Pilih Bahasa

LATAR BELAKANG SYAIR ASYIKIN



Syair Asyikin mula diperkenalkan  oleh Dato Dr Ariffin Said dari Universiti Pertanian Malaysia dan pernah diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan & Warisan Malaysia pada tahun 2004.Syair ini ditulis oleh Imam Shahibudin bin Zainal Abidin seorang ulamak di Pahang yang hidup di antara tahun 1700 hingga 1800 masehi. Syair Asyikin terdiri dari 240 rangkap. Syair ini ditulis sebelum tahun 1790 masehi. Syair yang dihasilkan oleh Imam Shahibudin ini merupakan syair  yang paling popular di Pahang satu ketika dahulu. Kajian Syair Asyikin oleh Dato Dr Ariffin Said adalah berdasarkan naskhah yang diperolehi dari Puan Sharifah binti Ahmad seorang pendakwah wanita di Kg Berhala Gantang lewat tahun 60an. Puan Sharifah merupakan cucu cicit keturunan dari Imam Shahibudin sendiri.Terdapat beberapa naskhah Syair Asyikin di Pahang seperti naskhah kepunyaan Puan Saadiah Imam Yaakub (naskhah ini sudah tiada dalam simpanan anak cucu beliau) Naskhah Dato Shahibudin bin Imam Mohammad. Penulis berharap ditemukan beberapa naskhah lagi di luar Pahang seperti di Sumatera dan di perpustakaan barat.
Dalam kurun ke 18, Agama Islam sudah berkembang luas di Nusantara dengan membawa pelbagai fahaman dan mazhab, terutama di dalam bidang akidah dan ilmu tasawuff.  Di Aceh tersebar luas fahaman Martabat Tujuh yang di asaskan oleh Hamzah Fansuri, di Jawa  terdapat aliran yang berlawanan yang di bawa oleh Syeikh Yusuf Makasar.Di Jawa juga tersibar ajaran Syekih Siti Jenar walaupun tidak mendapat izin para pemerintah.  Di Terengganu pula lahir pengikut Tuk Ku Pulau Manis yang membawa aliran tasawuff yang menggunakan kitab Hikam yang di karang oleh Ibnu Athiualllah ,kitab ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Tuk Ku bagi memudahkan mereka yang tidak pandai berbahasa Arab menggunakannya. Ada di kalangan anak murid Tuk yang kembali ke Pahang  juga membawa Ajaran Bersufi sufi Diri. Di samping itu ada golongan sederhana seperti yang di bawa oleh Syeikh Abdul Rauf Sengkel dari Aceh.Golongan sederhana ini cuba membawa kembali akidah umat Islam di Nusantara kepada Aliran Ahli Sunnah Wal Jemaah yang sebenar. Mereka menterjemahkan kitab Tafsir Al Baidawi ke Bahasa Melayu disamping menterjemahkan kitab Ummu Barahim di dalam bidang akidah.
Di negeri Pahang dalam kurun ke 18, terdapat pelbagai aliran agama di amalkan oleh penduduk setempat berdasarkan perkembangan yang berlaku di negeri negeri berhampiran. Pelajar agama dari Pahang mengunjungi pusat pusat pengajian di Jawa seperti Dato Suji Bilang dan Imam Besar, disamping itu ada juga yang pergi ke Aceh seperti Imam Zul Bayan dan anaknya Imam Nur Qadim. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan mereka pergi ke Terengganu, berguru kepada Tuk Ku Pulau Manis, ulamak terkenal di Terengganu dari kalangan keluarga “shariff” yang turun dari Negeri Iraq. di masa itu golongan syed dari timur tengah telah sampai ke sana dan membuka pusat pusat pengajian agama.Mereka yang belajar kepada Tuk Ku Pulau Manis dan anak anak muridnya seperti Nahkoda Abdullah dari Pekan dan Maulana Sofi di Cenor.
Apabila para pelajar ini kembali ke Pahang, mereka membuka pondok pengjian agama di tempat masing dengan membawa aliran yang mereka pelajari semasa di luar Negara. Maka hasilnya di Pahang di dalam kurun ke 18 terdapat pelbagai aliran kepercyaan dan pegangan akidah di kalangan penduduk setempat. Di Antara ajaran yang mendominasi kepercayaan penduduk Pahang di dalam bidang akidah ialah Ajaran Martabat Tujuh Hamzah Fansuri dari Aceh. Ajaran ini berjaya bertapak di Pahang dengan kuat kerana Pahang pernah di taaluki oleh Aceh, di samping itu juga raja Aceh yang berkuasa sesudah Sultan Mahkota Alam adalah Sultan Iskandar Thani yang merupakan anak raja Pahang. Sultan Ahamd adalah anak raja Pahang yang ditawan oleh Sultan Iskandar Mahkota Alam dalam tahun 1617 di bawa ke Aceh lalu dijadikan putera mahkota Aceh kerana Sultan Iskandar tidak ada anak lelaki..Oleh kerana Raja Pahang mempunyai hubungan kerabat dengan Raja Aceh secara tidak langsung Raja Pahang menerima Ajaran Mertabat Tujuh dan menjadikan ia sebagai mazhab rasmi di Pahang ketika itu. Maka ramailah anak anak muda Pahang pergi belajar ke Aceh ketika itu yang subur dengan Ajaran Mertabat Tujuh. Anak anak pelajar ini apabila kembali mereka dilantik menjadi pembesar agama seperti Imam Zul Bayan dan anaknya Imam Nur Qadim. Jika kita membaca syair ini sepintas lalu maka kita akan dapati bawah Imam Zul Bayan adalah merupakan “Mufti Pahang” ketika itu:
Apabila Imam Shahibudin kembali ke Pahang dalam tahun 1750an, beliau melihat akidah umat Islam di Pahang di dalam keadaan berpecah belah dan di antaranya merupakan ajaran sesat. Umat Islam di Pahang kebanyakannya di dalam keadaan jahil, mereka berpegang kepada Ajaran Martabat Tujuh sedangkan Mereka tidak mampu untuk beramal dengan ilmu tersebut, di samping beraneka amalan agama yang berasaskan amalan bersufi sufi diri. Bagi mereka yang suka kepada persilatan dan perbomohan pula, mereka mengamalkan amalan yang pelik pelik dan ilmu ilmu yang di saluti dengan amalan perbomohan yang bertentangan dengan Islam dan bersalut dengan amalam khurafat. Merujuk kepada Fatwa Rasmi kerajaan Pahang yang dikeluarkan oleh Tuan Teh anak kepada Imam Shahibudin di dalam nota memperingati hari jadi KDYMM Sultan Pahang pada tahun 2014, dalam  tahun 1790 terdapat pelbagai ilmu dan ajaran sesat di Pahang ketika itu. Kesan dari ajaran ini membawa sebahagian penduduk beramal dengan perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan Islam.
Melihat keadaan ini maka Imam Shahibudin bertekad untuk mengubah keadaan ini supaya umat Islam di Pahang kembali kepada ajaran akidah Ahli Sunnah yang sebenar berasaskan Aliran Imam Abu Hassan Al Asyarie dan Al Maturidi, disamping mengembangkan mazhab Asyafiee di dalam bidang syariah.Beliau telah membuka sebuah pusat pengajian agama di Temerloh Pahang. Di situ beliau memperkenalkan kitab tauhid yang bernama “Ummu Barahim”  dan  kitab fekah seperti “Siratul Mustaqim” yang kesemuanya di dalam bahasa Melayu bagi kajian para penuntut di pondok beliau.Beliau juga telah mengarang banyak syair syair berkaitan dengan Ilmu akidah bagi panduan penduduk Pahang seperti Syair Asyikin,Syair Ghafilah,Syair Sifat  Duapuluh dan Syair Tumbuhan.Isi kandungan syair Asyikin contohnya merupakan nasihat dan peringatan dari Imam Shahibudin kepada penuntut  ilmu agama dan juga semua orang Islam di Negeri Pahang. Nasihat ini diberikan supaya penuntut agama ini tidak tersesat jalan dan mengamalkan amalan yang berlawanan dengan tuntutan agama Islam yang sebenar.Tema syair Asyikin adalah berkaitan dengan ajaran sesat yang terdapat di Pahang dalam pertengahan abad ke 18. Beliau mengalakan para penuntut mempelajari ilmu yang berasaskan  Al Quran dan Sunah. Beliau sedaya upaya memujuk setiap muslim memahami Islam melalui tafsiran ulamak yang muktabar dan ulama yang terkenal seperti Imam Nawawi,Imam Ghazali,Imam Ibnu Hajar dll.Maka para pelajar juga di sarankan mempelajari ilmu Makrifat dan ilmu Syairat dengan betul dan bersungguh-sungguh.


Imam Shahibudin di dalam syair beliau menceritakan bahawa semua usaha beliau ini mendapat tentangan hebat dari golongan ulama tua di Pahang seperti Imam Zul Bayan, Imam Nur Qadim,Tuk Malim Lebai Panjang, Keramat Sulong dll. Hasil dari penentangan ini Imam Shahibudin dipulaukan oleh penduduk Pahang sehingga beliau membawa diri ke satu kawasan pendalaman yang agak jauh dari Sungai Pahang.Kalau kita lihat di dalam sejarah perkembangan Islam di Nusantara, berlaku perubahan dari segi pemikiran Islam pada akhir kurun ke 18, di mana kesan dari penjajahan barat terhadap umat Islam di seluruh dunia, kejatuhan kerajaan Patani di Selatan Thailand,kejatuhan kerajaan Monghul kepada British maka para ulamak mula berusaha mengubah pemikiran masyarakat Islam kepada pemikiran yang lebih progresif. Lahir tokoh ulama seperti Syeikh Waliullah Dahlwi di India,Habib Alawi di Yaman yang mendorong ummah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, maka kita dapati seruan yang di bawah oleh Imam Shahibudin di Pahang mula diterima masyarakat.Maka pada tahun 1780hingga 1800, idea-idea Imam Shahibudin mendapat sambutan dari masyarakat Islam Pahang, Pasentren yang beliau bina di Temerloh telah mendapat sambutan yang mengalakkan dari penduduk setempat, anak-anak beliau di lantik menjadi kadi & kadi besar Pahang.Kemasukan golongan Habib ke Pahang pada awal kurun ke 19 juga banyak membantu usaha permurnian akidah di kalangan penduduk Pahang pada masa itu.Syair-syair hasil karya Imam Shahibudin dijadikan bahan oleh para pelajar beliau di dalam ceramah-ceramah Mereka semasa Mereka berdakwah di seluruh Pahang

Share:

1 comments

  1. TERBAIK MAKLUMAT SANGAT BERGUNA KEPADA GENERASI BAHARU..PERKEMBANGAN SYIAR ISLAM DI PAHANG PENUH LIKU..AL FATIHAH BUAT IMAN SHAHIBUDDIN..TAHNIAH BUAT PROF DATUK DR. ARIPIN SAID yang ` mendahului zaman` membuat kajian mendalam dan menjadi rujukan kini.

    BalasPadam

Flag Counter