Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Selasa, 7 Februari 2017

AJARAN SESAT: FATWA TUAN TEH @ KADI BESAR PAHANG PADA TAHUN 1791

AJARAN SESAT: FATWA TUAN TEH @ KADI BESAR PAHANG

Sebagai Kadi Besar di Negeri Pahang, selepas dilantik maka Tuan Teh telah mengeluarkan satu edaran surat warta berkaitan dengan perkara yang melibatkan akidah dan kepercayaan di Pahang.Oleh kerana Negeri Pahang terkenal dengan para pahlawan yang gagah perkasa di samping terdapat sebilangan ulama yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, maka lahirlah pula pelbagai mazhab dan aliran di Pahang ketika itu. Maka terdapat di Pahang sebilangan pengikut Aliran Martabat Tujuh yang diambil dari Aceh,Aliran Bersufi-sufi Diri yang di dapati dari kerajaan Payang, Pelbagai golongan tarekat seperti Tarekat Ba Alawi yang di bawa oleh Imam Syahbudin ,Tarekat Naqsabandi yang di bawah oleh Imam Zul Bayan , Tarekat Satariyyah yang dibawa oleh Kadi Ismail . Begitu juga di dalam ilmu kependekaran dan perbomohan terdapat ramai mereka yang terlibat kerana Negeri Pahang sejak awal kurun ke 18 mulai tidak lagi aman di mulakan oleh perebutan kuasa di antara Raja Kecil Besar dengan Raja Sulaiman, Campur tangan Bugis ,Kerajaan Pahang membantu Bugis menyerang Kedah,Bendahara Tun Ali membantu mengukuhkan kesultanan Selangor dsb. Para Pahlawan bukan sahaja berasal dari Pahang tetapi mereka juga diundang  dari Tanah Jawa,Palembang, Makasar, Kalimantan. Maka terdapat pelbagai suku kaum di Pahang sama ada dari suku Melayu,Banjar,Rawa,Minangkabau,Bugis,Jawa termasuk India,Cina,Eropah,Siam , Kemboja dll. Maka dari keadaan ini Tuan Teh selaku Kadi Besar Pahang mengeluarkan satu garis panduan mengenai iktikad dan kepercayaan, mengenai perkara bidaah dan khurafat.Warta ini dikeluarkan bagi tujuan menjaga akidah umat Islam tidak terjerumus ke dalam aktikad yang syirik,sesat@dholalah dan salah. Maka warta tersebut berbunyi begini:

Dengan sebab ilmu, tanbih (ingat2) daripada iktikad semata kufur lagi dholalah seperti iktikat bahawa wujud manusia wujud Allah dan Nur Muhamad pancar dari zat Allah dan Muhamad sifat Allah dan asal alam daripada zat Allah kemudian kembali kepada zat Allah dan umpama Allah dengan alam seperti matahari dengan cahaya dan seperti ombak dengan laut dan kapas dengan kain dan seperti bayang dengan empunya bayang dan berpindah sifat Allah kepada insan dan menjadilah Allah itu bersatu dengan insan maha suci lagi maha tinggi daripada kata kafir yang malun dibinasakan Allah taala dan  lagi ingat daripada iktikad yang cemar lagi najis ia itu iktikad Martabat Tujuh dan daerah yang dicemarkan Allah taala dengan mahluk seperti orang yang belajar dengan bersunyi-sunyi dan orang yang berkata iktikad hakikat bersufi-sufi diri dan orang yang belajar talqin zikir dijadikan Allah taala dalam manusia dan beberapa lagi perkataan yang semata mata kafir lagi dholalah seperti perkataan A’yan Thabith,A’yan Kharij dan Alam Lahut dan Ruh Idhofi dan kiblat nyawa dan diri yang sebenar diri dan sembahyang batin dan nikah batin dan hakikat junub dan hakikat menyembelih dan hakikat senjata dan hakikat sembahyang dan pantang pemali dan tuah senjata dan bertenung dan berjaga dan semangat padi dan segala riwayat yang tidak ketahuan asalnya seperti kiambang,donan dan lain nya dan ilmu tembak dan ilmu kebal yang berhakikat dari sesuatu dan cuca harimau dan ilmu nisyan dan tawar dan jampi yang tidak ketahuan asalnya dan asal besi dan ketika lima dan naka dan jakni dan Rijal al Ghaib dan kata menyangkal dan tempoh sekati dan ajal muajjal, maka sekalian ini masyhur di bawah angin pada sekaliah jahil dan fasik maka sekalian aktikad ini dan perkataan ini masuklah pada iktikad dan perkataan Wujudiah dan Batiniah dan Dahriyah dan Falsafah dan Nasrani dan Yahudi dan Majusi dibinasakan Allah taala dilaknatikan dalam Al Quran;Firman Allah taala: Mereka itulah orang di kutuki oleh Allah akan mereka itu dan firman Allah: Yakni segala mereka yang sesat hidup mereka dalam dunia ada lah mereka itu mengira-gira ia akan kebajikan amal mereka sedangkan amal mereka hanya lah hampa semata mata.Maka sekalian iktikad dan perkataan itu jangankan hampir kepada Islam,mencium bau Islam pun tiada.Dilindungi Allah taala kiranya segala yang beriman daripada yang demikian itu- Catatan ini di tulis pada malam Ahad selepas solat Isyak akhir bulan Muharram bersamaan 1206 Hijrah , penulisnya ia lah fakir alHaq Muhammad bin Syahibudin al Fahani al Berhali. Catatan ini di salin semula pada malam Rabu bulan Zu al Hijjah 1312 Hijrah.
(Warta ini tercatat di dalam Cenderahati Majlis Memperingati Tokoh Ulama Silam ke 8 Anjuran UKM 1983 & Buku “Tokoh Ulama Pahang” sempena hari memperingati keputeraan  KDYMM Sultan Pahang 2014)

Ajaran yang salah:
1)Martabat Tujuh @ Wihdat al Wujud @ Wujudiyah : Ajaran ini berasal dari pengaruh ajaran Yunani kuno yang diimplemantasikan oleh Ibnu Arabi @ Ahli Tasawuf yang mengatakan bahawa manusia dan Allah itu adalah satu dari segi wujudnya seperti ombak dan laut. Ombak berasal dari laut yang zahir dengan sebab akibat yang hanya diketahui oleh Allah. Pecahan dari pendapat ini ada banyak seperti   pengikut al Hallaj dsb
2)Bersufi sufi Diri: Ajaran yang diambil dari Sy Siti Jenar dari Payang di Jawa yang mendakwa bahawa tuhan ada dalam dirinya dan syurga neraka itu tidak ada. Kebahagian ada di mana tidak kira orang miskin atau kaya.
3)Batiniah: Ajaran dari Iran yang mengatakan bahawa setiap yang zahir itu ada batin nya.Ia merupakan ajaran yang lahir dari fahaman syiah, ajaran ini berkembangan menjadi ajaran Ahmadiyyah dan Bahai.
4)Dahriyah: Golongan yang berpendapat bahawa alam ini tidak dijadikan oleh tuhan sebaliknya ia terjadi sendiri dengan perubahan masa. Ajaran ini berkembang dari pendapat golongan zindik dari agama majusi.Di zaman moderan ini ajaran ini menyamai teori evolusi yang di polupori oleh Charles Darwin.
5)Nasrani merujuk kepada agama Kristian
6)Yahudi merujuk kepada agama Nabi Musa yang diselewingkan oleh Rabi-rabi Yahudi
7)Rijal al Ghaib: adalah sejenis manusia yang berkebolehan menghilangkan diri tetapi boleh dipanggil untuk meminta bantuan dengan cara cara tertentu, ada pendapat mengatakan ia berasal dari golongan jin.Ada mengatakan ia adalah para malaikat, ada pendapat mengatakan mereka adalah golongan para Abdal, semua pendapat ini adalah meragukan yang paling jelas ini bukan dari ajaran Islam,bukan dari sunah Rasullulah dan para sahabat, dibimbangi ia adalah jelemaan syaitan.
8)Ajal Muajjal; Ilmu sesat untuk mengetahui bila ajal sesaorang itu akan sampai dengan melihat tanda tanda pada anggota badan dan alam semesta, ajaran ini tidak ada di dalam Quran dan hadis hanya rekaan manusia semata-mata.
9)Roh Idhofi: seperti rijal alGhaib ia boleh membantu sesaorang dalam kesempitan
10)Nikah Batin: Akad nikah yang dilakukan oleh “Mahaguru” bagi membolehkan ia berkahwin dengan sesaorang wanita yang di ingini tanpa perlu pada mas kahwin, wali dan saksi.Ada amalan nikah batin berlaku ketika golongan ini melakukan ratib beramai2,”Tok Guru” melakukan persetubuhan dengan murid perempuan yang dia kehendiaki sehingga selesai ratib maka tidak lagi berlaku nikah batin ini. Tujuan ajaran ini hanyalah untuk memuaskan nafsu sahwat sex sahaja.
11)Segala jenis ilmu hakikat spt Hakikat Solat,Hakikat Sembahyang,Hakikat Sembelih,Hakikat Junub: Sejenis ajaran sesat yang kononya jika sesarang mengetahui  hakikat sesuatu maka ia sudah sampai ke martabat tertinggi di dalam agama, oleh itu setelah mengetahui sesuatu “Hakikat” ia tidak perlu lagi melakukan amalan spt solah,puasa,zakat dan haji. Orang ramai melakukan semua ritual ibadat keran mereka belum mengetahui hakikat amalan tersebut.

Ilmu Pendekar & Perbomohan
12)Tenung : Ilmu Bintang Dua Belas, Nujum dan Tilik Nasib.
13)Pantang Pemali: Ilmu Pelangkah, Untung Rugi dll.
14)Tuah Senjata: Ilmu memilih senjata, Ilmu tuah besi dan batu permata.
15)Kiambang:  sejenis ilmu sihir yang boleh membunuh dari jauh.
16)Donan : Ilmu Gagah
17)Cuca Harimau: Ilmu untuk menghalau atau melemahkan harimau & binatang buas
18)Naka: Ilmu Persilatan
19)Ilmu Kebal: Ilmu Kepahlawanan.

Menurut Tuan Teh  semua ajaran ini berlawanan dengan Islam dan dilarang oleh Rasulullah. Ajaran ini sama ada tidak berasal dari Islam atau pun direka oleh musuh-musuh Islam. Begitu juga sebahagian ilmu kependekaran seperti ilmu kebal dan ilmu perbomohan seperti ilmu tenung dan rasi adalah ilmu yang diambil dari agama Hindu yang berlawanan dengan akidah Islam. Oleh itu beliau telah memberi peringatan kepada umat Islam di Pahang mengenai bahaya ajaran-ajarang tersebut yang boleh merosakkan iman dan akidah mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog