Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Jumaat, 16 Jun 2017

LANGGAR , Salah satu cara teknik perperangan di Pahang dalam abad ke 18.


Perkataan ‘langgar” membawa beberapa pengertian; a)menyerang dengan bersungguh-sungguh,b) bermakna surau, c) tempat pemakaman diraja, d) bahagian beratap yang menganjur dari ibu rumah. Perkataan “langgar” yang kita cuba bahaskan di sini ialah yang pertama iaitu menyerang dengan bersungguh-sungguh di dalam medan perang.

Orang Melayu dulu terkenal sebagai bangsa yang kuat dan ditakuti, mereka bangsa yang suka berperang dan menjajah bangsa lain.Wilayah kekuasaan Orang Melayu begitu luas dari Asia Tenggara hingga ke Hawaii meliputi Negara Filipina,Malaysia,Indonesia,Australia,New Zealand.Kerajaan Melayu zaman dahulu terkenal dengan kegagahan dan kekayaan sehingga boleh membina candi-candi yang besar dan berdiri megah sehingga ke hari ini. Dengan berlaku peredaran zaman, orang melayu yang telah maju dan bertamadun itu mulai mengasihi dunia dan takut mati, di dalam mempersoalkan sebab kekalahan Melaka kepada pasukan kecil dari Portugis, konon nya dikatakan kekuatan Melayu sangat kurang berbanding dengan kekuatan Portugis yang memilki meriam,pemuras dan rentak, rupa-rupanya di dalam gedung senjata kerajaan Melaka terdapat ribuan meriam,ribuan pemuras,ribuan rentak yang masih belum digunakan. Kebolehan berperang yang dimilki oleh Orang Melayu terlukis di dalam catatan sejarah Melayu lama, mereka berperang dengan pelbagai cara dan menyusun pasukan tentera di dalam pelbagai bentuk sesuai dengan perang yang akan di hadapi. Dato Bahaman di masa beliau berkuasa menggunakan taktik “langgar” yang berkesan sehingga dapat mengalahkan kekuatan pasukan Tun Mutahir,menewaskan pasukan Raja Mahadi. Semasa beliau kehilangan kuasa; Dato Bahaman banyak menggunakan taktik gerila di dalam membuat serangan.Taktik yang digunakan oleh Dato Bahaman agak menarik sesuai dengan persekitaran yang beliau miliki di Pahang; spt sungai,hutan,jeram,kuala sungai,gua,bukit bukau,Orang Asli dsbnya.Orang Melayu jarang menggunakan gajah sebagaimana orang India ini disebabkan bintang gajah sukar dikawal di dalam suasana bising dalam peperangan.

Orang Pahang sejak dari tahun 1500 mereka menghadapi banyak peperangan, oleh itu maka negeri ini terkenal dengan tokoh pahlawan nya.Di zaman Raja Melaka menguasai Pahang, Negeri Pahang menghadapi serangan dari Portugis dan Belanda, di awal kurun ke 17 ,Pahang menerima serangan dari Aceh di bawah Sultan Iskandar Mahkota Alam, di awal zaman bendahari, berlaku peperangan di antara Sultan Sulaiman dengan Anak Raja Kecil Besar yang menuntut takhta warisan Marhum Mangkat di Julang, di zaman Bugis pula rakyat Pahang berperang hingga ke Selangor. Pada pertengahan abad ke 18,Pahang menghadapi suasana tidak aman dengan sebab perebutan kuasa, perang Kelang dan Pemberontakan Bahaman. Semua peristiwa ini membawa beberapa kesan kepada penduduk Pahang dan peristiwa ini juga melahirkan beberapa tokoh-tokoh pahlawan di Pahang,sehingga Pahang lebih dikenali sebagai negeri yang terkenal memilki sebaris pahlawan negara yang cukup terkenal.

Susunan pasukan tentera Pahang dalam abad ke 18 di ketuai oleh Tengku Panglima Besar dan di bawah beliau ada satu jawatan Panglima Besar atau Jenderal. Tengku Panglima Besar berkemungkinan memegang kuasa sebagai menteri dalam negeri sahaja dan hal ehwal ketenteraan seluruh nya di bawah Panglima Besar yang di pegang oleh Syed Idrus. Di bawah Panglima besar ada jawatan Panglima Laut dan Panglima Dalam. Pasukan perang tentera Pahang diketuai oleh  seorang Kepala Perang yang diberi nama Imam Perang Mahkota, tugas kepala perang adalah untuk mengatur pergerakan pasukan-pasukan dibawah kelolaan nya.Di bawah Kepala Perang,  pasukan tentera  di bagi kepada 6 pasukan di bawah enam panglima,seperti contoh di dalam pertempuran di Pekan antara Wan Mutahir dengan Sultan Ahmad, ada enam panglima seperti Panglima Kumbang,Panglima Tapak,Panglima kakap Bahaman,Panglima Mansur. Mereka ini ditugaskan mengawasi pergerakan dan kedudukan pasukan masing-masing. Setiap pasukan duduk di dalam  saf@barisan masing-masing. Pasukan Dato Bahaman ada sepuluh ribu anggota. Di dalam setiap pasukan pula ada beberapa panglima kecil seperti Panglima Kanan,Panglima Kiri dan Panglima Tengah. Bagi orang yang mempunyai kebolehan tertentu, mereka dilantik sebagai Panglima Pilihan.Anggota tentera di gelar Pahlawan. Setiap Pahlawan dimestikan mempunyai kebolehan bersilat,bermain keris,pedang panjang,lembing dsb. Pahlawan di dalam tentera raja Johor di gelar “serdadu”, kerana pasukan Johor banyak mengambil susun bentuk pasukan British. Susunan ini digunakan semasa pergerakan untuk menakutkan musuh dan memerahati pergerakan musuh,apabila pertempuran besar berlaku susunan ini tidak diambil kira lagi. Setiap pasukan dibekalkan dengan bendera merah dan hitam.Para Panglima mesti duduk dibarisan hadapan sekali.Pasukan tentera Pahang mempunyai pakaian seragam hitam yang diberi nama Gagak Sekawan.Mereka memakai songkok merah berjambul,baju rantai,seluar sampak,bengkung sebagai perisai untuk melindungi kawasan perut,keris pendek atau sundang ,pedang dibahu,perisai jika perlu. Bagi para panglima mereka dibekalkan dengan senapang,pemuras dan rentak.Selain dari pasukan tentera, Pasukan tentera Pahang mempunyai pasukan membawa bendera dan membawa gendang dan serunai. Kumpulan ini menjadi tukang sorak dan penaik semangat kepada pahlawan yang berperang. Mereka juga digunakan untuk menakutkan musuh dengan bunyi gendang yang kuat dan ramai. Kumpulan memasak & merawat yang terdiri dari wanita juga dibawa sama,biasanya mereka duduk di belakang jauh dari pasukan tempur. Pertempuran hanya berlaku pada waktu siang,pada waktu malam para pahlawan berehat.

Pada abad ke 18, Pahang mempunyai dua medan peperangan  atau “Langgar”. Satu terletak di sebelah hilir sungai Pahang, iaitu di Kampung Langgar Pekan Pahang. Kampung Langgar mempunyai satu unit padang yang luas, biasanya pertempuran antara dua pasukan di adakan di situ,masing-masing mengambil kedudukan di hulu dan hilir sungai.Pemberitahuan akan diberi kepada semua pasukan hulu ke menang atau pasukan hilir. Satu tempat lagi yang biasa digunakan ialah di Pulau Kg Lebak Temerloh. Di dalam pertempuran kedua di antara pasukan Wan Mutahir dengan Sultan Ahmad 1, berlaku di Pulau Lebak, mula nya pasukan Wan Mutahir @ pasukan hilir memenangi peperangan, masuk hari ke tiga dan keempat,keadaan sudah berubah,pasukan hulu pula menang. Pasukan Sultan Ahmad 1, dari kemaman mereka bertolak ke Hulu Pahang melalui Sg Tembeling menghilir ke Temerloh,pasukan Wan Mutahir sudah menunggu di Pulau Lebak.


Inilah antara pembentukan pasukan ketenteraan dan juga antara taktik peperangan yang digunakan oleh pahlawan Pahang dalam abad ke 18,dan taktik ini juga lah mereka gunakan di dalam banyak pertempuran sehingga ke Negeri Selangor.Semoga tulisan ini menjadi pembuka jalan kepada kajian-kajian yang lain untuk melihat kegiatan peperangan orang Pahang bukan saja melalui penceritaan,tetapi kita dapat melihat bagaimana setiap pasukan itu disusun,bagai mana pergerakan pasukan,bagai mana makanan dan perubatan di hantar bagi membantu para pahlawan yang sedang bertempur di garisan hadapan.Dan yang paling menjadi persoalan kepada penulis;bagaimana para pahlawan ini boleh tewas kepada British….patut dikaji………….

JAWATAN “MUFTI” TELAH WUJUD SEBELUM MUFTI HAJI MONTOK DI PAHANG.



Dalam membincangkan kewujudan jawatan mufti di Pahang, beberapa pihak mempertikaikan pendapat saya yang mengatakan bahawa jawatan mufti telah wujud di Pahang sebelum tahun 1890. Ini menurut pendapat mereka bahawa tidak ada senarai nama mufti di dalam senarai perjawatan yang dicatat oleh British selain nama Tuan Haji Montok sebagai mufti dan Kadi Hj Ibrahim bin Hurairah sebagai Kadi Besar Pahang.Maka mereka membuat keputusan bahawa jawatan mufti tiada sama sekali wujud di Pahang sebelum itu. Berdasarkan kajian saya pula, Negeri Pahang mempunyai sejarah perkembangan Islam yang teratur, sejak zaman Melaka masuk ke Pahang, kedudukan pentadbiran agama Islam agak kemas sehingga ke tahun 1590, Kerajaan Pahang berjaya menbuat satu kanun persendirian yang dinamakan Hukum Kanun Pahang. Keupayaan mengadakan hokum kanun ini merupakan satu pencapaian yang tinggi, mentelah pula hokum kanun di diperakui di Negeri Patani, Negeri Kedah,Negri Berunai dan Negeri Perak. Sudah tentu ketika itu Pahang telah memiliki barisan para ulamak yang berwibawa setanding atau lebih dari lain-lain negeri. Saya telah memberi pandangan dari kajian saya saya menjumpai tiga nama mufti di Pahang sebelum tahun 1890, sekalipun tidak disebutkan perkataan “Mufti” di awal nama mereka, nama mereka seperti berikut;

a-       Pertama Tuan Mufti Dato Imam Zul Bayan dari Kg Mengkarak dalam tahun 1740an yang dinyatakan di dalam Syair Asyikin yang di karang oleh Imam Shahibudin yang hidup di zaman itu.
b-      Kedua: Mufti Habib Muhsin bin Habib Abd Rahman yang dinyatakan oleh Wan Muhammad Sgahir di dalam satu risalah kecil dari Ulamak Riau yang ditujukan kepada Kerajaan Pahang ketika itu.
c-       Ketiga dari pada Syair Johor yang dikarang oleh Peranakan Lingga yang mana syair ini telah diselenggarakan oleh Prof Dr Fauzi Basri bekas Naib Censelour UMM bagai thesis master beliau.

Baru-baru ini saya telah membaca satu lagi salinan syair yang sama yang ditulis oleh Peranakan Linggi berkaitan Perang Pahang & Johor. Syair ini sama dengan Syair Johor akan tetapi agak terperinci, syair yang kedua ini dicetak di Percetakan Cap Mohamad Amin Singapore dalam tahun 1900, karangan Peranakan Lingga bertajuk “Syair Tanah Melayu @ kisah perang Pahang & Johor”.Syair ini memberi gambaran lebih jelas mengenai kedudukan Tuan Mufti Habib Mohd Amin. Ketika perang perebutan kuasa selesai,maka untuk merapatkan hubungan saudara, maka Sultan Ahmad Shah 1 telah datang ke Johor untuk menikahkan anakanda baginda Tengku Mahmud dengan anakanda Sultan Johor. Maka ramailah rombongan perkahwinan datang dari Pahang ke Johor bagi meraikan perkahwinan tersebut. Maka dikisahkan oleh pengarang pada ketika itu Habib Mohd Amin hanya lah berjawatan sebagai kadi sahaja sebagai mana di dalam rangkap berikut:

Petikan dari Syair Tanah Melayu :Kisah Perang Pahang & Johor.

Dalam rangkap ke 436:

Setelah selesai jamuan yang ada,
Membaca doa KADI  berida,
Habib Mohammad  alim yang syahda,
Terlalu batin di dalam dada.

Sekembali ke Pahang, tidak lama kemudian datang satu surat yang mempelawa Sultan Pahang datang ke majlis mesyuarat Raja-raja Melayu di Perak atau lebih dikenali dengan nama Perjanjian Durbar, sekembali dari mesyuarat tersebut di kisahkan di dalam syair ini bahawa jawatan Kadi Mohamad Amin telah di naikkan kepada jawatan mufti.

Rangkap ke 514:

Orang nya alim serta soleh,
Kitab dan Quran terlalu fasih,
Habib Mohammad Amin orang yang petah,
Jadi MUFTI duli khalifah.

Persaolannya kenapa nama Habib Mohamad Amin tidak dicatat oleh kerajaan British? Pelbagai kemungkinan boleh dibuat, bagi saya kemungkinan yang besar, Tuan Mufti ini sedang uzur dan hendak mengundurkan diri dari jawatan kerajaan kerana beliau sudah begitu lama menjadi kadi. Kemungkinan beliau tidak lagi berminat untuk menjadi mufti kerana usia nya yang sudah begitu lanjut.


Kesimpulan nya, jawatan mufti sudah wujud di Pahang sejak lama iaitu berkemungkinan sejak dari tertubuhnya Hukum Kanun Pahang dalam tahun 1590 namun usaha kena dilipatkan gandakan dalam mencari siapa kah tokoh-tokoh ulamak Pahang yang telah wujud sebelum tahun 1700 masehi. Dari gambaran sejarah kita dapati rakyat Pahang memilki ilmu agama yang tinggi sehingga mendapat pengiktirafan dari kerajaan Aceh, Kerajaan Patani,Kerajaan Brunai dll. 

Jumaat, 9 Jun 2017

TOKOH PEMBESAR PAHANG ABAD KE 18:ALLAHYARHAM IMAM PERANG SANGGANG (1830-1900)


            Imam Perang Sanggang adalah merupakan Orang Besar Berlapan Negeri Pahang yang dilantik pada sekitar tahun 1860an. Nama beliau sebenar ialah Teh atau kerapkali digelar “Imam  Perang Teh”. Anak kepada Kadi Abu Bakar yang merupakan Chief Kadi Of Pahang dalam tahun 1830an, Cucu kepada Imam Shahibudin bin Zainal Abidin, Cicit kepada Dato Suji Bilang;orang kaya Temerloh dalam tahun 1720. Kadi Abu Bakar pula merupakan  ketua kadi bagi kawasan hulu Sungai Pahang yang berpusat di Sanggang. Kadi Abu Bakar balik ke Sanggang kerana ibu beliau Siti Sapor adalah orang Sanggang, Siti Sapor merupakan isteri kedua Tuk Shahibudin yang dikahwini ketika usianya sudah begitu lanjut.Siti Sapor merupakan anak kepada Tuan Sanggang sebelum Kadi Bakar. Tuk Shahibudin mendapat tiga anak dari Siti Sapor iaitu Kadi Abu Bakar ,Aminah dan Omar. Dari Kadi Abu Bakar lahir pula Imam Teh, anak kepada Imam Teh ialah Penghulu Noh dan cucunya Penghulu Mat. Selepas itu jawatan Tuk Penghulu Sanggang berpindah pula kepada Penghulu Hamdan anak cucu Tuk Shahibudin juga, sehingga kini berpindah pula kepada Tuk Penghulu Nordin yang juga anak cucu Tuk Shahibudin.
            Imam Teh mendapat pendidikan dari ayahandanya seorang yang alim ketika itu, kemudian beliau mendapat pula pendidikan dari  Imam Syam dan Lebai Andak di Berhala Gantang. Setelah tamat pengajianya beliau kembali ke Sanggang dan dilantik menggantikan ayahandanya Kadi Abu Bakar sebagai ketua di daerah tersebut. Kedudukan Imam Teh masih lagi dibawah kekuasan Orang Kaya Temerloh, tetapi beliau seorang yang sangat bijaksana dalam soal-soal politik sehingga kadangkala peranannya melebihi peranan Orang Kaya Temerloh yang sudah uzur ketika itu.
            Pada masa pemerintahan Wan Mutahir, Imam Perang telah menyokong pasukan Sultan Ahmad Shah 1, bagi merampas kuasa ke atas kerajaan Negeri Pahang, dan sokongan itu telah memberi kejayaan ke atas Wan Ahmad. Bagi merayakan kejayaan itu Imam Perang telah menjemput Sultan Ahmad Shah 1 ke Sanggang dan membuat kenduri besar-besaran., beliau telah meyembelih seekor kerbau jantan yang sangat besar di dalam majlis tersebut. Sultan sangat bangga di atas sokongan itu dan memberi gelaran “Imam Perang ”kepada beliau.Imam Perang terlibat di dalam dua peperangan yang besar, iaitu pertama terlibat di dalam Perang Kelang sekitar tahun 1872 hingga 1874. Apabila diarahkan oleh Sultan Ahmad 1 bagi membantu Tengku Kudin, orang-orang Pahang pergi ke Selangor untuk menyerang Syed Mashyur. Orang-orang di kawasan Berhala Gantang pada masa itu menyokong Sultan Ahmad Shah 1 kerana baginda melawan orang Rawa yang menyokong Syed Mashyur. Orang Rawa pernah berperang dengan Imam Shahibudin ketika beliau membanteras ajaran Martabat Tujuh, ini kerana sebahagian besar orang Rawa di Pahang yang menduduki kawasan Jerantut dan Raub memegang kuat ajaran tersebut. Setelah memenangi peperangan Kelang beberapa pembesar Pahang tinggal menetap di Selangor seperti Haji Mohd Nor di Hulu Selangor Orang Kaya Pahlawan di Hulu Kelang, Kancing di bawah pengawasan Mat Taib, Kuala Lumpur di bawah Tok Dagang. Begitu juga beberapa orang cucu Imam Shahibudin & Tuan Teh tinggal di Selangor terutama Batang Berjuntai. Pada masa peperangan dengan Datuk Bahaman, Imam Perang turut sama mengejar pasukan Datuk Bahaman yang lari ke Terengganu, tetapi usaha itu tidak bersungguh ini kerana Datuk Bahaman merupakan “saudara” juga dengan beliau, tambahan lagi usianya sudah semakin tua.
            Imam Perang banyak memberi sumbangan kepada kemajuan kampung-kampung di sekitar Mukim Sanggang. Beliau banyak membuka kebun-kebun sehingga digelar orang “Kebun Durian Orang Berhala Gantang”, kebun-kebun tersebut terdapat di Belangka, Loyang, Baduk dan lain-lain tempat hingga ke hari ini masih lagi terdapat pokok-pokok durian tersebut. Beliau juga banyak membuka perkampungan baru sehingga kiri kanan Sungai Pahang di Mukim Sanggang diduduki orang. Pengunsi pula datang dari serata tempat samada Kelantan, Kedah, Johor dan luar negara diberi kelonggaran membuka tanah. Sebagai mengenang jasa beliau, sebuah buah dewan orang ramai di dirikan di Kg Sanggang Bahagia di namakan “Dewan Imam Perang”. Dan di sebelahnya di dirikan masjid. Anak Imam Perang ada beberapa orang antaranya Abu Bakar,Abdullah, Penghulu Awang Noh dan Imam Taib. Anak-anak Penghulu Noh antaranya Penghulu Mat Saman,Penghulu Hamid,Wok Yah,Osman ,Ismail dan Imam Taib. Penghulu Nordin mewarisi jawatan penghulu Sanggang selepas kematian ayahnya. Anak cucu Imam Perang ramai terdapat di Sanggang. Seorang lagi anak cucu beliau bernama Imam Taib tinggal di Kg Batu Sawar,anak Imam Taib bernama Imam Yaakub,antara anak Imam Yaakub ialah Fadhil dan Abdul Halim seorang pensyarah di UITM Shah Alam. Anak nya yang bernama Ismail mempunyai ramai keturunan antaranya Hamid,Din dan cucu2nya Nariman dan Akmaruddin .Tokoh ini tidak ada meninggalkan sebarang karya bertulis yang dijumpai atau yang seumpamanya.


Arkib Blog