Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Khamis, 14 Disember 2017

KARYA IMAM YAAKUB SANGGANG SEBERANG : NAZAM AZAB KUBUR


Bismillah’rahman nir’rahim,



NAZAM AZAB KUBUR



Kepunyaan  Imam Yaakub bin Lebai Muji bin Imam Derajat (1926M)

Kg Sanggang Seberang,Temerloh Pahang.



Pengenalan diri Imam Yaakub bin Lebai Muji

Dilahirkan di Kg Sanggang Seberang,Mukim Sanggang ,Temerloh Pahang.Datuk Imam Yaakub bernama Imam Derajat berasal dari Negeri Kelantan Darul Naim, dari rumpun keluarga Kenali. Oleh itu Imam Yaakub mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Tuk Kenali. Tuk Kenali beberapa kali datang ke Pahang, khusus untuk bertemu dengan saudara dan sahabat nya yang sangat erat hubungan dengan beliau.Mereka berdua sama-sama duduk di Mekah,belajar dengan guru yang sama,tinggal dan bermukim di Mekah dalam masa yang lama.  Jika di Kelantan,Tuk Kenali jarang mengenakan baju yang lengkap akan tetapi bila berkunjung ke Pahang, Tuk Kenali berpakaian lengkap dengan semutar,berbaju melayu dan kain pulikat baru.Penghormatan Tuk Kenali kepada Imam Yaakub ini mungkin kerana sahabat dan saudaranya ini seoang yang pakar di dalam ilmu tajwid dan Qiraah Sabaah. Di dalam bahagian lain saya telah menerbitkan satu syair kepunyaan Imam Yaakub yang di beri nama “Syair Tajwid”, manakala di bahagian ini pula saya kemukakan satu lagi nazam yang diberi judul Nazam Azab Kubur. Tujuan saya mengemukakan kedua-dua puisi ini kerana saya hendak mengetahui sama kedua-dua puisi ini hasil karya Imam Yaakub atau hanya beliau salin dari kitab lain. Ini di sebabkan hubungan beliau agak rapat dengan Tuk Kenali yang terkenal sebagai ahli sastera negeri Kelantan pada awal abad ke 20.Imam Yaakub selain dari seorang ulamak yang alim di Pahang ketika itu beliau juga seorang yang meminati puisi lama seperti syair,gurindam dan nazam. Dari koleksi anak beliau banyak salinan syair Imam Syahibudin telah di salin oleh Imam Yaakub.Anak cucu beliau menjadi orang yang penting di Kg Sanggang Seberang seperti Imam Mat Yassin bin Imam Yaakub, Lebai Siwok bin Imam Yaakub, begitu juga cucu-cucu beliau seperti Tok Empat Abdul Aziz, Imam Tan Taha, Bilal Wahid.







Nazam Azab Kubur.





1.         Perkataan ini sungguh pun betul,melihatkan akal tajam dan tumpul,

            manusia berubah kebanyakan simpul,betapa lagi fiqah dan usul.



2.         Alhamdulliah Qadim kita puji,sebab Dia boleh beri taufik kami,

            hai saudara ini satu nasihat fakir,faham kamu baik-baik ambil fakir.



3.         Kita ini akan mati sudahnya,tiada tahu bila datang ajalnya,

            ambil bekal kamu pergi negeri orang,kalau tidak kamu hina pada orang.



4.         Kalau sungguh kamu yakin pada mati,jangan kamu lalai pada nafsu hati,

            benar tiada bila ada bekal kamu,puas hati tiada lagi  sesal kamu.



5.         Sabda Nabi, hiru biru di dalam kubur,masuk rantai pada mulut sampai dubur,

            rantai itu merah pula dengan api,hangus perut,hangus otak,hangus hati.



6.         Hairan kami akan kamu punya fakir,kamu kata kamu mati tapi mungkir,

            pahit mati itu bukan macam jadam,bukan pula macam hati boleh padam.



7.         Lagi pula huru hara  hari akhirat,tiada dapat kamu kabar dengan loghat,

            tinggal lagi kita ini buat taat,dengan belajar,dengan tuntut,dengan ingat.



8.         Hairan kami, akal kita ini sudah,kita makan hak Allah dengan mudah,

            fakir-fikir,baik-baik ada patut,tiada taat akan suruh tiada ikut.



9.         Allah, Allah hai saudara apabila,sampai nyawa batang leher tahu le!

            Allah,Allah hai saudara masa itubaru tahu akan diri baru tentu,



10.       tempat naik tempat kita pandang,syurga, atau neraka ia kalau malang,

            huru hara Padang Mahsyar pula lagi,tiada dapat hendak bilang dengan baki.



11.        Barang siapa ingkar hadis inijadi kafir sama cina dan nasrani,

kalau kita ambil fakir dengan benar,apa payah sembahyang itu dengan belajar.





12.       Muka kita boleh cantik, boleh suci,tidak payah dengan basuh dengan mandi,

            lagi pula jadi senang badan kita,,Allah, Allah buat kita dengan nyata.



13.       Muka orang tiada sembahyang tiada cahaya,pandang kamu kalau kamu tiada percaya,

            serupa bangkai orang tiada sembahyang,lima belas bala lebih lagi tiada kurang.



14.       Pendek rezeki ,pendek umur tinggal Islam,pada dahi ghalib pula macam malam,

            habis pula nama Islam dalam daftar,tiada terima doa kamu.



15.       Kenduri kamu pula lagi tiada kabul,……………………………………

            enam siksa itu datang dalam dunia,,kalau tidak di dalam akhirat lebih bias.



16.       tiga lagi waktu mati datangnya,yang pertama sangat hina padanya,

            yang kedua mati kamu dengan lapar,yang ketiga waktu dahaga sangat mungkar.



17.       Dahaga itu kadar dia Allah,Allah,tiada puas minum dia seribu kolah,

            apabila masuk kubur tiga lagi,himpit kubur,gelap kubur,pukul lagi.



18.       Patah tulang,remok tulang, pecah dagu,masuk tanah ,korek pula dengan kuku,

            lagi tiga hari kiamat datangnya,diwakil Allah malaikat mengazabnya.



19.       Satu rantai pada tangan malaikat,hujung rantai batang leher kena ikat,

            hujung satu lagi masuk mulut,sampai pula pada jubur[1] keluar perut.



20.       Sudah itu heret pula malaikat,dengan songsang,dengan bentang,dengan ikat,

            yang kedua tiada menilik akan Allah,yang ketiga dengan azab pedih,rasalah!!



21.       telah khatam lima belas bilangannya,fakir kamu baik-baik maksudnya,

            rahmat Allah,Salam Allah atas nabi,pula harapkan sangat baik kami.



Setengah dari sabda Nabi s.a.w: “Bermula fakir itu satu saat terlebih baik daripada beribadat tujuh puluh tahun”,

dan pada satu riwayat:” terlebih baik daripada ibadat tujuh puluh ribu tahun.

Dan sabda Rasullulah lagi:” Bermula fikir itu pelita hati”.





22.       Fikir itu pelita bagi hati,yang mendapat kita ingat akan mati,

            ingat-ingat serta fikir sehari-hari,di dalam kubur kita duduk seorang diri.



23.       Jikalau hidup kita dapat harta jenuh,itu akhir kita tinggal masuk dalam tanah,

            ghalib ikutkan nafsu dan hawa,daripada masa tubuh muda sampai tua.



24.       Dari petang nanti pula akan pagi,lama-lama hingga  sampai tanggal gigi,

            rumah besar,kampong luas ada ia,itu akhir tinggal jua akan dia.



25.       Hai segala anak aku sekaliannya,sungguh-sungguh jangan tinggal akan sembahyang,

            demikian lagi zakat dan puasa,itu buat oleh mu sentiasa,

            dengan susah yang sedikit kamu dapat,akan senang lama kamu dapat di akhirat.



26.       Tamatlah syair di Kampung Sanggang,hari Selasa sudahlah petang,

            kertas putih dakwat pun hitam,jari yang tiga memegang kalam.



27.       Sudah tulis hari pun petang,pukul empat tengok jam,

            selagi hidup beredar siang dan malam,sehabis umur baru lah tamam



28.       kiri dan kanan nafas berpindah,kepala bergerak tunduk mengadah,

            tangan mencapai mulut mengunyah,sehingga mati barulah sudah.



29.       habis menulis kalam pun patah,serta pula dakwat pun tumpah,

            tulisan buruk maklum sudah patah,sekadar sahaya hidup penyudah.









Disalin semula oleh Zainal Lebai pada 19 Safar 1430 Hijrah ,Hari Sabtu bersamaan 14hb Feb 2009 jam 9.25 pagi yang redup tetapi merimaskan.



[1] asal “dubur”

Khamis, 7 Disember 2017

“RI JOU SI TO NONAKOGUDU MOJU SE TO SUBA!”




 MOTO HIDUP  KHALIFAH ISLAM NUSANTARA.

Setelah Portugis berjaya menguasai Melaka pada tahun 1511,mereka begitu angkuh di Negeri negeri Melayu. Portugis cuba meluaskan kekuasaan nya ke wilayah-wilayah Nusantara  yang lain terutama di kawasan yang banyak mengeluarkan hasil rempah seperti di Filipina dan Maluku, disamping mereka cuba menguasai Tanah Melayu dan Jawa. Portugis menghadapi tentangan dari Raja Aceh yang terkenal iaitu Sultan Iskandar Mahkota Alam dan Sultan Iskandar Thani, pasukan perompak Portugis juga menghadapi tentangan dari Raja-raja Jawa.Di Kepulauan Maluku mereka menghadapi tentangan dari Sultan Khairun dan anaknya Sultan Babullah.

Khalifah Islam Nusantara   merupakan gelaran yang diberikan oleh masyarakat di Kepulauan Maluku kepada Sultan Babullah. Baginda lahir di Ternate, 10 Februari 1528. Babullah merupakan generasi ke-5  yang diangkat menjadi Sultan dalam usia 42 tahun . Ketika menjadi Sultan, Babullah telah berpengalaman berjihad melawan kafir Portugis yang hendak merompak kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara  sekaligus merompak akidah Islam rakyatnya.

Sebagai kerajaan Islam di Maluku , setiap anak-anak di wilayah kekuasaan kerajaan ini mendapat didikan agama yang kuat sejak kecil. Tak terkecuali Sultan Babullah. Selain pengetahuan agama, Babullah juga mendapatkan latihan ketenteraan menurut Islam dari Salahaka Sula dan Salahaka Ambon, keduanya panglima perang Ternate. Babullah memperlihatkan kecakapan yang tinggi sehingga di usia muda sudah diberi kepercayaan  menjadi Kaicil Peperangan@panglima tertinggi angkatan perang oleh bapanya yang sangat berharap baginda akan dapat mengantikan nya satu masa kelak.Kejayaan baginda telah di perlihatkan sejak beginda masih sangat muda, baginda bukan sahaja Berjaya mempertahankan wilayah Ternate dari menjadi jajahan Portugis sebaliknya baginda Berjaya meluaskan wilayah taklukan Ternate hingga ke Mindano di Filipina.

Semasa menjawat jawatan sebagai panglima perang, Sultan Babullah memperhebat peperangan terhadap Portugis. Babullah tak kan pernah lupa bagaimana perang Salib ini membunuh ayahnya, Sultan Hairun, dengan biadab. Tubuh  ayahnya hancur dengan dada yang dikorek  karena jantungnya dikeluarkan dan diambil Portugis untuk dipersembahkan kepada Rajamuda Portugis di Goa,India (1570). Dengan tangannya sendiri Babullah menatang  jasad ayahnya yang bermandikan darah.

Dalam memerangi Portugis, Sultan Babullah senantiasa menyemangati barisan mujahidinnya dengan kalimah:

“RI JOU SI TO NONAKOGUDU MOJU SE TO SUBA!”

 (Hanya kepada Allah tercurah harapan, meski gaib, namun tetap akan kita sembah karena Dia ada!).

Sultan Babullah juga mengamati perkembangan Dunia Islam sejak zaman awal hingga ke masa pemerintahannya. Sejarah  kekalahan tentera Salib di Timur Tengah dan demdam kesumat raja-raja Eropah terhadap Islam sangat di fahami oleh baginda . Dalam salah satu tulisannya Sultan Babullah berkata, “Antara Islam dan Katolik terdapat jurang pemisah yang lebar. Sejarah kemenangan di Andalusia (Spanyol), wujud nya Khalifah Islam di wilayah  barat  membuat mereka membenci dan iri hati dengan kebesaran Kesultanan Ternate. Mereka menderita penyakit dendam kesumat serta pemusnahan di mana saja setiap melihat negeri-negeri Islam, baik di Goa, Melaka, Jawa, dan kita di Maluku sini. Kalau kita di Ternate kalah maka nasib kita akan sama dengan neger-negeri Islam di Jawa, Sulawesi, dan Sumatra”.

Sebab itu, Ternate membangun armada perangnya dengan sangat kuat. Di masa Sultan Babullah, Ternate memiliki barisan mujahidin terlatih sebanyak lebih kurang 120.000 orang. Ternate juga menjalin kerjasama dengan sejumlah kerajaan Islam di luar Maluku seperti dengan wilayah Jawa (Jepara), Melayu, Makasar, dan Buton. Gabungan kekuatan ini akhirnya mampu merebut benteng Portugis seperti Fort Tolocce (dibangun tahun 1572), Santo Lucia Fortress (1518), dan Santo Pedro (1522).

Dalam pertempuran, pasukan  yang terdiri dari suku Tobelo dilengkapi panah api beracun, barisan askar  Babullah bersenjatakan meriam hasil rampasan dari benteng Portugis di Castel Sin Hourra Del Rosario, pusat kekejaman Portugis di Asia Tenggara sekaligus tempat mendidik para misionaris Portugis untuk menyebarkan Salib di Maluku dan sekitarnya.

Perang berjalan selama lima tahun (1570-1575) dengan kemenangan selalu di pihak Mujahidin. Akhirnya, pada 24 Desember 1575, Gubernur Nuno Pareira de Lacerda menaikkan bendera putih di istananya dan menyerahkan kota-benteng Santo Paulo atau kota Sen Hourra Del Rosario. Futuh Sen Houra del Rosario terjadi bertepatan di malam Natal. Para salibis keluar dari benteng dengan linangan air mata namun dijaga dengan baik oleh laskar Mujahidin Ternate. Senjata mereka dilicuti dan dihantar menuju kapal laut yang membawa mereka ke Manila dan Timor.

Sikap baik Sultan Babullah terhadap musuhnya ini menimbulkan perasaan kurang puas di kalangan pasukannya. Apalagi mereka masih ingat bagaimana ayah dari Sultan Babullah dibunuh secara kejam. Namun Sultan Babullah dengan bijak  mengatakan, “wahai rakyatku, ketahuilah bahwa Islam tidak memperbolehkan seorang Muslim mengambil keuntungan karena kelemahan musuhnya dalam perang di medan laga.” Sikap yang diperlihatkan Sultan Babullah ini mengulang sikap ksatria yang diperlihatkan Panglima Islam Shalahuddin Al-Ayyubi saat membebaskan Yarusallaem di abad ke-12. Di Ternate, salib Portugis berhasil dikalahkan.

KemenanganTernate ini menginspirasikan para Mujahidin seluruh Nusantara. Kesultanan Ternate menjelma menjadi pusat dakwah yang terkenal  di timur Indonesia. Banyak tenaga da’I dikirim ke wilayah-wilayah yang jauh dari pusatnya, seperti ke Kepulauan Nusa Tenggara. Sultan Babullah dianugerahi sebagai “KHALIFAH ISLAM NUSANTARA PENGUASA 72 NEGERI”.

Sultan Babullah meninggal dunia pada 25 Mei 1583. Cucunya, Sultan Zainal Abidin, membentuk rangkaian Kekuatan Islam Nusantara di antara Kesultanan Ternate, Kerajaan Aceh Darusslama, dan Kerajaan Demak.

ALFATIHAH BUAT BAGINDA SULTAN BABULLAH WA USULIHI WA FURU’I’HI.

Khamis, 30 November 2017

SYAIR USUL






Syair ini terdapat di dalam salah satu salinan karya-karya Imam Syahibudin akan tetapi salah seorang pengkaji sastera Melayu lama mengatakan karya ini adalah dari tulisan tokoh penyair dari Riau. Saya cuba bertanyakan kepada beberapa orang pakar puisi lama mengenai syair ini sehingga ini saya masih belum mendapat jawapan yang sahih. Dari kajian saya, syair ini adalah karya Imam Syahibudin. Dalam catatan salinan pertama karya Imam Syahibudin, pencatat cuma mengatakan ada  4 karya sahaja yang di akui sebagai karya Imam Syahibudin ia itu Syair Asyikin,Syiar Orang Yang Lalali,Syair Tumbuhan @ pernah di terbitkan dlm jurnal mazium Pahang, dan Syair Sifat Dua Puluh.


1          Bismillah[1] itu pertama bacaan

A’uzubillah[2] menjauhkan syaitan

Alhamdulliah[3] permulaan al Quraan

Selawat dan salam Sahibul Adnan[4]



2        Amma ba’du kemudiannya

Suatu risalah[5] Usul namanya

Wajiblah kita mengetahuinya[6]

Hilanglah kafir,mukmin jadinya



3        Pertama makrifat mengenal tuhan

Barang yang wajib kita wajibkan

Mustahil atasNya kita nafikan

Barang yang harus kita haruskan[7]



4        Erti makrifat itulah ilmu

Pengetahuan hati sudahlah tentu

Jangan mengikut kata si anu

Meninggalkan akal jadilah dungu[8]



5        Akal itu hati yang terang

Mertabatnya banyak,lebih dan kurang

Jikalau ia sudahlah hilang

Sedikit tak beza dari binatang[9]



6        Pertama makrifat mengetahui wujudNya[10]

Kejadian alam itu tandaNya

Sifat dan Afaal serta NamaNya

Sekaliannya itu kesempurnaan zatNya[11]



7        Umpama misal mustahil padaNya[12]

Laisa ka mislihi itulah firman Nya

Menjadikan mumkin harus padaNya[13]

Pada jalan syarak tafsil nama nya



8        Keputusan makrifah kepada Allah

Tiada umpamaNya kelulah lidah

Jikalau lampau barang sepatah

Jadilah murtad nauzubillah[14]



9        Inilah dia ilmu Hakikat

Asalnya itu dari Makrifat[15]

Suruh dan tegah jalan Syariat

Mengerjakan dia nama Tarekat[16]



10      Erti Hakikat ilmu yang benar

Barang dikata jangan bertukar

Erti Syariat jalan yang besar

Itulah perintah Wahidul Qahar[17]



11      Erti Tarekat jalan ibadat[18]

Mengikut nabi segala sahabat

Ikut mengikut mengerjakan taat

Sehingga sampai hari kiamat



12      Demikianlah idtikad segala Islam

Sehingga sampai kepada Adam

Mengetahuinya itu  jikalau tak faham

Ke laut ilmu pergilah selam[19]



13      Adapun makhluk yang bernyawa

Bilangan tidak dapat dihingga

Yang berakal dilebihkan Nya

Malaikat dan jin dan manusia nya[20]



14      Kejadian malaikat dari cahaya

Iblis,syaitan daripada neraka

Kemudian Adam dari tanah yang mulia

Daripada nutfah anak cucunya[21]



15      Asal disini kesempurnaan takdir

Supaya tetap hukum yang zahir

Umpama perahu berdayung hilir

Air pun lazim sudah mengalir



16      Demikianlah misal segala kaainat

Dikatalah asal anasir yang empat

Jikalau ditilik pihak hakikat

Keempatnya itu di mana didapat?[22]



17      Inilah najis berkata-kata

Jikalau tak tahu tidak mengapa

Jikalau tahu jadi celaka

Jikalau berbantah bertambah duka



18      Allah taala yang menjadikan

Daripada makhluk sekalian

Tiada asal tiada tauladan[23]

Inilah umpama Asma’aul Sultan



19      Segala yang hidup berakal tiada

Dinamai orang haiwan Sahil[24]

Ada yang besar ada yang kecil

Ada yang nyata ada yang muskil[25]



20      Segala yang tidak bersifat Hayat[26]

Barang yang tumbuh bernama Nabatat

Barang yang beku bernama Jamadat

Sekalian makhluk bernama Mumkinat[27]



21      Segala yang wujud dua perkara

Pertama Tuhan kedua hamba

Mumkinat dan Alam , makhluk namanya

Menjadikan makhluk hak Taala



22      Hakikat alam wujud hakiki

Dari mumkin wujud majazi

Dahulunya tidak sekali-kali

Dinamai orang A’dam Sarfi[28]



23      Perintah syarak ditangguhkan

Kepada manusia,jin dan syaitan

Beberapa suhuf[29] diturunkan

Taurad & Injil,Zabur & Quraan



24      Disampaikan oleh rasul yang mulia

Adam & Nuh,Ibrahim dan Musa

Demikian lagi Uzai[30] dan Isa

Khatimul Ambia Khairul Wara’[31]



25      Turunnya itu beberapa masa

Seperti aturan segala ambia

Di dalamnya itu menyatakan agama

Serta membalas dosa dan pahala



26      Pertama-tama di dalam perintah

Disuruhkan kita mengenal Allah

Kemudianya mengenal Rasullulah

Serta dijunjung sabda dan titah



27      Yang menanggung segala perintah

Pertamanya hati keduanya lidah

Anggota yang zahir termasuk setengah

Tetapi tanggungan badan dan arwah[32]



28      Perkataan ini hendaklah ingat

Iman dan Islam,Tauhid,Makrifat

Himpun berhimpun kepada yang empat

Kepadanya itu dua kalimah Syahadat



29      Erti Imam percayakan Allah[33]

Kepada esaNya jangan tersalah

Erti Islam menjunjung titah[34]

KeesaanNya jangan berubah-ubah



30      Erti Tauhid mengesakan Tuhan

KeesaanNya juga di esakan

Erti Makrifat mengenal Tuhan

Kepada esanya diputuskan



31      Erti Makrifat terlalu am

Ketiadaannya dia sekaliannya padam

Makrifat Allah hendaklah faham

Makrifat Imam,makrifat Islam[35]



32      Imam dan Islam beberapa rukun

Bercawang-cawang,bersusun-susun

Beberapa jenis asal dan pohon

Kepada Syahadat habis terhimpun



33      Pertama Syahadah rukun Islam

Kedua sembahyang serta Ihram

Puasa dan Zakat janganlah waham[36]

Kelima Haji ke Baitul Haram



34      Adapun Imam segala rukunnya

Percayakan Allah serta kitabNya

Akan Malaikat benar adanya

Kemudian pula segala rasulNya



35      Hari yang kemudian hari Kiamat

Berhimpun terlalu dahsyat

Wajib percaya berbuat taat

Serta untung baik dan jahat[37]





36      Pertama Syahadat La ilaha illlah

Kedua Syahadat Muhamad Rasullulah

Keduanya dihukum satu kalimah

Ditinggalkan satu tiada faedah



37      Jikalau kafir lagi celaka

Jikalau Islam tiada cedera

Meninggalkan satu kurang pahala

Kepada mafhum tidak mengapa[38]



38      Kalimah tauhid yang pertama

Kalimah Islam lafaz kedua

Mengikrarkan dia keduanya sama

Tasdiknya wajib sentiasa



39      Empat perkara rukun syahadah

Mengisbatkan Zat serta Sifat

Mengisbatkan Afa’al serta Qudrah[39]

Membenarkan rasul genaplah empat



[

Khamis, 23 November 2017

BHG 2  :  SULTAN-SULTAN MELAYU YANG BERTARAF ULAMA’




Salah satu sumber kekuatan Orang Melayu di zaman dahulu kerana raja-raja nya sangat alim dan kuat beragama, mereka adalah raja-raja yang tidak sanggup mengadaikan maruah,harga diri dan tanah air demi pangkat dan kemewahan dunyawi. Sultan-sultan di Jawa di bawah bimbingan Wali Songgo seperti Raden Fatah@1518,Sultan Syarif Hidayatullah, Sultan Zainal Abidin dari Ternate di Maluku, Sultan Babulllah@1570 merupakan susuk-susuk pemerintahan yang terdiri dari para ulamak yang alim yang mengsasarkan dasar pemerintahan kepada menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Begitu juga di Tanah Melayu.


SULTAN ZAINAL ABIDIN KE 3 TERENGGANU, SULTAN YANG MAHIR ILMU FALAK……….

Di Negeri Terengganu Darul Imam, lahir seorang raja bertaraf ulama ia itu Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu ke sebelas yang memerintah Terengganu Darul Iman dan segala jajahan takluknya pada tahun 1881 hingga 1918. Baginda digelar “Sultan Regu Ulama” kerana keakraban baginda dengan ulama-ulama Terengganu ketika itu, khususnya Syeikhul Ulama Terengganu, Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Peribadi baginda digambarkan dengan jelas pada Syair Tun Humpreys (Syair Tuan Humpreys) yang dikarang oleh Hajjah Wook Aishah Binti Haji Idris menyatakan pula:

Adapun nama Sultan Paduka
Sultan Zainal Abidin yang ke tiga
Di dalam negeri jadi mastika
Memerintah jajahan takluk belaka

Rajanya alim lagi jauhari
Kitab Quran lagi pelajari
Alimnya tidak lagi terperi
Termasyhurlah khabar ke sana ke mari

Soleh dan Warak lagi pendita
Bijak laksana jangan dikata
Masyhurlah khabar di dalam warta
Di Alam Melayu sekalian rata

Perangainya alim, tangannya murah
Sekalian kasih memandang wajah
Cukup faham Ilmu Arabiyyah
Baginda nan gemar Ilmu Falakiyah

Baginda sangat cenderung kepada ilmu pengetahuan agama dan menunjukkan minat luar biasa terhadap ilmu pengetahuan. Beginda mempunyai ramai guru, antaranya:Habib Umar Al-Attas (Guru Bahasa Arab),Haji Wan Abdullah Bin Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyong),Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad (Tok Ku Paloh),Syed Zainal Abidin Bin Syed Muhammad,Haji Zainal, Kampung Banggol,Haji Wan Muhammad Bin Wan Ali, Kampung Gedung,Haji Wan Abdul Latif Bin Abdullah Losong,Haji Musa Atas Tol, Haji Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abdul Kadir Bukit Bayas,Syed Abdul Rahman Al-Haddad. Baginda juga pernah mengajar agama, terutamanya di Masjid  Al ‘Abidin, juga  terdapat banyak kitab-kitab agama di dalam simpanan baginda. Ada yang sempat disimpan, ada pula yang diwakafkan oleh putera puteri baginda kepada khutub khanah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Baginda menyambut dan memberi layanan kepada alim ulama yang datang ke Terengganu, menawarkan ruang di istana dan membuka istana untuk dijadikan tempat pengajian agama. Ini digambarkan oleh Ustaz Muhammad Saleh ketika menceritakan perihatl gurunya As-Syeikh Muhammad Saleh Bin Muhammad Taib, Syeikul Islam Perak Darul Ridzuan ketika melawat Terengganu pada 1890an. Baginda juga memperkenalkan undang-undang kecil Islam bagi  mempermudahkan pelbagai urusan. Negeri Terengganu ketika ini menyaksikan pertambahan perdagangan dan jumlah pedagang yang tiba di Kuala Terengganu bertambah. Alim ulama dan cendekiawan cenderung untuk berhijrah dan mengajar di Terengganu disebabkan kemudahan yang disediakan oleh Sultan Terengganu.

Baginda mangkat pada 21 Safar 1337 bersamaan 25 November 1918, pagi isnin. Pada malam isnin, baginda masih dalam keadaan sihat dan boleh bangun bersiar-siar di istana, memerhatikan rakyat yang menghadiri majlis ratib masuk ke dalam kota. Baginda sendiri mengurniakan sedekah kepada setiap pasukan ratib yang masuk ke dalam kota. Kira-kira jam 11 malam, baginda merasa sesak nafas. Pada jam 5 pagi, meriam ditembak, menandakan kemangkatan baginda. Peristiwa ini dicatatkan jelas dan diceritakan jelas oleh penduduk Kuala TerengganuNama baginda diabadikan pada institusi dan tempat di Terengganu, sebagai tanda peringatan terhadap baginda. Antaranya:Universiti Kolej Sultan Zainal Abidin (dahulunya Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin – KUSZA) dan Sekolah Menengah Agama (atas dan bawah) Sultan Zainal Abidin.

SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH BIN RAJA MUDA MUSA @SULTAN SULAIMAN DARI SELANGOR, RAJA YANG MENGARANG KITAB AGAMA.

Seorang  lagi sultan  yang juga alim dan sangat mengasihi ulama ialah Sultan Selangor iaitu Sultan Sulaiman. Nama lengkapnya ialah Sultan Alauddin Sulaiman Shah bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim Shah bin Raja Lumu (Sultan Salehuddin Shah, Sultan Selangor yang pertama) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda Riau yang kedua). Sultan Sulaiman lahir pada 19 Rabiul Akhir 1282 Hijrah/11 September 1865 Masihi dan mangkat pada 30 Muharam 1357 Hijrah/31 Mac 1938 Masihi (sama tahun kemangkatannya dengan Sultan Iskandar Shah Perak). Baginda merupakan Sultan Selangor ke-5 yang memerintah Selangor selama 40 tahun iaitu dari tahun 1898 hingga tahun 1938 Masehi. Baginda menaiki takhta menggantikan nendanya, Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah yang mangkat dalam tahun 1898 setelah memerintah Selangor selama 41 tahun. Sama seperti Sultan Iskandar Shah, Sultan Sulaiman juga sangat suka berapit dengan ulama. Dizaman baginda, seorang ulama besar dari Patani iaitu Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani telah dilantik menjadi Syeikhul Islam. Dengan Syeikhul Islam inilah, Sultan Sulaiman mendapatkan pandangan khususnya tentang pentadbiran dan penyebaran agama di seluruh negeri Selangor pada waktu itu. Bahkan jika berkunjung ke luar negara pun, Sultan Sulaiman tetap membawa Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani agar mengikuti baginda dalam dalam rombongan baginda. Syeikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi al-FathaniSultan Sulaiman sangat mementingkan kemajuan Islam di negerinya. Baginda membina sebuah masjid yang diberi nama dengan nama baginda iaitu Masjid Alauddin di Kuala Langat, Selangor. Sebagai ketua agama Islam, baginda sendiri berdiri membaca khutbah Jumaat, khutbah kedua-dua hari raya; Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam kesibukannya memerintah negeri Selangor, baginda sempat meluangkan masa mengarang dua buah kitab iaitu

Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman dan

Kitab Melatih Kanak-kanak Laki-Laki dan Perempuan

Agama Islam 1. Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman selesai ditulis oleh baginda pada tahun 1337 H/1919 M. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba'ah New Klang Press, Klang pada 15 Jamadilakhir 1349 H/1930 M. Kitab ini telah disemak oleh Syeikhul Islam iaitu Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan, Agama Islam 1, diselesaikan oleh baginda di Istana Mahkota Puri, Kelang pada 3 Zulhijjah 1348 H Kitab ini pernah dicetak oleh The Boon Hua Press, Kelang pada tahun 1349 H/1930 M. Kandungan kitab ini adalah tentang ilmu tauhid dan disasarkan kepada kanak-kanak yang baru hendak belajar di dalam sekolah agama. Kitab ini juga telah disemak oleh Haji Mahmud Zuhdi al- Fathani. Seperti yang dicatat oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Selain memuji kandungan karya, Haji  Mahmud Zuhdi al-Fathani juga memuji baginda sultan, katanya, ``... padahal ia daripada karangan orang yang mempunyai akal yang sempurna. Dan tinggi hemah pada meneguhkan tiap-tiap pekerjaan yang berguna. Iaitu mereka yang menghamparkan atas rakyatnya naung kurnia. Dan aman hadhrat yang mentadbirkan dan memerintahkan negeri Selangor Darul Ehsan Yang Maha Mulia Maulana as-Sultan Sir Alauddin Sulaiman Syah ibni al-Marhum Maulana al-Mu'azzam Raja Musa. Nama baginda telah di abadikan di sebuah masjid di Bandar Kelang dengan nama Masjid DiRaja Sultan Suleiman. Masjid ini telah dibina pada tahun 1932 sempena pengisytiharan Kelang sebagai pusat pentadbiran negeri Selangor. Perasmian masjid ini telah di sempurnakan oleh baginda sultan sendiri pada tahun 1934 dan dikenali dengan nama Masjid Suleiman Jamiur Rahmah. Masjid ini pernah dijadikan masjid negeri Selangor sehinggalah terbinanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Pada masa ini ia dimasyhurkan dengan nama Masjid Diraja Klang.

SULTAN YANG MENJALANKAN TUGAS KADI, SULTAN ISKANDAR SHAH PERAK. (1938m)

Sultan Iskandar Shah Perak juga merupakan seorang Sultan yang sangat menitik beratkan urusan agama dikalangan rakyat baginda. Baginda juga gemar mendampingi guru-guru agama dan baginda pernah berguru dengan Shaikh Haji Mohammad Salleh di Istana Bukit Chandan Perak. Sultan Iskandar disebut begitu kasihkan gurunya itu sehinggakan baginda sering bersantap dengan tokoh agamawan tersebut. Disebabkan oleh dorongan daripada baginda keatas usaha pengembangan agama Islam di Perak, beberapa tokoh agama telah memilih untuk menubuhkan institusi-institusi Islam di Perak antaranya Maahad Ehya Al Syariff Gunung Semanggol, Al Huda Matang Kunda, Madrasah Irsyadiah dan Al Ulum di Bagan Datuk, Al Akhlak Islamiah Masjid Tinggi, Bagan Serai serta banyak lagi sekolah agama yang lain. Baginda turut melantik seorang alim ulama agama Islam bernama Shaikh Muhammad Saleh yang berasal dari Minangkabau, Sumatera, untuk menjalankan kerja-kerja tabligh di Teluk Anson (sekarang dinamakan Teluk Intan). Sheikh Muhammad Saleh digelarkan Sheikhul-Islam (pangkat itu sesama dengan mufti sekarang) bagi Negeri Perak.

Baginda juga sering mengunjungi masjid-masjid serta surau-surau diserata negeri Perak dan baginda sering memberi titah mengenai agama Islam kepada rakyat jelata. Sultan Iskandar juga terkenal tegas dalam beragama. Terdapat kisah dari orang-orang tua di Teluk Intan yang menyebut Sultan Iskandar pada bulan Ramadhan pernah memakai kan rantai  leher dan juga memberi denda dengan memerintahkan orang yang makan dikhalayak ramai sewaktu bulan puasa agar memakan rumput di padang Teluk Ansoni atau disuruh berlari keliling padang dengan disaksikan oleh orang ramai. Baginda juga pernah bertitah kepada rakyatnya bahawa celakalah seseorang lelaki itu jika tidak menghadiri Solat Jumaat tanpa sebab. Baginda sendiri turut memantau rakyat baginda yang tidak menghadiri solat Jumaat. Di muka surat 121 dalam Risalah Iskandar, disertakan salinan surat baginda kepada Setiausaha Sulit baginda Y.A.M. Raja Harun Al-Rashid, titah baginda:

“Adinda Raja Harun , boleh khabarkan kepada kadi-kadi dan penghulu-penghulu wajiblah mereka bersungguh-sungguh menyuruh anak buah mereka di dalam jajahan masing-masing membuat sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat dan dikehendaki mereka itu menghantar repot di atas perkara ibadat ini pada tiap-tiap tiga bulan sekali. Mana-mana rakyat beta yang tidak mahu sembahyang lima waktu dan Jumaat boleh mereka itu menghantar nama orang itu kepada kekanda dengan seberapa segera dan kekanda boleh pergi di mukim itu bicarakan hal itu. Siapa siapa kadi-kadi dan penghulu-penghulu yang bantah atau kurang usahanya di atas pekerjaan ini Insya Allah nanti mendapat susah yang besar sekalian naib-naib yang wajib menjalankan ini adanya. Tamat.”

Ketegasan baginda juga terserlah apabila di Lambor Kanan, baginda pernah meletakkan tangan agak keras ke perut seorang pengembang ajaran sesat dan bertitah dengan penuh kemurkaan, ” Iblis bersarang di perut kamu!” Tidak lama beberapa hari selepas itu orang itu pun meninggal dunia. Menarik mengenai Sultan Iskandar ini juga ialah baginda pernah menguji ulama-ulama di Negeri Perak.

Pernah terjadi  pada suatu hari Paduka Seri Sultan Iskandar Shah telah memanggil para ulama Perak untuk berbuka puasa di Istana. Belum pun tiba waktu berbuka, Baginda telah menyeru kepada semua yang hadir supaya menjamah makanan. Kesemua dari mereka yang hadir terdiam tidak berani membantah. Namun kemudian Haji Nawawi bangun memberitahu kepada baginda dengan kata-kata : “Jikalau Tuanku hendak masuk neraka, masuklah seorang”. Baginda memuji keberanian Haji Nawawi menegur Baginda dan kemudian memarahi ulama-ulama yang membisu dengan titah “Nasib baiklah di Negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta!”. Keberanian baginda membendung kemungkaran telah menginsafi rakyatnya sehingga mereka tidak berani untuk berbuat maksiat secara terang-terangan. Setelah memerintah Negeri Perak dengan penuh gemilang selama hampir 20 tahun, baginda akhirnya mangkat dijemput Ilahi pada 14 Ogos 1938 dan dimakamkan di Makam Perkuburan Diraja Al-Ghufran Kuala Kangsar. Sesungguhnya baginda telah meninggalkan nama yang harum diatas watak dan keperibadian agung baginda yang menjadi contoh buat rakyat jelata. Di atas kenang-kenangan buat Almarhum Sultan Iskandar, kami kepilkan bersama nasihat baginda didalam Risalah Iskandar yang dikarang oleh baginda sendiri;

“… maka siapa-siapa Raja-raja, Orang-orang Besar, Kadi-kadi dan Penghulu-penghulu hendak digemar dan disukai oleh Rajanya hendaklah mereka itu taat dan bersungguh menjalankan perkara yang dituntut oleh Tuhan dan meninggalkan perkara yang ditegah oleh Tuhannya. Maka hendaklah mereka itu menegur ajar kepada anak buah mereka itu diatas perkara-perkara tersebut… Maka hendaklah mereka itu ingat pada zaman ini. Inilah perkara kegemaran kami.. Silalah Tuan-tuan buat”.

Rabu, 15 November 2017

BHG 1 :  SULTAN-SULTAN MELAYU YANG BERTARAF ULAMA’




Sepanjang hampir lebih 500 tahun, Kewujudan raja-raja Melayu yang Islam, sebahagian dari mereka ada yang memiliki ilmu agama setaraf dengan para ulama.Maka zahir di zaman mereka kemajuan dan kekuatan ummah sehingga kerajaan Melayu di bawah naungan raja-raja yang memiliki wilayah kekuasaan yang begitu luas dan kuat. Kerajaan Melayu Islam Melaka@ 1200-1400M menguasai seluruh kepulauan Nusantara dari Kampuchea,Brunie,Filipina,Jawa,Sumatera dan seluruh Tanah Melayu, dalam kata lain mereka hampir-hampir menguasai seluruh Negara-negara Asean ketika ini. Kekuatan tentera Melaka amat digeruni oleh raja-raja Burma dan Thailand, sekalipun raja-raja tersebut amat terkenal dengan kekuatan dan kegagahan hulubalang mereka. Raja Burma bukan sahaja menguasai Burma dan Thailand malah hamper mengusai keseluruhan Kampuchea,Vietnam dan Laos. Begitu juga di zaman Kerajaan Melayu Islam Aceh di bawah Sultan Iskandar Mahkota Alam @1600 Masehi.Kerajaan Aceh berjaya menyekat pengaruh Belanda dan Portugis di Nusa Tenggara. Kekuatan tentera barat masa itu mampu di sekat oleh kekuatan imam Sultan Aceh dan rakyatnya.  Kerajaan Islam di Jawa yang di asaskan oleh Wali-wali Songgo, mereka menguasai hampir keseluruhan Kepulauan Indonesia. Raja-raja ini berjaya mengukuhkan kekuasaan mereka berlandaskan Al Quran dan Sunnah.Kekuatan Raja-raja Melayu Islam jauh lebih kukuh dan ampuh dari para pemimpin Melayu yang mendukung sekularisma mutakkhir ini.

Di zaman Melaka telah lahir beberapa orang sultan yang alim dan warak antara nya Sultan Alauddin Raiyaat Shah,Sultan Mansur Shah, begitu juga beberapa bendahara yang sangat alim. Sultan Mansur Shah sangat memuliakan para alim ulama sambil mendalami ilmu agama hingga berupaya mendalami ilmu tasawuf. Sultan Mansur Shah turut memuliakan alim ulama apabila kitab Ad Darrul Manzum karangan Maulana Abu Ishak diarak dengan penuh penghormatan dari kapal sampai ke balairong seri, kemudian baginda datang sendiri berguru dengan Maulana Abu Bakar. Baginda menitahkan pula supaya kitab itu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di Pasai oleh Makhdum Patakan. Dalam banyak hal keagamaan, baginda lebih suka merujuk ke Pasai kerana negeri itu lebih dahulu di  dalam segi agama. Kanun undang-undang Melaka dikatakan mirip kepada keislaman di susun oleh Qadhi Melaka ketika itu ialah Sayid Yusof  bin Syed Abdul Aziz yang telah berjaya mengukuhkan kedudukan perlembagaan  Islam  di Melaka.Pendek kata zaman baginda, Melaka sampai puncak kegemilangannya kerana diperintah oleh raja yang berilmu, adil dan pencinta agama. Tambahan pula ada pembantu-pembantu negara seperti Paduka Bendahara Tun Perak dan para hulubalang seperti Hang Tuah.Menurut satu catatan lama, Laksamana Hang Tuah mengamalkan Tarekat Syazaliyah

Pada akhir kurun ke 16 atau lebih tepat sekitar tahun 1590, lahir seorang raja di Pahang yang sangat mengambil berat berkenaan dengan agama Islam. Baginda bukan saja mempastikan keluarga baginda memiliki ilmu agama yang tinggi tetapi juga baginda berusaha melaksanakan perundangan Islam sebagai perlembagaan tertinggi di dalam pemerintahan baginda. Ketinggian ilmu yang dimilki oleh Puteri Kamariah iaitu permaisuri kepada Sultan Mahkota Alam,memperlihatkan satu sudut ketinggian ilmu agama di Pahang pada masa pemerintahan baginda. Sultan Abd Ghafur Mahyuddin Shah merupaka sultan Pahang yang pertama berusaha menwujudkan Hukum Kanun Pahang, Baginda di dalam usaha ini bukan saja menyusun untuk negeri Pahang tetapi juga baginda menjemput para sultan dan ulama dari Kedah,Perak Patani dan Berunai untuk bekerjasama menjayakan usaha ini.Bagi mengeratkan hubungan Pahang dengan Patani sebuah negeri yang kaya dengan ulamak,baginda telah mengahwini salah seorang puteri dari negeri tersebut.

Pada pertengahan kurun ke 17,lahir seorang sultan yang gagah perkasa di Aceh, sultan yang berasal dari Pahang ini diberi gelaran Sultan Iskandar Sani menganttikan Sultan Mahkota Alam. Sultan Iskandar Sani seorang sultan yang melantik penasihat dan mufti bagi Aceh Darul Salam bernama Syeikh Nuruddin al Raniri, Beliau seorang mufti yang sangat alim dan tegas. Mufti ini dilantik atas kapasiti keberanian beliau menegur segala tindak tanduk raja.Mufti yang berani mencegah kemungkaran dan menegakkan keadilan. Sultan Iskandar Sani @ Raja Ahmad, disebut di dalam Kitab Sejarah Melayu,merupakan seorang raja yang mempunyai pendidikan agama yang tinggi, sangat menghormati para pembesar dan sentiasa mengambil pandangan dari mereka dalam segala keputusan yang di ambil.Perlantikan beliau sebagai Raja Aceh dapat mengukuhkan kerajaan ini dari serangan Portugis dan Belanda.Baginda juga Berjaya menyekat pengaruh Spanyol di Filipina.Di zaman baginda perkembangan ilmu agama semakin maju sehingga Aceh di sebut “Negeri Serambi Mekah”.Baginda mengetuai beberapa kali serangan Aceh ke atas Melaka bagi membebaskan Melaka dari cengkaman Portugis.

Pada akhir kurun ke 18, lahir seorang anak raja dari Riau yang mempunyai pendidikan agama yang tinggi ,beliau ialah Raja Ali Haji. Walaupun tdak pernah menjadi raja dalam ertikata sebenarnya namum beliau telah dilantik menjadi putera Mahkota kerajaan Riau untuk beberapa lama. Nama lengkap beliau ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Al-Syahid fi sabilillah bin Upu Daeng Celak, nama beliau lebih masyhur dengan sebutan Raja Ali Haji saja. Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat  yang ketika itu menjadi pusat pemerintahan Riau-Johor dan Pahang. Raja Ali Haji dilahirkan oleh ibunya, Hamidah binti Panglima Malik dari Selangor, tahun lahirnya tercatat pada 1809. Pada tahun 1822 sewaktu ia masih kecil, ia pernah dibawa oleh orang bapanya ke Betawi@Jakarta. Ketika itu orang tuanya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Raja Riau untuk bertemu dengan  Gabenor Jeneral Baron van der Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji Ahmad mengikut bapanya yang menjadi utusan (kerajaan Riau) ke Jawa itu, waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya Raja Ali untuk bertemu dengan ramai para  ulama bagi  memperdalam pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fekah. Di antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya ialah Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Raja Ali Haji sempat belajar Ilmu Falak ketika berada di Betawi.
Pada  tahun 1827/1243H Raja Ahmad pergi ke Mekah, puteranya Raja Ali Haji ikut serta. Raja Ali Haji terus tinggal dan belajar di Mekah untuk suatu masa yang agak lama. Ia bersahabat dengan salah seorang anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.  Ketika hendak  pulang Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya bersedia pergi ke Riau, menurut rencananya jika mendapat persetujuan akan dijadikan mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke Kaherah di Mesir, Apabila Raja Ali Haji pulang dari Mekah beliau disuruh oleh saudara sepupunya itu mengajar agama Islam.  Raja Ali Haji bergelumang di dalam dunia pendidikan agak lama sehingga Berjaya menghasilkan karya dalam jumlah yang agak banyak.. Dikatakan bahawa beliau telah mengajar Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan lain-lain. Raja Ali Haji memang berkemampuan tentang berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam, bahkan beliau memang seorang ulama besar pada zamannya. Senarai karangan Raja Ali Haji yang telah diketahui adalah seperti yang berikut:

* Kitab Bustanul Katibin li Shibyan al- Muta'allim tahun 1267 H/1850M

* Kitab Pengetahuan Bahasa, tahun 1275 H/1858M

* Kitab Jauharat’ ul-Maknunah, dinamakan juga Siti Shiyanah Shahibul Futuwah wal Amanah

* Kitab Tuhfath al- Nafis, 3 Syaaban 1282 H/1865M

* Kitab Muqaddimah fi Intizham.

* Risalah Tsamarat al- Muhimmat ,pada 10 Syaaban 1275H/1858M

* Salasilah Melayu dan Bugis, 15 Rabiulakhir 1282H/1865M

* Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah atau Syair Suluh Pegawai

* Syair Sinar Gemala Mustika Alam.

* Syair Sultan Abdul Muluk, hari Rabu, 8 Rejab 1262H/1846M.

* Gurindam Dua Belas, tahun 1846M.




bersambung ke bhg ke 2

Arkib Blog

Mengenai Penulis

Foto saya
Mengkaji dan mengenali sejarah Islam khususnya di Negeri Pahang