Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
"Pemandangan Sungai Pahang di Temerloh" -Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Jumaat, 16 Jun 2017

JAWATAN “MUFTI” TELAH WUJUD SEBELUM MUFTI HAJI MONTOK DI PAHANG.



Dalam membincangkan kewujudan jawatan mufti di Pahang, beberapa pihak mempertikaikan pendapat saya yang mengatakan bahawa jawatan mufti telah wujud di Pahang sebelum tahun 1890. Ini menurut pendapat mereka bahawa tidak ada senarai nama mufti di dalam senarai perjawatan yang dicatat oleh British selain nama Tuan Haji Montok sebagai mufti dan Kadi Hj Ibrahim bin Hurairah sebagai Kadi Besar Pahang.Maka mereka membuat keputusan bahawa jawatan mufti tiada sama sekali wujud di Pahang sebelum itu. Berdasarkan kajian saya pula, Negeri Pahang mempunyai sejarah perkembangan Islam yang teratur, sejak zaman Melaka masuk ke Pahang, kedudukan pentadbiran agama Islam agak kemas sehingga ke tahun 1590, Kerajaan Pahang berjaya menbuat satu kanun persendirian yang dinamakan Hukum Kanun Pahang. Keupayaan mengadakan hokum kanun ini merupakan satu pencapaian yang tinggi, mentelah pula hokum kanun di diperakui di Negeri Patani, Negeri Kedah,Negri Berunai dan Negeri Perak. Sudah tentu ketika itu Pahang telah memiliki barisan para ulamak yang berwibawa setanding atau lebih dari lain-lain negeri. Saya telah memberi pandangan dari kajian saya saya menjumpai tiga nama mufti di Pahang sebelum tahun 1890, sekalipun tidak disebutkan perkataan “Mufti” di awal nama mereka, nama mereka seperti berikut;

a-       Pertama Tuan Mufti Dato Imam Zul Bayan dari Kg Mengkarak dalam tahun 1740an yang dinyatakan di dalam Syair Asyikin yang di karang oleh Imam Shahibudin yang hidup di zaman itu.
b-      Kedua: Mufti Habib Muhsin bin Habib Abd Rahman yang dinyatakan oleh Wan Muhammad Sgahir di dalam satu risalah kecil dari Ulamak Riau yang ditujukan kepada Kerajaan Pahang ketika itu.
c-       Ketiga dari pada Syair Johor yang dikarang oleh Peranakan Lingga yang mana syair ini telah diselenggarakan oleh Prof Dr Fauzi Basri bekas Naib Censelour UMM bagai thesis master beliau.

Baru-baru ini saya telah membaca satu lagi salinan syair yang sama yang ditulis oleh Peranakan Linggi berkaitan Perang Pahang & Johor. Syair ini sama dengan Syair Johor akan tetapi agak terperinci, syair yang kedua ini dicetak di Percetakan Cap Mohamad Amin Singapore dalam tahun 1900, karangan Peranakan Lingga bertajuk “Syair Tanah Melayu @ kisah perang Pahang & Johor”.Syair ini memberi gambaran lebih jelas mengenai kedudukan Tuan Mufti Habib Mohd Amin. Ketika perang perebutan kuasa selesai,maka untuk merapatkan hubungan saudara, maka Sultan Ahmad Shah 1 telah datang ke Johor untuk menikahkan anakanda baginda Tengku Mahmud dengan anakanda Sultan Johor. Maka ramailah rombongan perkahwinan datang dari Pahang ke Johor bagi meraikan perkahwinan tersebut. Maka dikisahkan oleh pengarang pada ketika itu Habib Mohd Amin hanya lah berjawatan sebagai kadi sahaja sebagai mana di dalam rangkap berikut:

Petikan dari Syair Tanah Melayu :Kisah Perang Pahang & Johor.

Dalam rangkap ke 436:

Setelah selesai jamuan yang ada,
Membaca doa KADI  berida,
Habib Mohammad  alim yang syahda,
Terlalu batin di dalam dada.

Sekembali ke Pahang, tidak lama kemudian datang satu surat yang mempelawa Sultan Pahang datang ke majlis mesyuarat Raja-raja Melayu di Perak atau lebih dikenali dengan nama Perjanjian Durbar, sekembali dari mesyuarat tersebut di kisahkan di dalam syair ini bahawa jawatan Kadi Mohamad Amin telah di naikkan kepada jawatan mufti.

Rangkap ke 514:

Orang nya alim serta soleh,
Kitab dan Quran terlalu fasih,
Habib Mohammad Amin orang yang petah,
Jadi MUFTI duli khalifah.

Persaolannya kenapa nama Habib Mohamad Amin tidak dicatat oleh kerajaan British? Pelbagai kemungkinan boleh dibuat, bagi saya kemungkinan yang besar, Tuan Mufti ini sedang uzur dan hendak mengundurkan diri dari jawatan kerajaan kerana beliau sudah begitu lama menjadi kadi. Kemungkinan beliau tidak lagi berminat untuk menjadi mufti kerana usia nya yang sudah begitu lanjut.


Kesimpulan nya, jawatan mufti sudah wujud di Pahang sejak lama iaitu berkemungkinan sejak dari tertubuhnya Hukum Kanun Pahang dalam tahun 1590 namun usaha kena dilipatkan gandakan dalam mencari siapa kah tokoh-tokoh ulamak Pahang yang telah wujud sebelum tahun 1700 masehi. Dari gambaran sejarah kita dapati rakyat Pahang memilki ilmu agama yang tinggi sehingga mendapat pengiktirafan dari kerajaan Aceh, Kerajaan Patani,Kerajaan Brunai dll. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ikuti SIP