Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Jumaat, 28 Julai 2017

IMAM BAYAN @ TUN DERMA PUTRA ADAKAN SAMA DENGAN IMAM ZUL BAYAN?




Pendahuluan:
Sejarah raja-raja Melayu sangat jelas, sejarah mereka ditulis di dalam beberapa hikayat yang masyhur seperti Kitab Sejarah Melayu,Hikayat Raja-raja Riau,Hikayat Raja-raja Pasai,Hikayat Misa Melayu,Syair Johor, Syair Pahang dll. Sesaorang yang hendak mengaku dia keturunan raja mestilah merujuk kepada kitab-kitab hikayat yang disebutkan tadi, Bagi mereka yang hendak mengaku mereka keturunan panglima atau pahlawan yang terkenal,maka saya sarankan mereka mengkaji salsilah keturunan mereka berdasarkan teori “Family Tree” yang biasa digunakan di barat dimana antara satu salsilah dengan salsilah yang lain jarak nya 30-35-40 tahun. Kiraan ini agak tepat, jika sekiranya kita mengaku kita keturunan Dato Bahaman yang hidup antara akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20, jaraknya dengan zaman kita hamper 170 tahun,maka salsilahnya mestilah antara 4-6 jenerasi. Jika kurang ada yang tidak lengkap,jika lebih sangat yang yang ditambah-tambah.Ini sebagai saranan dari saya.

Beberapa tahun lalu saya dipanggil oleh anak tempatan Kg Mengkarak untuk menghuraikan mengenai Imam Zul Bayam menurut riwayat dari Imam Syahibudin @ Tuk Syahibudin. Imam Syahibudin mengarang beberapa syair ini dalam tahun 1770 dan syair ini di salin oleh seorang penyalin yang lain dalam tahun 1782. Kemudian timbul gossip yang menpertikaikan apa yang saya tulis konon nya tidak betul. Beberapa persaolan timbul kononnya Imam Zul Bayan tidak ada anak lelaki. Ada pula yang menyatakan bahawa Imam Zul Bayan adalah seorang raja. Maka saya menjawab dari hasil kajian saya bahawa Imam Zul Bayan ada beberapa orang anak lelaki,dan Imam Bayan bukan dari darah raja yang tulen kerana gelaran “Tun”,”Megat”,”Nik”,”Tuan” gelaran ini digunakan kepada anak raja-raja yang bapanya dari  keturunan orang kebanyakan dan ibunya adalah anak raja. .Maka di sini timbul persaolan adakah Imam Zul Bayan yang dicatatkan oleh Imam Syahibudin sama dengan Imam Bayan yang dicatitkan oleh riwayat orang tua-tua di Negeri Sembilan dan Buntut Pulau?
Di sini juga timbul beberapa persaolan lain yang berkaitan dengan perkara ini; menurut Ustaz Mohd Redho bin Hj Abd Ghaffar @keturunan Imam Bayan: Imam Bayan merupakan satu gelaran begitu juga dengan “Dato Mengkarak” merupakan satu gelaran.Gelaran Imam Bayan ini bermula sejak dari zaman Melaka dibawa ke Negeri Sembilan hingga ke Pahang. Begitu juga gelaran Tuk Mengkarak ini terdapat dari tahun 1600 hingga ke 1750 Masehi. Oleh itu berkemungkinan terdapat beberapa orang yang memakai gelaran Imam Bayan dan juga beberapa orang memakai gelaran“Tuk Mengkarak”.Saya agak bersetuju dengan pendapat ini kerana jika kita rujuk kepada tarikh Imam Syahibudin membuat ulasan terhadap Imam Zul Bayan,tarikhnya agak terkehadapan dari tarikh Raja Melewar datang ke Negeri Sembilan.Tokoh-tokh seperti Imam Bayan, Raja Khatib,Panglima Naam berada dalah tahun 1780 hingga 1800 sedangkan Imam Zul Bayan berada dalam tahun 1720 hingga 1750,kemudian di sambung oleh anaknya Imam Nur Qadim dan Imam Muda Mamat dalam tahun 1760-90.Perbezaan masa ini menunjjukan kepada orang yang berbeza,maka besar kemungkinan bahawa Imam Zul Bayan tidak sama dengan Imam Bayan@ Tun Derma Putera.
Menurut Imam Syahibudin, Imam Zul Bayan adalah bapa saudara sepupu beliau,kerana ibu Imam Zul Bayan bernama “Umbi” adalah adik beradik dengan Dato Suji Bilang yang pernah kita sebutkan sebelum ini.lihat petikan syair ini:

205      Tersayang-sayang pada rasaan
Kepada Umbi datuk perempuan
Orangnya arif lagi budiman (@Imam Zul Bayan)
Upas jahil sudah termakan
Dalam rangkap ini, dinyatakan bahawa di antara Imam Syahibudin dengan Imam Zul Bayan ada pertalian darah di mana datuk Imam Syahibudin adalah adik beradik kepada Ibu Imam Zul Bayan,maka ternyata Imam Zul Bayan adalah bapa saudara sepupu dengan Imam Syahibudin. Imam Syahibudin menegur Imam Zul Bayan sudah mempelajari ilmu yang salah kerana memakan upas yang gatal sedangkan umbut masih ada.

206      Beberapa yang lain daripada itu
Suas dan sarban,leqa dan selu
Ummahat Fakir nasab yang tentu
Beratur moyang,datuk dan nenek

207      Ke atas  itu Datuk Perkasa
Perhimpunan dagang tempat semenda
Daerah Pahang sekaliannya rata
Sekaliannya habis cicit dan cunda

208      Asal Pahang empat saudara
Di Pulau Datu,seorang di Bera
Daerah Mengkarak saudara yang tua
Yang di Cenor moyang Tuk Raja
Orang besar Pahang pada satu masa dulu menduduki empat kawasan iaitu di Pulau Datu dekat Mentiga Pekan Pahang, Seorang lagi tinggal di Bera, manakala bakinya tinggal di Mengkarak dan Cenor. Imam Syahibudin menurut riwayat lisan berasal dari Cenor kerana datuknya yang terawal bernama Dato Perkasa menjadi pembesar raja yang tinggal di Cenor,manakala bapa Imam Syahibudin berkahwin dengan sepupunya norsiah berasal dari Cenor,adik Imam Syahibudin bernama Tuk Aboi kawan dengan Juhara anak Orang kaya Pahlawan Cenor.

209      Seorang pun tidak ada yang tinggal
Keling dan Cina,Bugis dan Benggal
Sehingga bercicit nutfahnya tanggal
Datuk Perkasa ( فـقـسا )itulah asal

210      Tetapinya jarang orang yang tahu
Cawangnya banyak mendaun kayu
Beberapa bangsa beberapa suku
Campur gaul tiada bertentu

211      Itulah Fakir berani berkata
Sekaliannya itu bukan siapa
Lagi pun wajib jalan agama
Baik berkenan baik tiada

Begitu juga di dalam sejarah Pahang, kedudukan pembesar-pembesar spt Orang Besar Berempat,orang besar berlapa, dan enam belas tidak tetap, Ini kerana di Pahang berlaku pergolakan politik yang terlalu kerap, dari Zaman Raja Bujang ke zaman Sultan Abd Jalil,kemudian zaman Sultan Sulaiman,diambil alih oleh Bendahara Tun Ali kemudian sehingga ke zaman Sultan Ahmad 1. Di zaman Bendahara Ali  barulah kedudukan Orang Besar Berempat agak kukuh dan jelas.Dari pada anak2 keturunan raja johor,anak raja Minangkabau,anak raja bugis dan anak2 bendahara sentiasa bertukar ganti.
Saya telah nyatakan beberapa kali bahawa tulisan saya adalah berdasarkan syair yang dikarang oleh seorang pengarang yang hidup dizaman itu, ia itu Imam Syahibudin dan kebetulan pengarang itu adalah anak saudara kepada Imam Zul Bayan. Saya rasa apa yang Imam Syahibudin tulis itu tidak salah,tetapi Sebaliknya tanggapan orang yang membuat gossip itu salah ini kerana Imam Syahibudin menulis sesuatu yang dilihat dan alami sedangkan kita bercakap hanya berdasarkan cerita lisan dan catatan dari satu jenerasi ke satu jenerasi;yakni sesuatu yang tidak boleh dipertanggungjawabkan secara pasti. Di dalam petikan syair dibawah dinyatakan bahawa Imam Zul Bayan yang dikritik oleh Imam Syahibudin merupakan seorang ahli agama yang beliau sebut sebagai “Naib Sultan” yang mempunyai kuasa dalam bidang agama (pulang padanya perintah sekalian), yang saya membuat jangkaan bahawa ia adalah Mufti Pahang dalam tahun 1730-50, beliau ini dibantu oleh anaknya Imam Nurqadim yang alim dan sangat dihormati di Pahang ketika itu.

Cerita ini dipendekkan
Masyhur di Pahang Imam Zul Bayan
Ialah jadi Naib sultan
Pulang kepadanya perintah sekalian

Kemudian itu Imam Nurqadim
Anak yang tua lagipun alim
Mertabat besar terlalu rahim
Seisi Pahang tawakal dan salim

Kedua-dua tokoh ini terkenal kerana kealiman nya bukan kerana ketokohan sebagai pahlawan atau sebagai anak raja. Imam Zul Bayan seorang yang menguasai Ilmu Martabat Tujuh yang di asaskan oleh Hamzah Fansuri dan mempunyai pengikut yang ramai di Pahang dalam pertengahan abad ke 18. Manakala anaknya merupakan seorang “Tuan Guru” yang terkenal di Pahang pada masa itu.

Jalan agama tatkala itu
Sebarang jenis sekalian laku
Berbuat ibadat sekalian nafsu
Tukang tidak membuang kayu

Berapa banyak yang handalan
Dari Jelai sampai ke Pekan
Kampung Makasar bergelar To’Uban
Dirantau Temerloh berbilang pegangan

Kepala ilmu mengenal diri
Dimitalkan tanah buyung dan kendi
Sekalian alam wujud mazaji
Hanyalah Allah yang hakiki

Berbagai jenis kias dan misal
Siapa yang menang itulah handal
Alam arwah, Alam misal
Alam ajsam, Insan Kamil

Alam lahut, Alam jabarut
Alam nasut, Alam Malakut
Ayan Thabit dimisalkan ombak
Putus makrifat disanalah hanyut

Muhadith dan Qadim disana terhimpun
Umpama laut ombak mengalun
Dimisalkan benih dengan pohon
Benihkan dahulu atau pohon

Kesimpulannya; kajian lanjut mestilah buat bagi menentukan kedudukan yang sebenar siapakah Imam Zul Bayan yang digarap oleh Imam Syahibudin di dalam karya-karya beliau. Adakah beliau ini sama dengan Imam Bayan yang di tulis oleh para pencerita lisan yang kita dapati di kawasan daaerh Bera. Bagi saya kewujudan dua tokoh ini sangat jelas berdasarkan hujah-hujah yang saya berikan di atas tadi.


1 ulasan:

  1. Terbaik tulisan ilmiah bolah buat tesis PHD di UKM.

    BalasPadam

Arkib Blog