Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Khamis, 9 November 2017

BHG KE 2 MEMAHAMI ISLAM DI PERLIS : KAUM MUDA  BUKAN WAHABI.



Tokoh-Tokoh Kaum Muda Terawal di Perlis.

Ulama pertama yang mula membawa ajaran Kaum Muda di Perlis adalah Syeikh Hassan bin Ahmad. Di dalam kajian sejarah Kaum Muda di Perlis, Syeikh Hassan atau di kenali juga dengan nama Hassan Surabaya adalah pengasas perjuangan Kaum Muda di Perlis. Beliau berasal dari Surabaya dan di percayai datang ke Perlis lebih kurang pada tahun 1915. Ada pula pendapat yang mengatakan beliau turun dari Mekah datang ke Pulau Pinang seterusnya pegi ke Perlis. Apa yang meragukan tokoh ini pernah pergi ke Bangkok dan tinggal di sana beberapa lama. Untuk pengetahun Hasan Surabaya ini bukan lah tokoh yang sama dengan Hassan Bandung , Walaupun beliau berasal dari Singapura namun Hassan Bandung tidak pernah datang ke Perlis sebalik nya banyak kegiatan beliau tertumpu di Pulau Jawa. Namum buku-buku Hassan Bandung menjadi bahan bacaan Kaum Muda di Tanah Melayu  termasuk di Perlis.Kejayaan Hasan Bandung di dalam memperjuangkan pendapat Kaum Muda berhadapan dengan Kaum Tua menjadi “idola’ kepada Kaum Muda di Tanah Melayu. Hasan Bandung banyak menghasilkan karya-karya penulisan bagi mempejuangkan fahaman & pendapat Kaum Muda.

Hassan Surabaya mengembangkan ajaran Islam menurut Kaum Muda pada peringkat awal di kawasan Arau, Perlis. Di antara anak murid beliau adalah Yang Mulia Tengku Adnan bin Tengku Yahya, Haji Mat Hakim, Pak Pilus, Haji Dahaman, Arshad Leh, Pak Wan Ahmad dan banyak lagi nama-nama lain, yang menerima fahaman Kaum Muda. Syeikh Hassan Surabaya, menghadapi berbagai tentangan di dalam menyampai Manhaj Kaum Muda di Perlis, beliau pernah  diusir dari Perlis dan membawa diri serta keluarganya ke Pulau Pinang dan berusaha mengembangkan Kaum Muda di sana. Beliau tidak patah semangat untuk berjuang menegak kebenaran Kaum Muda dan lebih kurang pada tahun 1928, beliau kembali ke Perlis dan menetap di kampung Paya untuk meneruskan perjuangan Kaum Muda di Perlis. Di antara ajaran Kaum Muda yang dibawa oleh Hassan Surabaya adalah tidak ada talkin untuk orang mati, tidak ada bacaan 'usalli' di permulaan niat , Menolak ilmu sifat dua puluh, menentang amalan azan untuk mendirikan rumah, membasmi kepercayaan kurafat dan bid’ah, menentang kenduri arwah dan lain-lain amalan yang kononnya tidak bersumberkan dari Al-Quran dan sunnah  Rasulullah saw. Pada lebih kurang tahun 1937 maka terbinalah madrasah Kaum Muda yang pertama yang di beri nama Madrasah Alor Sena.Pusat Pendidikan yang mengutamakan sunnah ini adalah  hasil usaha pengikut pengikut Kaum Muda di kawasan kampung Paya dan di bantu oleh salah seorang pembesar kepada  Raja Syed Alwi yang bernama Datuk Wan Ahmad atau di kenali sebagai Pak Wan Ahmad. Datuk Wan Ahmad adalah salah seorang anak murid Syeikh Hassan Surabaya. Beliau merupakan seorang yang mempunyai pendirian dan semangat juang yang kukuh untuk mengembangkan Kaum Muda di Perlis. Keazamannya adalah sangat cekal malah beliau merupakan salah seorang yang terlibat secara langsung di dalam menyemarakkan semangat pengikut fahaman Kaum Muda di Perlis, agar terus berjuang menghadapi tentangan golongan kaum tua yang pada ketika itu memulau malah ada yang mengkafirkan perjuangan Kaum Muda.

Syeikh Hassan Surabaya kemudiannya meluaskan perjuangan Kaum Muda ke Bangkok, Thailand. Dari Thailand beliau ke Pulau Pinang dan meneruskan perjuangannya di sana. Beliau meninggal dunia di Pulau Pinang. Seorang pengkaji yang  bernama Shukor bin Mat yang telah membuat penyelidikan tentang sejarah Kaum Muda di Perlis sehingga beliau menerbitkan sebuah buku yang sangat bernilai kepada generasi muda kini, tentang betapa pahit maung perjuangan generasi lampau untuk menegakkan Kaum Muda di Perlis. Semoga Allah memberkati usaha murninya itu, di antara penemuan dari kajian beliau adalah pengikut Kaum Muda pertama yang meninggal dunia di Perlis bernama Pak Mat Biola. Jenazahnya dikebumikan dengan menggunakan papan sekeping dan tidak ditalkinkan. Peristiwa ini telah menjadi cemuhan dari  Kaum Tua; mereka mengatakan orang yang mengikuti fahaman Kaum Muda menguruskan jenazah sebagaimana menanam bangkai lembu iaitu tidak di talkinkan.

Diantara tokoh Kaum Muda di peringkat awal perjuangan Kaum Muda di Perlis adalah Abdul Manaf bin Abdullah atau di kenali juga sebagai Lebai Kecik. Beliau juga adalah perantau dari tanah seberang iaitu dari kampung Kemantan Darat, Padang Sumatera. Beliau di percayai datang ke Perlis lebih kurang pada tahun 1930. Beliau pada awalnya adalah dari kalangan golongan Kaum Tua , setelah beliau belajar di Madrasah Tawalib dan menerima asuhan dari bapa kpd Dr Hamka, beliau kemudiannya telah menjadi penentang kepada Kaum Tua dan menjadi seorang pejuang Kaum Muda. Di antara rujukan yang selalu beliau gunakan  ada lah sebuah kitab tulisan Hasan Bandung yang bernama “Al-Fatwa” . Beliau di katakan tokoh Kaum Muda kedua selepas Syeikh Hassan Surabaya. Beliau meninggal dunia dalam usia 60 tahun iaitu lebih kurang tahun 1946. Jasanya di dalam memperjuangkan Kaum Muda di Perlis tidak sedikit sehingga berjaya menambah bilangan pelajar yang bermanhaj Kaum Muda dan mengukuhkan lagi pergerakan menentang kurafat, syirik dan bid’ah di Perlis. Di antara muridnya yang terkenal adalah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Jaafar Hassan. Semoga Allah mencucuri rahmat keatasnya.

Tokoh sezaman dengan Lebai Kecik adalah Haji Abdul Ghani bin Datuk Sakti, beliau juga adalah anak murid kepada Syeikh Hassan Surabaya. Anak kelahiran Kampung Rumbai, Bukit Tinggi Sumatera dan biasa mendapat pendidikan agama di Sumatera Barat. Beliau aktif mengajar agama di madrasah-madrasah, baik di kampung mahupun di bandar di sekitar Perlis. Beliau memegang berbagai jawatan semasa hidupnya seperti imam dan amir zakat di kawasan kariah Masjid Abi, Perlis, Ahli Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis dan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. Beliau adalah seorang ulama Kaum Muda yang sangat kukuh pendiriannya di dalam memperjuangkan kebenaran Al-Quran dan Sunnah. Beliau juga telah menganti tempat Syeikh Hassan Surabaya mengajar di Madrasah Alor Sena apabila Syeikh Hassan pulang ke Pulau Pinang dan Haji Abdul Ghani juga berganding bahu bersama Datuk Wan Ahmad dan berhubung rapat dengan tokoh Kaum Muda terkenal Syeikh Tahir Jamaluddin dan A.Hassan Bandung. Beliau telah meninggal dunia di dalam usia lebih kurang 75 tahun.

Kaum Muda Zaman Pasca Merdeka.

Nama Syeikh Abu Bakar As-Shaari adalah di antara tokoh ulama Kaum Muda yang tidak dapat dipisahkan di dalam perjuangan Kaum Muda di Perlis. Beliau antara ulama yang berpendidikan tinggi, bermula dari Sekolah Melayu, Sekolah Anglo Chinese School Pulau Pinang, Madrasah Al-Mashur sehinggalah ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1925-1932. Beliau turut memegang jawatan penting di Perlis seperti Imam Besar Masjid Alwi (1939), Ahli Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis, ketokohan beliau di dalam mengarang amat menonjol. Di antara sumbangan beliau di dalam bidang penulisan adalah menjadi pengarang Majalah  “Seruan Azhar” , menulis untuk akhbar ‘SAUDARA’, mengarang beberapa buah buku yg menjelaskan perjuangan dan fahaman Kaum Muda seperti Kitab  Intisari Taksir Juzuk Amma, Sejarah Al-Anbiya, Pedoman Ibadat Rasulullah dan lain-lainnya. Perjuangan beliau menegakkan fahaman Kaum Muda tidak sunyi dari tentangan dan fitnah. Tetapi Syeikh Abu Bakar adalah seorang ulama Kaum Muda yang cekal dan tegas pendiriannya. Perjuangan murninya telah berjaya menyemarakkan lagi kebangkitanKaum Muda di Perlis dan gandingan beliau bersama tokoh-tokoh Kaum Muda sezaman dengannya menyebabkan golongan ‘kaum tua’ menjadi gerun dan terhimpit dengan kebangkitan golongan As-Kaum Muda. Syeikh Abu Bakar As-Shaari lahir pada tahun 1903 di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan telah meninggal dunia di Port Dickson semasa dalam perjalanan ke Madrasah Kaum Muda Kuala Pilah pada tahun 1970. Di masa ini di asaskan Persatuan al Islah Negeri Perlis.

Kemasukan Fahaman Wahabi 

Setelah kejayaan dan kegemilangannya, perjuangan As-Kaum Muda di Perlis sekali lagi di gegarkan dengan kemasukkan tokoh-tokoh muda yang cuba menyampaikan dakwah ala As-Sunnah seperti Kaum Muda di Perlis, kebanyakan mereka dari luar Perlis seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah. Tetapi kerana kurang pengalaman dan tidak memahami sejarah perjuangan Kaum Muda di Perlis, perjuangan mereka selain dari menyampaikan As-Sunnah  telah juga menyebabkan perpecahan yang besar di kalangan jemaah Kaum Muda terutamanya bagi yang baru berjinak dengan fahaman Kaum Muda di sana . Sebenarnya masalah agama yang diperselisehkan antara kaum muda dan kaum tua  telah selesai di bincangkan dengan bijaksana oleh golongan Kaum Muda terdahulu,tetapi kini  telah di ungkit semula oleh puak-puak ala wahabi yang baru tiba . Maka terjadilah perselisihan sesama golongan Kaum Muda dan sebahagian  Jemaah yang lain. Pihak Kaum Muda@ Persatuan Islah Perlis  telah mengambil pendirian memencil diri dengan cara membuka kelas kelas pengajian sendiri yang pelajarnya adakalanya keluarga sendiri atau kawan rapatnya. Mereka bertindak demikian kerana tidak mahu keliru dan tidak dapat menerima hujah-hujah dari ulama muda yang agak longgar dan adakalanya hujah tersebut lebih berpihak kepada mazhab dari kekuatan dalil berdasarkan Al-Quran dan hadits.Asas perjuangan Kaum Muda di Perlis adalah Mazhab Empat bukan hanya terbatas kepada Mazhab Hambali yang banyak tertumpu kepada Ibnu Taimiyyah dan Mohamad Abd Wahab semata-mata.Oleh kerana zaman ini ilmu di kira dari sudut persijilan ,sarjana,pangkat & gelaran yang di perolehi,maka mereka yang memiliki ijazah yang lebih tinggi lebih di geruni walaupun ilmu di dada tidak seberapa. Oleh itu golongan yang baru ini boleh memacu Kaum Muda di Perlis ke arah yang berlawanan dengan matlamat Kaum Muda yang asal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog

Mengenai Penulis

Foto saya
Mengkaji dan mengenali sejarah Islam khususnya di Negeri Pahang