Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
"Pemandangan Sungai Pahang di Temerloh" -Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Jumaat, 20 Januari 2017

IMAM SYAHIBUDIN BIN ZAINAL ABIDIN (1700-1800) PENGASAS DESA TAKWA KG BERHALA GANTANG



Lahir di Kampung Tanjung Keramat, di Kuala Semantan Temerloh Pahang. Beliau berketurunan Minangkabau, keluarga ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Raja Siak yang membantu Raja Kecil melanggar Pahang sekitar awal tahun 1700. Salah seorang datuknya telah datang ke Pahang dan berkahwin dengan anak kepada Datuk Perkasa, seorang pembesar Pahang yang tinggal di Cenor. Di antara leluhur yang paling popular ialah Datuk Suji Bilang yang masyhur di Pahang sekitar tahun 1700M.Suji Bilang telah memilih Kuala Semantan sebagai tempat menetap. Di sana beliau membuka perkampungan bagi Orang Asli Saudara dan juga membuat penempatan bagi Orang Asli yang non-muslim. Oleh kerana kehebatan beliau kampong itu dinamakan “Tanjung Keramat”. Bapa Imam Syahibudin bernama Zainal Abidin berkahwin dengan sepupu -nya yang tinggal di Cenor bernama Siti Norsiah. Hasil perkahwinan itu memperoleh  dua anak lelaki ia itu Imam  Syahibudin dan Tuk Sahi atau  Imam Sahidin atau Tuk Aboi. Imam Sahidin berkahwin dengan anak Tuk Kaya Cenor yang bernama Juhara.
Imam Syahibudin  mendapat pendidikan agama dari bapanya sendiri Zainal Abidin yang juga merupakan seorang yang alim,  Ketika Berusia 15 tahun mula mengaji kepada Kadi Ismail, Kadi Ismail apabila melihat kecerdikan  Imam Syahibudin ketika masih remaja, maka beliau menyimpan hasrat bahawa anak muridnya yang pintar ini akan dapat melakukan sesuatu sesuai dengan hasrat dan cita-cita beliau, maka Kadi Ismail sentiasa mengalakkan Imam Syahibudin menyambung pelajarannya di luar negara.Menurut cerita dari Pak Zek @ Zakaria Hitam ,seorang  Budyawan Pahang yang terkenal: “ Imam  Syahibudin itu di jaga dan dipelihara oleh ibu dan bapanya dengan baik ,pada mulanya di ajar mengaji al Quran, maka sesudah pandai mengaji dan mengenal huruf maka dihantar pula mengaji kepada Tuan Kadi Ismail di Kampung Bangau Tanjung, Tuan Kadi Ismail pada masa itu merupakan salah seorang guru agama yang masyhur di Pahang dengan kealiman nya kerana beliau mengaji lama di Mekah.. Maka belajar lah Imam Syahibudin dengan Kadi Ismail, maka di dapati oleh Kadi Ismail akan Imam Syahibudin ini seorang murid yang bijak dan cekal serta rajin berusaha. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja maka habis semua ilmu yang di miliki oleh Kadi Ismail di kuasai oleh Imam Syahibudin. Maka berkata tuan gurunya kepada beliau;” Wahai Syahibudin, tiada lagi ilmu yang boleh aku ajarkan kepada kamu, kalau kamu berhasrat untuk menjadi seorang yang alim lagi bijak sana maka aku cadangkan bagi kamu, belajarlah pula ke luar negeri”. Maka jawab Imam Syahibudin: ”maka suka lah hamba mendengar cadangan tuan guru, akan tetapi hamba terpaksa lah meminta izin dari ibu bapa hamba kerana hamba masih budak lagi!”. Maka apabila Imam Syahibudin balik ke rumah ibu bapanya maka diceritakan kepada kedua ibu bapanya akan cadangan tuan guru nya, maka sangat gembira kedua ibu bapanya dan sangat menggalakkan beliau pergi mengaji hingga ke Mekah. Maka bertemu semula Imam Syahibudin kepada gurunya dan memberitahu bahawa ibu bapanya bersetuju membenarkan beliau belajar keluar negeri .Maka berpesan lah Kadi Ismail kepada Imam Syahibudin: ”Wahai Syahibudin pergi lah engkau mencari guru yang bijak dan pandai di seluruh Nusantara ini dan belajarlah bersungguh kepada mereka, apabila engkau hendak memulakan pelajaran maka berikanlah telur ini dan minta sembelih kan telur ini, jika guru itu dapat menyembelih telur ini maka barulah boleh engkau belajar kepada mereka, jika tidak carilah guru yang lain”. Maka dibekalkan juga bersama Imam Syahibudin itu 40 soalan dalam Ilmu Tauhid minta akan jawapannya. Maka apabila tiba hari yang di tetapkan maka Imam Syahibudin bersiap sedia untuk bertolak ,maka semasa untuk berangkat, Tuan Gurunya berkata kepadanya:” Wahai Syahibudin pada ketika ini isteri ku mengandung ,maka jika perempuan kelak maka jadi isteri lah kepada kamu, akan tetapi jika lelaki maka jadi sahabatlah kepada kamu”.Maka pergilah Imam Syahibudin seorang diri menaiki perahu cawat menuju ke Pekan. Ini kerana tempat pertama yang beliau akan pergi ialah ke pondok warisan Tok Ku Pulau Manis di Terengganu .Di Terengganu, Imam Syahibudin menuntut dengan beberapa orang guru di sana. akan tetapi tiada seorang pun guru yang dapat menjawab 40 soalan yang beliau kemukakan itu termasuk untuk menyembelih telur tersebut. Maka dengan itu Imam Syahibudin meneruskan perjalanan beliau ke Patani, ketika itu Negeri Patani merupakan sebuah negara Islam yang di perintah oleh Orang Melayu, Dari kalangan Ulama Patani ramai di kalangan mereka menjadi rakan kepada Imam Syahibudin. Di Patani, Imam Syahibudin belajar dari seorang ulama ke seorang ulama yang lain untuk menyelesaikan 40 soalan itu, tetapi sayangnya tidak semua 40 soalan itu dapat di jawab oleh Tuan-tuan guru tersebut. Maka Imam Syahibudin meneruskan perjalanan beliau dengan berjalan kaki menuju ke Negeri Kedah Darul Aman. Di Kedah juga Imam Syahibudin sempat belajar dengan beberapa guru yang terkenal ,akan tetapi semua mereka gagal menyembelih telur yang di bawa oleh Imam Syahibudin itu.Oleh kerana gagal untuk mendapat jawapan dari soalan-soalan tersebut maka Imam Syahibudin bercadang untuk kembali ke kampong halamannya di Temerloh, akan tetapi hasrat itu di halang oleh kawan-kawannya dengan mengatakan masih banyak lagi ulama yang lebih alim dan masyhur di Tanah Aceh. Maka sepatutnya beliau ke sana jika sebenarnya beliau jujur untuk menunaikan wasiat dan hasrat gurunya itu. Maka dengan bersemangat Imam Syahibudin meneruskan perjalanan beliau ke Aceh Daru l’ Salam. Di sana Imam Syahibudin sempat belajar dengan beberapa guru-guru Martabat Tujuh yang kembali menguasai kegiatan agama di Aceh setelah Syeikh Nuruddin al Raniri kembali ke India kerana gagal di dalam perdebatan beliau dengan Saiful Rijal. Di Aceh setelah belajar beberapa lama, beliau masih gagal mendapat jawapan dari soalan yang di bekalkan oleh gurunya itu. Maka Imam Syahibudin meneruskan perjalanan ke Daik, Palembang dan Lampung. Di Lampung, Imam Syahibudin bertemu dengan seorang guru yang hampir menyemai apa yang di gambarkan oleh Kadi Ismail itu, di sana beliau tidak terus belajar dengan guru tersebut sebaliknya memerhatikan kelakuan guru tersebut selama beberapa hari, Setelah berpuas hati maka satu hari Imam Syahibudin bertekad untuk belajar dengan guru tersebut, maka pergilah beliau ke rumah guru tersebut dengan membawa telur ayam dan alat pembelajaran, sesampainya di rumah guru tersebut kebetulan guru tersebut sedang hendak memberi makan ayam ternakannya. Maka dilihat beliau, guru itu membawa sebuah bakul kosong memanggil ayam supaya datang kepadanya, sambil berpura-pura  seolah-olah di dalam bekas itu ada makanan. Maka apabila dilihat oleh Imam Syahibudin perbuatan guru tersebut maka terbatal hasrat beliau untuk mengaji dengan guru tersebut kerana guru itu seorang yang pandai menipu.Oleh kerana kecewa dengan peristiwa tersebut maka Imam Syahibudin meneruskan perjalanan dengan menaiki kapal, belayar ke Tanah Jawa. Beliau singgah di Demak, kemudian ke Matarang sehingga sampai ke Betawi. Betawi semasa itu di bawah penguasaan Orang orang Bugis. Semasa di Betawi, Imam Syahibudin berjumpa pula dengan seorang guru yang sifatnya hampir sama dengan sifat yang digambarkan oleh gurunya. Maka dengan segera beliau masuk belajar dan bertanyakan pelbagai soalan. Setiap hari beliau mengemukakan beberapa soalan-soalan yang ganjil, yang sangat menghairankan Imam Syahibudin semua soalan yang di bawa dapat di jawab oleh Tun Guru tersebut. Pada hari ketiga Imam Syahibudin membawa sebiji telur dan sebuah pisau wali kecil. Apabila tiba maka duduklah Imam Syahibudin di hadapan pintu rumah tuan guru tersebut, maka hairanlah murid yang ada melihat tingkah laku beliau, apabila ditanya orang apa tujuan datang ;maka jawabnya hendak mengaji akan tetapi apa yang dibawanya bukan alat untuk mengaji. Sejurus kemudian tibalah tuan guru ,apabila sampai di pintu Imam Syahibudin memberi salam, Tuan Guru bertanya :”Apa hal dan apa hajat?”, mendengar pertanyaan tuan guru itu maka Imam Syahibudin pun berkata: ”Ada satu hajat besar ,saya minta tolong tuan guru” ,Tuan Guru berkata: ”Silakan”, Maka Imam Syahibudin pun mengeluarkan telur dan pisau wali tersebut sambil berkata: ”Saya minta tuan guru sembelih telur ini!”. Dengan tidak membuang masa Tuan Guru berkata:” Pegang kaki dan kepaknya segera supaya senang kita sembelih akan dia”. Mendengar jawapan gurunya itu maka Imam Syahibudin segera sujud ke lantai bersyukur kepada Allah kerana apa yang beliau cari selama bertahun-tahun ini sudah dijumpai, maka belajar lah beliau dengan guru itu bersungguh-sungguh”. Maka belajarlah beliau dari Fakih Abdullah Yusuf di Betawi. Tuan Fakih ini di percayai anak murid kepada Fakih Yusuf Abdul Salam yang pernah menjadi perdana menteri bagi Kesultanan Banten yang rajanya bernama  Sultan Ageng Tirtayasa. Di bawah bimbingan Fakih Abdullah Yusuf, Imam Syahibudin sudah menjadi seorang boleh di panggil Ulama sebagai mana yang di sebut oleh Imam Dzul Bayan:
Imam Shabudin alim Betawi
Batu Intan dikata kawi
Buat ibadat bersayo diri
Seperti kelakuan orang mencuri

                (Petikan – Zakaria Hitam –Budayawan Pahang)
Fakih Abdullah Yusuf guru kepada Imam Syahibudin dipercayai pernah  pergi ke Trim, Yaman belajar dari Syed Alawi Ba Al Hadad yang sangat terkenal ketika itu, Oleh kerana pengaruh Fakih Abdullah Yusuf sangat kuat ke atas diri Imam Syahibudin, maka banyak buku-buku karya Syed Alawi menjadi rujukan beliau, di antara buku yang sering beliau bicarakan mengenai tokoh ini dan mengamalkan ajaran-ajaran  beliau seperti  Kitab Nur al Mubin. Kitab ini   menbincangkan soal-soal tauhid. Menurut kajian kami pula; Setelah selesai mengaji di Betawi, Imam Syahibudin dipercayai meneruskan perjalanan ke Yaman bagi menyambung pelajaran, beliau pergi ke pondok pengajian yang di asaskan oleh Syed Alawi Al Hadad, seorang ulama  di Trim di dalam Negeri Yaman, setelah beberapa tahun beliau pergi pula ke Afrika Selatan menziarahi makam Syeikh Yusuf Makassar.
Sekitar tahun 1760an Kembali ke kampung halaman dalam usia yang sudah matang dan memulakan dakwah kepada penduduk di seluruh negeri Pahang, antara peranan utamanya ialah menghapuskan ajaran Salek Buta, iaitu kesan dari Ajaran Martabat Tujuh yang di asas kan oleh Hamzah Fansuri dan lain-lain ajaran sesat yang banyak terdapat di Pahang ketika itu. Beliau memulakan dari Pekan, kemudian ke Daerah Cenor, terus lagi ke Daerah Mengkarak tempat tinggalnya bapa saudara beliau Imam Zul Bayan. Maka di dalam pertemuan ini berlakulah beberapa perdebatan di  antara Imam Syahibudin dengan Imam Nur Qadim, Pantun perdebatan di antara dua ulama Pahang itu dirakamkan oleh Pak Zek di dalam tulisannya seperti berikut:
Kata Imam Nur Qadim:
Imam Syahibudin Alim Betawi
Batu intan dikata kawi
Berbuat ibadat bersayo diri
Seperti kelakuan orang mencuri

Ilmu Usul terlalu payah
Sekalian ummah selalu berbantah
Jikalau tidak kena kata sepatah
Menjadi Kafir Nauzubillah


Jawab Imam Syahibudin:

Imam Nur Qadim Ali bangsawan
Berbuat ibadat berkuat kuatan
Kelakuanya seperti hantu dan syaitan
Bila berbunyi lari hantu di hutan

Nafi isbat terlalu payah
Sekalian ulama banyak berbantah
Jikalau bercerai kalimah La ilahaillah
Menjadi kafir Nauzubillah

Martabat tujuh terlalu masyhur
Racun terbang di negeri timur
Lekat di hati sedikit tak kendur
Seumpama riwayat orang berikan

Penulis berpendapat, pantun ini merupakan satu dari pantun lama yang ada di dalam simpanan Pak Zek sebagai bukti wujudnya tokoh-tokoh dan peristiwa ini. Akan tetapi Imam Syahibudin tidak mampu untuk meyakinkan orang ramai dengan pendapat beliau.. Seterusnya beliau meneruskan misi dakwah nya ke Pulau Tawar yang merupakan ibu Negeri Pahang yang kedua ketika itu. Di sana beliau di usir, maka seterusnya beliau kembali semula ke Temerloh, dalam perjalanan pulang, bertemu pula dengan Lebai Ajam To Malim Panjang seorang tokoh Martabat Tujuh di Kampung Baduk Mukim Sanggang Temerloh Pahang. Namun segala ajakan dan seruannya tidak di terima oleh penduduk setempat. Seruan Imam Syahibudin tidak diterima oleh masyarakat Pahang yang ketika itu sangat tebal dengan fahaman Martabat Tujuh .maka dari sana beliau kembali ke kampung halamannya di Tanjung Keramat, dan beliau berkahwin dengan anak kepada Gurunya yang bernama Mendiah. Dari perkahwinan ini beliau memperolehi hampir 10 orang anak lelaki dan perempuan.
Sekitar tahun 1770an,Beliau membuka Kampung Berhala Gantang setelah gagal dalam usahanya untuk mengubah kepercayaan masyarakat Pahang ketika yang mempercayai  Ajaran Martabat Tujuh, tujuan membuka kampung adalah bagi mendirikan pusat pendidikan yang berasaskan Aliran Ahli Sunah Wal Jamaah sebagaimana yang di war-war kan oleh Syeikh Nuruddin Al Raniri di Aceh dan gurunya Kadi Ismail Mendalek. Beliau melaksanakan kerja ini dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya meletakkan pusat pendidikan beliau setaraf dengan pusat pendidikan di Aceh dan Jawa, beliau mengajar pelbagai kitab yang masyhur di dalam Mazhab Syafie dan juga di dalam bidang akidah serta tasawuf. Maka lahirlah dari kalangan anak-anak beliau sendiri, para ulama yang berilmu tinggi sehingga mampu menjadi kadi dan mufti untuk negeri Pahang; seperti Tuan Teh, Imam Baada, Kadi Nong. Dari Kalangan cucunya Kadi Besar Pahang, Kadi Abu Bakar (1830), Kadi Ismail dan Kadi Besar Pahang ,Kadi Ibrahim bin Hurairah (1840-1820).Pondok Pesantren ini berkembang sehingga ke hari ini.Sekitar tahun 1790an hingga 1800an, Ketika usianya sudah lanjut; Imam Syahibudin mula mengarang syair-syair, segala kegiatan pesantren di serahkan kepada anaknya Tuan Teh, Tugas Ketua kampung pula Imam Baada dan jawatan kadi diserahkan pada anaknya bernama Kadi Nong. Di antara syair beliau yang terkenal ialah Syair Asyikin yang kini diterbitkan oleh Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (Naskah Kadi Ibrahim dalam simpanan Mak Ngah Fah), terdapat juga syair beliau yang di sebut sebagai  Syair Ghafilah (Catatan Imam Mat Yasin Kg Sanggang Seberang),Syair Sifat, Syair Tumbuhan(Dalam simpanan Wan Sadiah Imam Yaakub Kg Raja Songsang), Syair Usul . Syair-syair ini di salin dan di simpan oleh anak murid dan anak cucunya sehingga ke hari ini. Syair karya Imam Syahibudin amat popular di Negeri Pahang ,dibacakan di surau-surau dan di perjumpaan keagamaan. Di samping itu juga dijumpai pengaruh karya beliau sehingga ke Johor dan Riau. Seorang pengarang Syair Sultan Abu Bakar telah meniru gaya Imam Syahibudin di dalam bersyair yang berjudul “Syair Johor “ ,karya ini pernah dijadikan thesis  di UM oleh Dr  Fauzi Basri, bekas Naib Canselor UUM.Di samping bersyair, Imam Syahibudin juga merupakan orang pertama memperkenalkan Dikir Rebana di Pahang. Sehinggakan dikir tersebut dinamakan Dikir Rebana Imam Syahibudin. Kegiatan dikir ini masih giat dijalankan di kawasan Tembeling ,Jerantut Pahang terutama di Kampung Teh. Dikir ini dibacakan pada malam majlis kenduri perkahwinan atau pada malam Maulid Nabi.

 Awal 1800-an  Meninggal dunia dalam usia hampir 100 tahun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ikuti SIP