SYAIR ASHIKIN 4
SYAIR A’SHIKIN 4
(Dipetik dari karya Sdr Ariffin Said yang dikendalikan oleh Kementerian Kesenian & warisan Malaysia 2004, kami paparkan supaya pihak pembaca dapat memahami pemikiran Islam di Pahang sekitar tahun 1700 hingga 1800 Masehi, Tamadun Islam di Pahang pada masa itu sudah meyamai suasana pemikiran Islam di Acheh meskipun tidak setaraf dengan kemajuan di sana.)
Keadaan akidah dan kepercayaan umat Islam di Pahang sekitar tahun 1750:
Segala jumlah terhimpun dua
Muta’lim dan A’lim keduanya hamba
Itulah orang di dalam syurga
Lainnya jarang tetapinya ada 181
Perkataan ini mengingatkan
Janganlah kelak salah ambilan
Kitab al Adab menyatakan
Di sanalah tuntut hukum sekalian 182
Kebanyakan awam perangainya huduh
Tahu sedikit kata tak sungguh
Jikalau tahu sengaja ditempoh
Nabi wali lagi dibunuh 183
Jikalau ada serta hidayah
Jadilah fursah dahulunya zulmah
Beroleh petunjuk dahulunya sesat
Tanda bahagia satu mertabat 184
Memberi berkat masjid ber......
Zahir di dalamnya Kalamul A’la
Fala Sadka wala salla
Walkin Kazzab wa tawallla 186
Penghulu mukim kalau bercakap
Disuruhkan orang sekaliannya jawab
Berbuat amal ikutlah kitab
Siratul Mustaqim,Minhaj, Al Tullab 187
Jikalau tidak terhasilkan
Baik sedikit main ke hutan
Boleh mengambil kayu dan rotan
Adalah juga pergunaan 188
Dosa yang lalu sudahlah banyak
Umpama tanggungan tidak terbawak
Jangankan baik bertambah rosak
Harapkan pahala dosa pun luak 189
Sembahyang Tasbih berjemaah-jemaah
Beramai-ramai mengucap selawat
Kesudahan doa sembahyang Jumaat
Mengerjakan tahlil berkuat-kuat 190
Inilah amal tiru-tiruan
Menuntut ilmu terlalu segan
Didalam hati persenketaan
Akhirnya kelak lalu meraban 191
Masa ini baru didapat
Empat puluh sembahyang Jumaat
Fardhu Istinja syaratnya empat
Sekali lagi di dalam akhirat 192
Mertabat tujuh satu andalan
Nabi dan wali empunya pakaian
Di dalam hati tempat tempaan
Tiada tahu pengajaran syaitan 193
Duduk berfikir kepalanya tunduk
Selaku-laku ahli al Zauq
Mengingatkan kata asyik dan maksyuk
Wahid dan kasrah,ijmak dan furuk 194
Di pandang zahir nyata terletak
Selawat dan tasbih ada di bawak
Sungguhpun diam jarang tergelak
Di dalamnya haram satu pun tidak 195
Inilah asal idtikad Zindik
Lafaznya subhah berbalik-balik
Samar dalam ilmu al Haqaiq
Maqam al Khawas,majzub dan salik 196
Kehendaknya itu perkataan tauhid
Tulus dan ikhlas maqam al Abdu
Henim dan jernih murad dan murid
Tunggal dan esa fardun dan wahid 197
Inilah minuman segala aulia
Rahiq al Mahkhtum, Zanjabila
Masuklah najis di dalam piala
Sekaliannya habis jadi serupa 198
Mertabat Tujuh terlalu masyhur
Racun terbang di negeri timur
Lekat di hati sikit tak kendur
Seumpama riwayat orang berikan 199/
…………………………………………………..200
Tambahan makan habis secupak
Pengetahuan hanya sedikit tidak
Terasa sedap lagi diasak
Mengulingkan diri tiada bergerak ,201
Orang yang jahil jikalau kuat
Itulah tanda tiada hidayat
Zaman nabi itulah laknat
Kaum malaun kafir yang jahat 202
Orang yang jahil semasa ini
Terlalu banyak sekarang ini
Mengajarkan ilmu sesama sendiri
Kepalanya itu mengenal diri 203
Ada setengah anasir yang empat
Ada setengah cahaya zuriat
Ada setengah sahabat yang empat
Setengahnya maut tanda alamat 204
Berguru ilmu tiada beringar
Ilmu yang salah disangka benar
Bersunyi-sunyi baru berkhabar
Dengan yang alim terlalu liar 205
Mudah-mudahan dipalingkan Allah
Berjalan tidak selang selangkah
Terkadang dapat Husnu Khatimah
Khairu wa Basyru minallah 206
Tersayang-sayang pada rasaan
Kepada umbi datuk perempuan
Orangnya arif lagi budiman
Upas jahil sudah termakan 207
Beberapa yang lain daripada itu
Suas dan sarban,leqa dan selu
Ummahat Fakir nasab yang tentu
Beratur moyang,datuk dan nenek 208
Ke atas itu Datuk Perkasa
Perhimpunan dagang tempat semenda
Daerah Pahang sekaliannya rata
Sekaliannya habis cicit dan cunda 209
Asal Pahang empat saudara
Di Pulau Datu,seorang di Bera
Daerah Mengkarak saudara yang tua
Yang di Cenor moyang Tuk Raja 210
Seorang pun tidak ada yang tinggal
Keling dan Cina,Bugis dan Benggal
Sehingga bercicit nutfahnya tanggal
Datuk Perkasa itulah asal 211
Tetapinya jarang orang yang tahu
Cawangnya banyak mendaun kayu
Beberapa bangsa beberapa suku
Campur gaul tiada bertentu 212
Itulah Fakir berani berkata
Sekaliannya itu bukan siapa
Lagi pun wajib jalan agama
Baik berkenan baik tiada 213
Menyatakan peri bodoh terlalu
Sudahlah bebal bertambah dungu
Tidaklah sedari diri tak tahu
Mengeraskan hati seperti batu 214
Segala bacaan kepada lafaz
Imam,khatib serta bilalnya
Tiada yang kena lagi pun janggal
Selama hidup betapalah hal 215
Kerana Allah belajarlah tuan
Betulkan bacaan janganlah meraban
Lagipun pahala difardhukan
Talqim dan zikir,istimewa al Quraan 216
Jikalau lagi di diamkan
Kitab yang sahih ditinggalkan
Ibadat kita ditamsilkan
Budak bermain di perahuan 217
Buanglah umur barang setahun
Tuntutlah ilmu sekadar pohon
Bab dan fasal biar bersusun
Tentulah tempat meminta ampun 218
Kerana lama tiadalah sedar
Ilmu yang salah disangka benar
Cubalah alih kalau bertukar
Janganlah menyesal di Padang Mashyar 219
Ilmu yang benar,kitabnya tentu
Di sanalah nyata perkataan guru
Pengajaran luar terlalu haru
Terkadang orang terkadang hantu 220
Nasral Kitab bernama Khunnas
Itulah syaitan memberi was-was
“Yuwas wisufi sudur al annas”
“Minal jinnati wa al annas” 221
Kitab yang masyhur di negeri Arab
Manhaj Talibin ikutan mazhab
Di dalamnya nyata tatkala bercakap
Mual’lap, mufti sekaliannya ranap 222
Perkataan jazam serta berpesan
Muhktasar ini engkau fahamkan
Jikalau bertemu kesalahan
Kitab yang lain engkau tinggalkan 223
Sirattul Mustaqim itu pun kuat
Lagipun setengah memberi berkat
Karangan Sheikh Benua Gujerat
Dengan Minhaj mengambil maufakat 224
*Sedikit tidak bersalahan
Awal khutbah dinyatakan
Beberapa kitab diturunkan
Minhajlah asal perpegangan 225
Lafaz manis terlalu wadih
Dengan Bahasa Melayu Acheh
Seribu empat puluh empat bilangan tarikh
Zaman sultan raja yang salih 226
Kemudian itu tiadalah lagi
Sungguhpun banyak jarang yang suci
Kecualikan masa Syed Alawi
Kemudian itu Imam Mahdi 227
Dipelihara Allah segala Islam
Dengan syufaat Saidul Anam
Berkat doa Sheikhul Islam
Kesudahan umur husnu al Khitam 228
Thum’ma amin,yaqulu amin
Inda al maut natiqin
Wa fi al Arash a’limin
Bi kalimat al sahadah salimin 229
Minal al Nar najihin
Minal al Jannatul faizin
Kama yaqulu Lil abidin
Id’hulu al Jannatu bi salam a’minin 230
Fadlu al rabbi minal qa’imin
Lil Abrar wa al Solihin
Salamullah a’la mursalim
Walhamdullilah rabbil alamin 231
Tamatlah syair Khatimul a’kilin
Ba’da alkhutubah Syair Al Ashikin
Ketiganya itu Samrah al Fakihin
Genaplah empat Milhu Zabin 232
*Syair ini menjaga-jagakan
Kerabat al zalim akhirul’ al zaman
Haza al ummah akhir al zaman
Wa fi haza ba’du al amkan 233
Syair ini perkataan sufi
Kesempurnaan kata Usul Fiqh (ahli fiqah)
Sekadarkan tangkai tiada berisi
Tertibnya tidak menghabisi 234
Sekadarkan tempat ingatan
Barang yang lupa rasa-rasaan
Barang yang ada terkilan-kilan
Demikian lagi ada bersalahan 235
Kemudian itu pergilah cari
Dimana jinak di sana tunggui
Janganlah penuh asal berisi
Tetaplah badan,senanglah hati 236
Syair ini jikalau berkenan
Carilah kertas pergi upahkan
Sekurang-kurang kelelahan
Seperempat mayam nukud Semantan 237
Lagi pun perbuat di atas usaha
Hati berhajat umur ada
Jikalau tulis cat perada
Serial dua apakah guna?(patut harga) 238
Jumlahnya itu hukum permainan
Boleh berlaku dicarangkan
Terlalu baik banyak ambilan
Daripada Syair Ken Tembuhan 239
Tamatlah sudah Syair Ashikin
Bahasa Melayu di bawah angin
Karangan oleh Tuk Imam Budin
Cicit yang daif empunya salin. 240
Tags:
KAJIAN SYAIR
0 comments