Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Rabu, 22 Mac 2017

MEMORI 60’s : KAJIAN PENULISAN KITAB-KITAB AGAMA DI PAHANG


Pendahuluan
Tahun ini usia aku menjangkau 60 tahun, aku dilahirkan di tahun kemerdekaan Tanah Melayu 1957. Sekarang aku dalam masa kecederaan, ibarat dua pasukan bola yang sedang bertarung,bila-bila masa sahaja pengadil akan meniupkan wisel penamat. Perjalanan hidup aku bukanlah menghairankan sangat cuma aku banyak masa lapang maka sewajarnya aku menulis dan mencorit sedikit sebanyak apa yang aku lalui. Mengimbau kenangan lama bersama kawan-kawan semoga ia jadi satu ingatan yang sentiasa mesra sebab aku sayang kamu semua. Semoga memori ini menjadi dorongan pada para pemuda untuk berbakti untuk bangsa dan agama.

MEMORI 60’s
KAJIAN PENULISAN KITAB-KITAB DI PAHANG
Tahun 1983 merupakan tahun terakhir aku belajar di UKM. Bagi pelajar yang mengambil ijazah sarjana muda kami dikehendaki membuat kajian @thesis ringkas berkenaan tajuk berkaitan dengan matapelajaran kami khususnya Pengajian Islam. Aku memilih untuk membuat kajian mengenai penulisan kitab2 agama di Pahang, kerana terkesan dengan Prof Dato Dr Ariffin Said yang selalu aku jumpa di rumah ayah di kampung. Pada masa itu Prof Dato  membuat kajian mengenai puisi lama di Pahang, di kampong aku beliau memberi tumpuan kepada Tuk Shahibudin yang banyak mengarang syair2;antara tumpuan beliau ialah Syair Asyikin. Penyelia aku pada masa itulah Dr Mahmud Saedon dari Jabatan Al Quraan dan Sunah,beliau berasal dari Berunai dari keluarga yang pernah berjuang menuntut kemerdekaan dari British secara kekerasan sehingga keluarga ini terbuang ke Malaysia dan Singapura. Beliau sangat tegas tetapi baik hati kerana hasil kerja aku yang sangat buruk itu di beri pangkat “A”. Aku memulakan pengkajian aku menerusi Syair Asyikin yang diberi Salinan oleh Prof Dato Dr Ariffin Said. Dari karya tersebut aku baca berkali2 maka aku dapati bahawa pada abad ke 18,terdapat ramai tokoh agama di Pahang. Dan di dalam syair itu ada menyebut nama seperti Imam Zul Bayan, Imam Nur Qadim, Tuk Malim Lebai Panjang,Nahkoda Abdullah,Tuk Uban . Di samping nama2 itu disebutkan juga nama2 tempat alim ulama itu berada. Di antara nama kampong yang disebutkan ialah Kampung Makasar di Pekan, Kampung Mengkarak di Bera,Kampung Baduk di Temerloh. Maka ini memudahkan kerja aku untuk membuat kajian.


Apabila sampai cuti semester yang agak lama,maka aku mengumpul wang biasiswa dan pergi ke tempat-tempat tersebut. Di Mengkarak aku tinggal dirumah Ustaz Ahmad pelawat iaitu di kampong Tuk Langit, selain ada bau2 bacang dengan aku, aku juga berkawan baik dengan anak beliau. Di sana aku tak dapat banyak cerita berkaitan dengan Imam Zul Bayan secara ilmiah Cuma cerita2 mitos yang tentu nya akan dicampak oleh Dr Saedon dalam tong sampah beliau yang agak besar jika aku tulis cerita2 semacam itu. Namun di Kg Tuk Langit aku bernasib baik dapat melihat pusaka peninggalan tuan guru haji majid. Beberapa tulisan tangan tuan guru haji Ismail Mat Akil yang beliau simpan, senjata lama,jubah dan kopiah….entah2 benda ni ada lagi atau tidak aku tak tahu lah,biasanya anak cucu akan bakar benda ni bila tuk nenek meninggal dunia. 

Pada awal tahun 80an  bila aku berulang alik dari Bangi ke Temerloh,kami menaiki bas dari bangi ke KL kemudian ke Bentong dari sana ke Temerloh. Biasanya perjalanan mengambil masa sehari suntuk,zaman belum ada bas express yang banyak. Aku selalu tidur di rumah aki siwi;bapa kepada Tuk 4 Harmaini di Kampung Raja Songsang, sebab bas kami sampai ke Temerloh ,hari sudah gelap.Kami berjalan kaki dari simpan Bt 3 ke rumah aki siwi. Rumah yang didiami oleh KDYMM Sultan Abu Bakar masih ada di sebelah rumah aki siwi. Aku Begitu bernasib baik, bila aku ceritakan kepada Wan Saadiah yang aku hendak mencari syair2 lama,maka beliau mengeluarkan dari simpanan beliau beberapa buah syair lama.Syair ini di ambil dari bapa nya yang juga seorang Imam terkenal di Kg Bintang,anak cucu Tuk Shahibudin juga.Dari Kampung Bintang aku pergi ke Kampung Sanggang Seberang,untuk bertemu dengan Imam Mat Yassin anak kepada Imam Yaakub. Imam Yaakub seorang tuan guru berasal dari Kelantan yang mahir tajwid, beliau merantau ke Pahang dan membuka pondok di sana. Dari Imam Mat Yassin aku memperolehi dua naskah syair dan salah satunya syair Ghafilah karya Tuk Shahibudin yang di warisi dari ayah nya yang mungkin mengambil dari anak cucu Kadi Besar Pahang,Kadi Abu Bakar Sanggang iaitu bapa kepada Imam Perang Teh Sanggang. Aku rasa untuk kajian penulisan puisi sudah ada beberapa naskah,maka aku rasa sudah memadai bagi kajian thesis aku,kemudian aku mula mencari bahan penulisan prosa pula. Negeri Pahang mempunyai sungai yang besar oleh itu banjir yang sangat besar berlaku setiap tahun,segala harta benda habis musnah. 

Menurut cerita lisan dari ayah ku, masa beliau remaja beliau masih sempat membaca karya2 prosa tulisan tangan Tuk Shahibudin tetapi semuanya sudah hilang di telan banjir. Aku bernasib baik juga dalam masa aku sibuk menulis sebahagian thesis itu aku menerima satu bungkusan dari Tengku Abdul Aziz di Kuantan,di dalam nya ada beberapa naskah kepunyaan Tuan Teh. Kemudian aku berjumpa dengan Pak We Salleh Kerdau anak kepada Guru pelawaat Haji Yaakub ,beliau ada menyimpan beberapa naskah tulisan Kadi Iberahim, dan aku dapat juga sebuah kitab ilmu tauhid karangan Kadi Ahmad Bangau.Dari Dato Taarif b Abd Rahman @ bekas DO Temerloh,aku menerima sebuah buka bertajuk Lunas Pengetahuan hasil susunan Kadi Lepih, Tuan Kadi Haji Ismail Mat Akil. Ini bermakna aku sudah ada 4 naskah tulisan prosa hasil karya anak Pahang. Maka aku mula menulsi thesis aku sambil menghabiskan pengajian ku di tahun empat di UKM. 

Setelah tamat pengajian aku di UKM, aku bertugas di Pekan Pahang. Di sana aku masih meneruskan pengkajian aku berkaitan dengan Sejarah Islam Pahang, aku membantu kawan-kawan yang meminta bantuan bagi membuat kajian berkaitan dengan Islam dan Istana, di samping itu aku dapat menambah koleksi catatan aku. Aku sempat bertemu beberapa orang tokoh besar di Pahang seperti Tengku Panglima Perang Tengku Jaafar, Mualiam Arif dll. Tapi sayang kajian aku ni tidak di iktiraf oleh sesetengah pihak kerana mereka iri hati dengan apa yang aku dapati, inilah masalah orang kita. Mereka malas mengkaji tetapi tak malas mengkritik sedangkan mereka tak tahu apa pun.Akhirnya aku mengucapkan terima kasih kepada semua kawan-kawan yang memberi sokongan dan memberi pandangan juga yang memberi kritikan, kalau tidak ada kritikan semua yang salah menjadi benar,Cuma aku terkilan bila sesuatu perkara sudah jelas tapi ada pihak masih membantah….ehmmm…susah nak cakap

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog