Pilih Bahasa

KARYA IMAM YAAKUB SANGGANG SEBERANG : NAZAM AZAB KUBUR



Bismillah’rahman nir’rahim,





NAZAM AZAB KUBUR





Kepunyaan  Imam Yaakub bin Lebai Muji bin Imam Derajat (1926M)


Kg Sanggang Seberang,Temerloh Pahang.





Pengenalan diri Imam Yaakub bin Lebai Muji


Dilahirkan di Kg Sanggang Seberang,Mukim Sanggang ,Temerloh Pahang.Datuk Imam Yaakub bernama Imam Derajat berasal dari Negeri Kelantan Darul Naim, dari rumpun keluarga Kenali. Oleh itu Imam Yaakub mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Tuk Kenali. Tuk Kenali beberapa kali datang ke Pahang, khusus untuk bertemu dengan saudara dan sahabat nya yang sangat erat hubungan dengan beliau.Mereka berdua sama-sama duduk di Mekah,belajar dengan guru yang sama,tinggal dan bermukim di Mekah dalam masa yang lama.  Jika di Kelantan,Tuk Kenali jarang mengenakan baju yang lengkap akan tetapi bila berkunjung ke Pahang, Tuk Kenali berpakaian lengkap dengan semutar,berbaju melayu dan kain pulikat baru.Penghormatan Tuk Kenali kepada Imam Yaakub ini mungkin kerana sahabat dan saudaranya ini seoang yang pakar di dalam ilmu tajwid dan Qiraah Sabaah. Di dalam bahagian lain saya telah menerbitkan satu syair kepunyaan Imam Yaakub yang di beri nama “Syair Tajwid”, manakala di bahagian ini pula saya kemukakan satu lagi nazam yang diberi judul Nazam Azab Kubur. Tujuan saya mengemukakan kedua-dua puisi ini kerana saya hendak mengetahui sama kedua-dua puisi ini hasil karya Imam Yaakub atau hanya beliau salin dari kitab lain. Ini di sebabkan hubungan beliau agak rapat dengan Tuk Kenali yang terkenal sebagai ahli sastera negeri Kelantan pada awal abad ke 20.Imam Yaakub selain dari seorang ulamak yang alim di Pahang ketika itu beliau juga seorang yang meminati puisi lama seperti syair,gurindam dan nazam. Dari koleksi anak beliau banyak salinan syair Imam Syahibudin telah di salin oleh Imam Yaakub.Anak cucu beliau menjadi orang yang penting di Kg Sanggang Seberang seperti Imam Mat Yassin bin Imam Yaakub, Lebai Siwok bin Imam Yaakub, begitu juga cucu-cucu beliau seperti Tok Empat Abdul Aziz, Imam Tan Taha, Bilal Wahid.











Nazam Azab Kubur.








1.         Perkataan ini sungguh pun betul,melihatkan akal tajam dan tumpul,


            manusia berubah kebanyakan simpul,betapa lagi fiqah dan usul.





2.         Alhamdulliah Qadim kita puji,sebab Dia boleh beri taufik kami,


            hai saudara ini satu nasihat fakir,faham kamu baik-baik ambil fakir.





3.         Kita ini akan mati sudahnya,tiada tahu bila datang ajalnya,


            ambil bekal kamu pergi negeri orang,kalau tidak kamu hina pada orang.





4.         Kalau sungguh kamu yakin pada mati,jangan kamu lalai pada nafsu hati,


            benar tiada bila ada bekal kamu,puas hati tiada lagi  sesal kamu.





5.         Sabda Nabi, hiru biru di dalam kubur,masuk rantai pada mulut sampai dubur,


            rantai itu merah pula dengan api,hangus perut,hangus otak,hangus hati.





6.         Hairan kami akan kamu punya fakir,kamu kata kamu mati tapi mungkir,


            pahit mati itu bukan macam jadam,bukan pula macam hati boleh padam.





7.         Lagi pula huru hara  hari akhirat,tiada dapat kamu kabar dengan loghat,


            tinggal lagi kita ini buat taat,dengan belajar,dengan tuntut,dengan ingat.





8.         Hairan kami, akal kita ini sudah,kita makan hak Allah dengan mudah,


            fakir-fikir,baik-baik ada patut,tiada taat akan suruh tiada ikut.





9.         Allah, Allah hai saudara apabila,sampai nyawa batang leher tahu le!


            Allah,Allah hai saudara masa itubaru tahu akan diri baru tentu,





10.       tempat naik tempat kita pandang,syurga, atau neraka ia kalau malang,


            huru hara Padang Mahsyar pula lagi,tiada dapat hendak bilang dengan baki.





11.        Barang siapa ingkar hadis inijadi kafir sama cina dan nasrani,


kalau kita ambil fakir dengan benar,apa payah sembahyang itu dengan belajar.








12.       Muka kita boleh cantik, boleh suci,tidak payah dengan basuh dengan mandi,


            lagi pula jadi senang badan kita,,Allah, Allah buat kita dengan nyata.





13.       Muka orang tiada sembahyang tiada cahaya,pandang kamu kalau kamu tiada percaya,


            serupa bangkai orang tiada sembahyang,lima belas bala lebih lagi tiada kurang.





14.       Pendek rezeki ,pendek umur tinggal Islam,pada dahi ghalib pula macam malam,


            habis pula nama Islam dalam daftar,tiada terima doa kamu.





15.       Kenduri kamu pula lagi tiada kabul,……………………………………


            enam siksa itu datang dalam dunia,,kalau tidak di dalam akhirat lebih bias.





16.       tiga lagi waktu mati datangnya,yang pertama sangat hina padanya,


            yang kedua mati kamu dengan lapar,yang ketiga waktu dahaga sangat mungkar.





17.       Dahaga itu kadar dia Allah,Allah,tiada puas minum dia seribu kolah,


            apabila masuk kubur tiga lagi,himpit kubur,gelap kubur,pukul lagi.





18.       Patah tulang,remok tulang, pecah dagu,masuk tanah ,korek pula dengan kuku,


            lagi tiga hari kiamat datangnya,diwakil Allah malaikat mengazabnya.





19.       Satu rantai pada tangan malaikat,hujung rantai batang leher kena ikat,


            hujung satu lagi masuk mulut,sampai pula pada jubur[1] keluar perut.





20.       Sudah itu heret pula malaikat,dengan songsang,dengan bentang,dengan ikat,


            yang kedua tiada menilik akan Allah,yang ketiga dengan azab pedih,rasalah!!





21.       telah khatam lima belas bilangannya,fakir kamu baik-baik maksudnya,


            rahmat Allah,Salam Allah atas nabi,pula harapkan sangat baik kami.





Setengah dari sabda Nabi s.a.w: “Bermula fakir itu satu saat terlebih baik daripada beribadat tujuh puluh tahun”,

dan pada satu riwayat:” terlebih baik daripada ibadat tujuh puluh ribu tahun.

Dan sabda Rasullulah lagi:” Bermula fikir itu pelita hati”.








22.       Fikir itu pelita bagi hati,yang mendapat kita ingat akan mati,


            ingat-ingat serta fikir sehari-hari,di dalam kubur kita duduk seorang diri.





23.       Jikalau hidup kita dapat harta jenuh,itu akhir kita tinggal masuk dalam tanah,


            ghalib ikutkan nafsu dan hawa,daripada masa tubuh muda sampai tua.





24.       Dari petang nanti pula akan pagi,lama-lama hingga  sampai tanggal gigi,


            rumah besar,kampong luas ada ia,itu akhir tinggal jua akan dia.





25.       Hai segala anak aku sekaliannya,sungguh-sungguh jangan tinggal akan sembahyang,


            demikian lagi zakat dan puasa,itu buat oleh mu sentiasa,


            dengan susah yang sedikit kamu dapat,akan senang lama kamu dapat di akhirat.





26.       Tamatlah syair di Kampung Sanggang,hari Selasa sudahlah petang,


            kertas putih dakwat pun hitam,jari yang tiga memegang kalam.





27.       Sudah tulis hari pun petang,pukul empat tengok jam,


            selagi hidup beredar siang dan malam,sehabis umur baru lah tamam





28.       kiri dan kanan nafas berpindah,kepala bergerak tunduk mengadah,


            tangan mencapai mulut mengunyah,sehingga mati barulah sudah.





29.       habis menulis kalam pun patah,serta pula dakwat pun tumpah,


            tulisan buruk maklum sudah patah,sekadar sahaya hidup penyudah.














Disalin semula oleh Zainal Lebai pada 19 Safar 1430 Hijrah ,Hari Sabtu bersamaan 14hb Feb 2009 jam 9.25 pagi yang redup tetapi merimaskan.





[1] asal “dubur”

Share:

0 comments

Flag Counter