Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
"Pemandangan Sungai Pahang di Temerloh" -Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Jumaat, 28 April 2017

ULAMAK PEKAN SEKITAR TAHUN 1700 MASEHI @ AWAL ABAD KE 18



Latarbelakang:
Daerah Pekan merupakan kawasan pingir pantai Negeri Pahang yang berdekatan dengan laut. Ia juga berdekatan dengan laluan kapal dagang Cina dan Arab. Bukti kedatangan Islam ke Pahang terdapat di Pekan bertarikh pada tahun 419 Hijrah dengan terjumpanya makam lama di Kampung Pulau Jawa.Di dalam Kitab Sejarah Melayu karangan Bendahara Tun Seri Lanang juga menyatakan bahawa seorang Arab yang bernama Syed Ahmad telah membantu Hang Nadim melarikan Tun Teja dari Pahang ke Melaka. Syed Ahmad sangat mahir berkenaan dengan laluan kapal di Kuala Pahang. Maka kewujudan makam dan tokoh yang ada kaitan dengan Islam, memperlihatkan bahawa sehingga ke hari ini, Daerah Pekan merupakan kawasan pertama di Pahang yang mula dijejaki oleh pendakwah Islam dan Orang Arab. Walaupun begitu beberapa persaolan masih wujud di dalam kajian kita; kerana terdapat sebuah pusat pengajian Islam di Lubuk Pelang di zaman Sultan Abdul Jamil yang terletak jauh ke pendalaman Negeri Pahang.

Kawasan Penempatan :
Kawasan Kuala Pahang merupakan kawasan penempatan Orang Islam di masa dahulu, Kg Kuala Selangor,Kampung Serandu,Kampung Marhum,Kampung Pulau Tambung,Kampung Maulana,Kampung Pahang Tua terdapat banyak kubur kubur lama tinggalan orang Islam yang tinggal di sana.Nama2 kampung seperti Kg Marhum,Kampung Maulana memberikan ciri ciri nama Islam. Dan di kampung Padang Buluh terdapat kubur anak raja tujuh beradik. Pada batu nesan ini tertera tarikh2 bila makam itu di bina. Keluarga di raja mempunya dua tempat tinggal satu di Pekan dan satu lagi di Cenor. Sebab itu di dalam pantun lama Pahang di sebut:”Di Cenor Moyang Tuk Raja”; kerana sebahagian keluarga di raja tinggal di Cenor.

Tokoh-tokoh:
            Tokoh-tokoh agama di Pahang yang terdapat di zaman Melaka (1750M) hingga ke zaman Acheh (1650M) kemudian di zaman Kesultanan Riau-Johor-Pahang masih tidak diketahui ,maklumat berkenaan dengan mereka ini masih tidak dapat ketahui sama sekali. Di samping kemajuan Islam di Pahang begitu pesat sebagai mana kemajuan Islam di Melaka dan Aceh. Jika di Melaka ada “Hukum Kanun Melaka”,maka di Pahang ada “Hukum Kanun Pahang”. Jika di Aceh ada tokoh Martabat Tujuh, apa kurang nya di Pahang pun ada ramai tokoh-tokoh Martabat Tujuh yang alim dan terbilang. Begitu juga di Pekan masih belum dapat dikenal pasti tokoh tokoh agama secara fakta sejarah yang mempunya bahan bukti bukan hanya setakat cerita lisan semata mata. Oleh itu kami memgambil jalan tengah di dalam soal ini, di samping kami memberikan bukti sejarah secara fakta kami juga mengambil cerita lisan dari orang tua-tua sebagai pegangan dan bahan penceritaan kami. Di Antara tokoh-tokoh agama yang wujud sepanjang sejarah di Pekan adalah seperti berikut:

Allahyarham dato’  makasar,
            Pada awal zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil , baginda telah menjemput empat orang ulamak dari perguruan-perguruan Wali Songo datang ke Pahang. Maka baginda mendapat sambutan dari empat tokoh iaitu Tok Makasar, Tuk Ali , Suji Bilang dan Imam Besar . Oleh sebab Negeri Pahang sebuah negeri yang agak luas dan perjalanan agak sulit, maka Dato’  Makasar bertugas di Pekan, Dato’ Ali bertugas di Kampung Mambang, Paloh Hinai. Dato’ Suji Bilang bertugas di Temerloh dan Dato’ Besar bertugas di Kuala Lipis.Pendapat ini adalah dari sumberlisan oang tua-tua di zaman dahulu. Penulis mempunyai firasat yang kuat bahawa beliau ada lah mufti Pahang pada ketika itu kerana tokoh ulamak ini tinggal di kawasan Pekan.

Allahyarham dato’ ali mambang

Tokoh agama ini membuat penempatan di Kampung Mambang,Paloh Hinai Pekan,beliau mendirikan pondok di sana dan berkahwin dengan Orang Asli yang terdapat di sana. Seruan dakwah di sampaikan kepada penduduk Pahang terutama dikalangan orang Melayui yang terdapat di sekitar kawasan tersebut hingga ke hulu sungai Pahang seperti Pulau Datu,Pulau Mentiga,Serengkan,Lubuk Paku ,Sanding dan Cenor. Menurut cerita orang tua-tua tokoh-tokoh ulamak di masa itu mempunyai pelbagai kebolehan bukan sahaja ilmu agama tetapi pelbagai ilmu bagi kegunaan masyarakat setempat seperti ilmu persilatan,perubatan,pertanian dan perlombongan. Merekalah yang menjadi tempat tumpuan masyarakat di dalam kehidupan mereka. Para ulamaklah yang menjadi tempat rujukan di dalam apa sahaja keperluan masyarakat. Tokoh ini tidak diketahui asal usulnya

Allahyarham dato’ keriang aji  1720

Tokoh ini disebut oleh Tuk Shahibudin di dalam syair Ghafilah, juga di sebut oleh W.Linehan di dalam bukunya "History of Pahang". Beliau berasal dari Bugis dan pernah di anggap oleh pihak mezium ngeri Pahang sebagai pengasas kepada kain songket tenunan Pahang. Di samping pelbagai kebolehan lain, tidak boleh dinafikan beliau juga adalah seorang ulamak yang mengikut aliran Mertabat Tujuh , Hamzah Fansuri dari Acheh.Beliau memyambung usaha Tuk Mekasar menghidupkan trdisi pengajian agama di kampong tersebut. Kampung Makasar di zaman dahulu merupaka sebuah pelabuhan yang besar di Pahang…….

Berapa banyak yang handalan
Dari Jelai sampai ke Pekan
Kampung Makasar bergelar To’Uban
Dirantau Temerloh berbilang pegangan


Kepala ilmu mengenal diri
Dimitalkan tanah buyung dan kendi
Sekalian alam wujud mazaji
Hanyalah Allah yang hakiki

Perlu menjadi ingatan kita semua bahawa ajaran ulamak dahulu berkaitan dengan Martabat Tujuh bukan lah sebagaimana, Ilmu Hakikat yang di ajarkan oleh guru-guru di tengah malam sebagaimana yang ada sekarang. Mereka adalah para ulamak yang pakar di dalam bahasa Arab,memahami tafsiran al Quraan dan menghafaz banyak hadis-hadis Rasullulah. Mereka sebenarnya adalah orang yang sangat alim tetapi hanya aliran mereka ini mengikut fahaman Hamzah Fansuri yang di ambil dari ahli tasawuff yang terkenal Ibnu Arabi. Sedangkan guru-guru ilmu hakikat dewasa ini kebanyaknya jahil bahasa Arab, tidak memahami tafsiran al quraan dan tidak hafal sama sekali hadis-hadis nabi,terdiri dari orang-orang yang jahil tidak pandai berbahasa Arab dan buruk tulisan jawinya.

Allahyarham nahkhoda abdullah

Menurut cerita lisan dari orang tua-tua di Pekan, tokoh ini berasal dari Acheh, merupakan seorang ahli perniagaan, kuburnya terdapat di kampung Pulau Jawa Pekan di dalam keadaan yang tidak terjaga.Pernah di tunjukkan kepada penulis makam tersebut disebelah hulu masjid Kg Jawa. Sesampai di pantai timur Tanah Melayu beliau ke negeri Terengganu bagi mempelajari ilmu agama kepada  Tuk Ku Pulau Manis. Setelah tamat pengajian beliau berpindah ke Pahang,tinggal di sana dan mendirikan pondok pengajian agama di Kampung Sungai Mak Dulang, Kampung ini terletak bersebelahan dengan kampong Makasar. Kg Sungai Mak Dulang boleh dikatakan sudah pupus dari peta kerana dibina  masjid Daerah Pekan di tempat tersebut.
Oleh kerana beliau berasal dari Acheh sudah tentu terdedah kepada ajaran Mertabat Tujuh Hamzah Fansuri dan menyambung pengajiannya kepada Tuk Ku Pulau Manis yang terkenal dengan kitab "HIKAM"  Melayunya,maka sudah tentu semasa mengajar di pondoknya beliau menyibarkan aliran tersebut. Tuk Shahibudin seorang tokoh penyair dan penyokong aliran Nuruddin al Raniri tentu sekali tidak berpuas hati dengan aliran yang di bawa oleh Nahkoda Abdullah ketika itu.Tokoh ini sebut namanya  oleh Tuk Shahibudin di dalam Syair Ghafilah,

Nakhoda Abdullah di Sungai Mak Dulang
Mengajarkan ilmu dari Tuk Marang
Jibri dan Qadir mukaranah sembahyang
Memutuskan kata tali dipinggang

            Penulis pernah bertemu dengan seorang tua di Pekan untuk bertanyakan maksud perkataan di dalam syair :”Memutuskan kata tali di pinggang”. Beliau menjelaskan bahawa setelah belajar ilmu hakikat dengan tuan guru maka si murid mesti memberi pengeras yang adat istiadanya dibuat di belakang busut. Di mana pemutusnya sehelai kain yang di ikat di pinggang.Kemungkinan adat ini tidak diwarisi dari Nahkoda Abdullah sebaliknya hanya rekaan dari Mereka yang terkemudian, ini kerana bila penulis mencari jejak tokoh ini di kalangan guru2 yang mengajar ilmu hakikat di Pekan, tidak ada seorang pun yang mengenali tokoh ini.

Allahyarham orang kaya osman
Tokoh ini lahir dari kalangan pembesar Pahang, dari keluarga Orang Kaya Shah Bandar Pekan. Jika kita merujuk kepada salasilah keluarga tersebut tidak ada orang yang bernama Osman tetapi terdapat satu tokoh yang sezaman dengan Imam Shahibudin yang di sebut “BEDIMAN”. Kemungkinan kedua dua nama ini ada lah milik orang yang sama kerana Imam Shahibudin tidak begitu mengenali nama pembesar Pahang yang berada di Pekan ketika itu kerana kedudukan yang agak jauh.Tokoh agama dan juga pembesar negeri Pahang ini disebut oleh Tuk Shahibudin di dalam syair Ghafilah :

Demikian lagi Si  Kaya Seman,
Melingguk zikir kiri dan kanan,
Sampai kepada Duli Pertuan @sultan,
Ajad Atar melengakan.

Patut di ingat sekitar rahun 1630 negeri Pahang ditaaluk oleh Sultan Mahkota Alam dari Acheh, baginda dengan kekuatan tenteranya berjaya menawan Pahang sebagaimana negeri-negeri lain dan baginda telah menawan 10,000 rakyat Pahang beserta Puteri Kamariah dan Iskandar Thani di bawa balik ke Acheh DarulSalam. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memgambil Hanzah Fansuri sebagai penasihat dan Shamsuddin al Sumaterani sebagai Perdana Menteri. Baginda meletakkan wakil Acheh di Pahang bagi mentadbir negeri tersebut.
Kesan dari penaalukan Acheh ke atas Pahang,maka pengaruh aliran Mertabat Tujuh sangat kuat di Pahang hingga ke tahun 1750an.Semasa pemerintahan Sultan Sulaiman,Terdapat seorang pembesar raja yang bernama  Orang Kaya Osman yang juga seorang orang ulamak dan memegang fahaman Mertabat Tujuh. Beliau ini banyak mempengaruhi pihak istana dalam soal-soal keagamaan dan kegaitan tarekat.Kalau di lihat dari kritikan Tuk Shahibudin nyatalah bahawa Orang Kaya Osman mengikut Tarekat Naqsabanddi, Ini sama dengan tarekat yang menjadi pegangan mufti Pahang ketika itu Imam Zul Bayan yang tinggal di Mengkarak.

Kesimpulan:
Daerah Pekan merupakan satu daerah yang menerima kemasukan Islam paling awal di Pahang, disamping itu juga didaerah ini ramai melahirkan tokoh agama yang terkenal sepanjang zaman. Ini berkemungkinan kawasan ini dekat dengan Pulau Tioman. Pulau Tioman merupakan satu pelabuhan yang sibuk satu masa dahulu kerana ini merupakan tempat persinggah saudagar Arab,India dan Cina yang dating untuk mengambil bekalan air tawar dan juga tempat membaiki kerosakan yang berlaku kepada kapal2 dagangan Mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ikuti SIP