dibacakan di masjid-masjid dan surau ketika itu, kesan dari syair yang berkembang baik di Pahang awal abad ke 18 maka menjadikan Riau sebagai pusat perkembangan puisi Melayu di abad ke 19. Di katakan ada seorang dari Riau datang berkelana ke Pahang dan beliau juga mengarang beberapa buah syair sehingga diwar-warkan oleh mereka yang tidak mengetahui bahawa beliau ini yang sebenarnya banyak mencipta syair keagamaan seperti Syair Unggas, Syair Mekah,Syair Kiamat yang tidak diketahui siapa pengarangnya.Sebaliknya pengarang syair yang terdapat di Pahang di abaikan.

Negeri Pahang di sekitar abad ke 18 merupakan sebahagian dari satu sempadan politik yang luas sebagaimana pepatah mengatakan:” Beraja di Riau,Berbendahara ke Pahang, Bertemenggung ke Johor”. Perkembangan agama di Pahang sedikit sebanyak akan mempengaruhi dua negeri yang lain itu kerana hubungan yang akrab ini. Perhubungan para penguasa agama di Pahang dengan ulamak dari luar seoerti Sambas,Padang dan Riau menyokong pendapat ini. Kitab “Raudatul Jinan” karya Tuan Tehkeramat pernah di cetak batu di percetakan di Riau.

Kesimpulannya kita dapati karya puisi di dalam bidang syair ini mendapat kedudukan yang istimewa di Pahang sekitar abad ke 18 hingga ke abad 19 sangat mempengaruhi Riau sehingga Riau menjadi pusat kesusasteraan abad ke 20.

Bacaan Tambahan:
-Laporan Mezium Abu Bakar Pekan – Batu Nesan Bertulis Di Pulau Tambun-
-Zakaria Hitam – Tuk Syah Budin - t.t – Kertas kerja.
- Prof: Mohd Taib Osman -Warisan Puisi Melayu – DBP –1985
- Prof: Osman Khalid -Kesusasteraan Arab Di zaman Permulaan Islam
   Penerbit Nadhi – 1987.
-Fauzi Haji Basri – Sejarah Johor - UM
- Naskah Syair Kepunyaan Dato Shahibudin Imam Mohammad –Kg Kuala Kaung-
- Naskah Syair Kepnyaan Imam Mohammad Yassin -Kg Sanggang Temerloh
- Naskah Syair Kepuyaan Puan Sadiaah bte Imam Yaakub-Kg Raja Songsang-




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog

Mengenai Penulis

Foto saya
Mengkaji dan mengenali sejarah Islam khususnya di Negeri Pahang