IMAM SYAHIBUDIN BIN ZAINAL ABIDIN (1700-1800) PENGASAS DESA TAKWA KG BERHALA GANTANG
Lahir di
Kampung Tanjung Keramat, di Kuala Semantan Temerloh Pahang. Beliau berketurunan
Minangkabau, keluarga ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Raja Siak yang
membantu Raja Kecil melanggar Pahang sekitar awal tahun 1700. Salah seorang
datuknya telah datang ke Pahang dan berkahwin dengan anak kepada Datuk Perkasa,
seorang pembesar Pahang yang tinggal di Cenor. Di antara leluhur yang paling
popular ialah Datuk Suji Bilang yang masyhur di Pahang sekitar tahun 1700M.Suji
Bilang telah memilih Kuala Semantan sebagai tempat menetap. Di sana beliau
membuka perkampungan bagi Orang Asli Saudara dan juga membuat penempatan bagi
Orang Asli yang non-muslim. Oleh kerana kehebatan beliau kampong itu dinamakan
“Tanjung Keramat”. Bapa Imam Syahibudin bernama Zainal Abidin berkahwin dengan
sepupu -nya yang tinggal di Cenor bernama Siti Norsiah. Hasil perkahwinan itu
memperoleh dua anak lelaki ia itu
Imam Syahibudin dan Tuk Sahi atau Imam Sahidin atau Tuk Aboi. Imam Sahidin
berkahwin dengan anak Tuk Kaya Cenor yang bernama Juhara.
Imam
Syahibudin mendapat pendidikan agama
dari bapanya sendiri Zainal Abidin yang juga merupakan seorang yang alim, Ketika Berusia 15 tahun mula mengaji kepada
Kadi Ismail, Kadi Ismail apabila melihat kecerdikan Imam Syahibudin ketika masih remaja, maka
beliau menyimpan hasrat bahawa anak muridnya yang pintar ini akan dapat
melakukan sesuatu sesuai dengan hasrat dan cita-cita beliau, maka Kadi Ismail
sentiasa mengalakkan Imam Syahibudin menyambung pelajarannya di luar
negara.Menurut cerita dari Pak Zek @ Zakaria Hitam ,seorang Budyawan Pahang yang terkenal: “ Imam Syahibudin itu di jaga dan dipelihara oleh
ibu dan bapanya dengan baik ,pada mulanya di ajar mengaji al Quran, maka
sesudah pandai mengaji dan mengenal huruf maka dihantar pula mengaji kepada
Tuan Kadi Ismail di Kampung Bangau Tanjung, Tuan Kadi Ismail pada masa itu
merupakan salah seorang guru agama yang masyhur di Pahang dengan kealiman nya
kerana beliau mengaji lama di Mekah.. Maka belajar lah Imam Syahibudin dengan
Kadi Ismail, maka di dapati oleh Kadi Ismail akan Imam Syahibudin ini seorang
murid yang bijak dan cekal serta rajin berusaha. Dalam tempoh beberapa tahun
sahaja maka habis semua ilmu yang di miliki oleh Kadi Ismail di kuasai oleh
Imam Syahibudin. Maka berkata tuan gurunya kepada beliau;” Wahai Syahibudin,
tiada lagi ilmu yang boleh aku ajarkan kepada kamu, kalau kamu berhasrat untuk
menjadi seorang yang alim lagi bijak sana maka aku cadangkan bagi kamu,
belajarlah pula ke luar negeri”. Maka jawab Imam Syahibudin: ”maka suka lah
hamba mendengar cadangan tuan guru, akan tetapi hamba terpaksa lah meminta izin
dari ibu bapa hamba kerana hamba masih budak lagi!”. Maka apabila Imam
Syahibudin balik ke rumah ibu bapanya maka diceritakan kepada kedua ibu bapanya
akan cadangan tuan guru nya, maka sangat gembira kedua ibu bapanya dan sangat
menggalakkan beliau pergi mengaji hingga ke Mekah. Maka bertemu semula Imam
Syahibudin kepada gurunya dan memberitahu bahawa ibu bapanya bersetuju
membenarkan beliau belajar keluar negeri .Maka berpesan lah Kadi Ismail kepada
Imam Syahibudin: ”Wahai Syahibudin pergi lah engkau mencari guru yang bijak dan
pandai di seluruh Nusantara ini dan belajarlah bersungguh kepada mereka,
apabila engkau hendak memulakan pelajaran maka berikanlah telur ini dan minta
sembelih kan telur ini, jika guru itu dapat menyembelih telur ini maka barulah
boleh engkau belajar kepada mereka, jika tidak carilah guru yang lain”. Maka
dibekalkan juga bersama Imam Syahibudin itu 40 soalan dalam Ilmu Tauhid minta
akan jawapannya. Maka apabila tiba hari yang di tetapkan maka Imam Syahibudin
bersiap sedia untuk bertolak ,maka semasa untuk berangkat, Tuan Gurunya berkata
kepadanya:” Wahai Syahibudin pada ketika ini isteri ku mengandung ,maka jika
perempuan kelak maka jadi isteri lah kepada kamu, akan tetapi jika lelaki maka
jadi sahabatlah kepada kamu”.Maka pergilah Imam Syahibudin seorang diri menaiki
perahu cawat menuju ke Pekan. Ini kerana tempat pertama yang beliau akan pergi
ialah ke pondok warisan Tok Ku Pulau Manis di Terengganu .Di Terengganu, Imam
Syahibudin menuntut dengan beberapa orang guru di sana. akan tetapi tiada
seorang pun guru yang dapat menjawab 40 soalan yang beliau kemukakan itu
termasuk untuk menyembelih telur tersebut. Maka dengan itu Imam Syahibudin
meneruskan perjalanan beliau ke Patani, ketika itu Negeri Patani merupakan
sebuah negara Islam yang di perintah oleh Orang Melayu, Dari kalangan Ulama
Patani ramai di kalangan mereka menjadi rakan kepada Imam Syahibudin. Di
Patani, Imam Syahibudin belajar dari seorang ulama ke seorang ulama yang lain
untuk menyelesaikan 40 soalan itu, tetapi sayangnya tidak semua 40 soalan itu
dapat di jawab oleh Tuan-tuan guru tersebut. Maka Imam Syahibudin meneruskan
perjalanan beliau dengan berjalan kaki menuju ke Negeri Kedah Darul Aman. Di
Kedah juga Imam Syahibudin sempat belajar dengan beberapa guru yang terkenal
,akan tetapi semua mereka gagal menyembelih telur yang di bawa oleh Imam
Syahibudin itu.Oleh kerana gagal untuk mendapat jawapan dari soalan-soalan
tersebut maka Imam Syahibudin bercadang untuk kembali ke kampong halamannya di
Temerloh, akan tetapi hasrat itu di halang oleh kawan-kawannya dengan
mengatakan masih banyak lagi ulama yang lebih alim dan masyhur di Tanah Aceh.
Maka sepatutnya beliau ke sana jika sebenarnya beliau jujur untuk menunaikan
wasiat dan hasrat gurunya itu. Maka dengan bersemangat Imam Syahibudin
meneruskan perjalanan beliau ke Aceh Daru l’ Salam. Di sana Imam Syahibudin
sempat belajar dengan beberapa guru-guru Martabat Tujuh yang kembali menguasai
kegiatan agama di Aceh setelah Syeikh Nuruddin al Raniri kembali ke India
kerana gagal di dalam perdebatan beliau dengan Saiful Rijal. Di Aceh setelah
belajar beberapa lama, beliau masih gagal mendapat jawapan dari soalan yang di
bekalkan oleh gurunya itu. Maka Imam Syahibudin meneruskan perjalanan ke Daik,
Palembang dan Lampung. Di Lampung, Imam Syahibudin bertemu dengan seorang guru
yang hampir menyemai apa yang di gambarkan oleh Kadi Ismail itu, di sana beliau
tidak terus belajar dengan guru tersebut sebaliknya memerhatikan kelakuan guru
tersebut selama beberapa hari, Setelah berpuas hati maka satu hari Imam
Syahibudin bertekad untuk belajar dengan guru tersebut, maka pergilah beliau ke
rumah guru tersebut dengan membawa telur ayam dan alat pembelajaran,
sesampainya di rumah guru tersebut kebetulan guru tersebut sedang hendak
memberi makan ayam ternakannya. Maka dilihat beliau, guru itu membawa sebuah
bakul kosong memanggil ayam supaya datang kepadanya, sambil berpura-pura seolah-olah di dalam bekas itu ada makanan.
Maka apabila dilihat oleh Imam Syahibudin perbuatan guru tersebut maka terbatal
hasrat beliau untuk mengaji dengan guru tersebut kerana guru itu seorang yang
pandai menipu.Oleh kerana kecewa dengan peristiwa tersebut maka Imam Syahibudin
meneruskan perjalanan dengan menaiki kapal, belayar ke Tanah Jawa. Beliau
singgah di Demak, kemudian ke Matarang sehingga sampai ke Betawi. Betawi semasa
itu di bawah penguasaan Orang orang Bugis. Semasa di Betawi, Imam Syahibudin
berjumpa pula dengan seorang guru yang sifatnya hampir sama dengan sifat yang
digambarkan oleh gurunya. Maka dengan segera beliau masuk belajar dan
bertanyakan pelbagai soalan. Setiap hari beliau mengemukakan beberapa
soalan-soalan yang ganjil, yang sangat menghairankan Imam Syahibudin semua
soalan yang di bawa dapat di jawab oleh Tun Guru tersebut. Pada hari ketiga
Imam Syahibudin membawa sebiji telur dan sebuah pisau wali kecil. Apabila tiba
maka duduklah Imam Syahibudin di hadapan pintu rumah tuan guru tersebut, maka
hairanlah murid yang ada melihat tingkah laku beliau, apabila ditanya orang apa
tujuan datang ;maka jawabnya hendak mengaji akan tetapi apa yang dibawanya
bukan alat untuk mengaji. Sejurus kemudian tibalah tuan guru ,apabila sampai di
pintu Imam Syahibudin memberi salam, Tuan Guru bertanya :”Apa hal dan apa
hajat?”, mendengar pertanyaan tuan guru itu maka Imam Syahibudin pun berkata:
”Ada satu hajat besar ,saya minta tolong tuan guru” ,Tuan Guru berkata:
”Silakan”, Maka Imam Syahibudin pun mengeluarkan telur dan pisau wali tersebut
sambil berkata: ”Saya minta tuan guru sembelih telur ini!”. Dengan tidak
membuang masa Tuan Guru berkata:” Pegang kaki dan kepaknya segera supaya senang
kita sembelih akan dia”. Mendengar jawapan gurunya itu maka Imam Syahibudin
segera sujud ke lantai bersyukur kepada Allah kerana apa yang beliau cari
selama bertahun-tahun ini sudah dijumpai, maka belajar lah beliau dengan guru
itu bersungguh-sungguh”. Maka belajarlah beliau dari Fakih Abdullah Yusuf di
Betawi. Tuan Fakih ini di percayai anak murid kepada Fakih Yusuf Abdul Salam
yang pernah menjadi perdana menteri bagi Kesultanan Banten yang rajanya
bernama Sultan Ageng Tirtayasa. Di bawah
bimbingan Fakih Abdullah Yusuf, Imam Syahibudin sudah menjadi seorang boleh di
panggil Ulama sebagai mana yang di sebut oleh Imam Dzul Bayan:
Imam Shabudin alim Betawi
Batu Intan dikata kawi
Buat ibadat bersayo diri
Seperti kelakuan orang mencuri
(Petikan – Zakaria Hitam –Budayawan Pahang)
Fakih
Abdullah Yusuf guru kepada Imam Syahibudin dipercayai pernah pergi ke Trim, Yaman belajar dari Syed Alawi
Ba Al Hadad yang sangat terkenal ketika itu, Oleh kerana pengaruh Fakih
Abdullah Yusuf sangat kuat ke atas diri Imam Syahibudin, maka banyak buku-buku
karya Syed Alawi menjadi rujukan beliau, di antara buku yang sering beliau
bicarakan mengenai tokoh ini dan mengamalkan ajaran-ajaran beliau seperti Kitab Nur al Mubin. Kitab ini menbincangkan soal-soal tauhid. Menurut
kajian kami pula; Setelah selesai mengaji di Betawi, Imam Syahibudin dipercayai
meneruskan perjalanan ke Yaman bagi menyambung pelajaran, beliau pergi ke
pondok pengajian yang di asaskan oleh Syed Alawi Al Hadad, seorang ulama di Trim di dalam Negeri Yaman, setelah
beberapa tahun beliau pergi pula ke Afrika Selatan menziarahi makam Syeikh
Yusuf Makassar.
Sekitar
tahun 1760an Kembali ke kampung halaman dalam usia yang sudah matang dan
memulakan dakwah kepada penduduk di seluruh negeri Pahang, antara peranan
utamanya ialah menghapuskan ajaran Salek Buta, iaitu kesan dari Ajaran Martabat
Tujuh yang di asas kan oleh Hamzah Fansuri dan lain-lain ajaran sesat yang
banyak terdapat di Pahang ketika itu. Beliau memulakan dari Pekan, kemudian ke
Daerah Cenor, terus lagi ke Daerah Mengkarak tempat tinggalnya bapa saudara
beliau Imam Zul Bayan. Maka di dalam pertemuan ini berlakulah beberapa
perdebatan di antara Imam Syahibudin
dengan Imam Nur Qadim, Pantun perdebatan di antara dua ulama Pahang itu
dirakamkan oleh Pak Zek di dalam tulisannya seperti berikut:
Kata Imam Nur Qadim:
Imam Syahibudin Alim Betawi
Batu intan dikata kawi
Berbuat ibadat bersayo diri
Seperti kelakuan orang mencuri
Ilmu Usul terlalu payah
Sekalian ummah selalu berbantah
Jikalau tidak kena kata sepatah
Menjadi Kafir Nauzubillah
Jawab Imam Syahibudin:
Imam Nur Qadim Ali bangsawan
Berbuat ibadat berkuat kuatan
Kelakuanya seperti hantu dan syaitan
Bila berbunyi lari hantu di hutan
Nafi isbat terlalu payah
Sekalian ulama banyak berbantah
Jikalau bercerai kalimah La ilahaillah
Menjadi kafir Nauzubillah
Martabat tujuh terlalu masyhur
Racun terbang di negeri timur
Lekat di hati sedikit tak kendur
Seumpama riwayat orang berikan
Penulis berpendapat, pantun ini merupakan satu dari pantun lama yang ada di
dalam simpanan Pak Zek sebagai bukti wujudnya tokoh-tokoh dan peristiwa ini.
Akan tetapi Imam Syahibudin tidak mampu untuk meyakinkan orang ramai dengan
pendapat beliau.. Seterusnya beliau meneruskan misi dakwah nya ke Pulau Tawar
yang merupakan ibu Negeri Pahang yang kedua ketika itu. Di sana beliau di usir,
maka seterusnya beliau kembali semula ke Temerloh, dalam perjalanan pulang,
bertemu pula dengan Lebai Ajam To Malim Panjang seorang tokoh Martabat Tujuh di
Kampung Baduk Mukim Sanggang Temerloh Pahang. Namun segala ajakan dan seruannya
tidak di terima oleh penduduk setempat. Seruan Imam Syahibudin tidak diterima
oleh masyarakat Pahang yang ketika itu sangat tebal dengan fahaman Martabat
Tujuh .maka dari sana beliau kembali ke kampung halamannya di Tanjung Keramat,
dan beliau berkahwin dengan anak kepada Gurunya yang bernama Mendiah. Dari
perkahwinan ini beliau memperolehi hampir 10 orang anak lelaki dan perempuan.
Sekitar
tahun 1770an,Beliau membuka Kampung Berhala Gantang setelah gagal dalam
usahanya untuk mengubah kepercayaan masyarakat Pahang ketika yang
mempercayai Ajaran Martabat Tujuh,
tujuan membuka kampung adalah bagi mendirikan pusat pendidikan yang berasaskan
Aliran Ahli Sunah Wal Jamaah sebagaimana yang di war-war kan oleh Syeikh
Nuruddin Al Raniri di Aceh dan gurunya Kadi Ismail Mendalek. Beliau
melaksanakan kerja ini dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya meletakkan
pusat pendidikan beliau setaraf dengan pusat pendidikan di Aceh dan Jawa,
beliau mengajar pelbagai kitab yang masyhur di dalam Mazhab Syafie dan juga di
dalam bidang akidah serta tasawuf. Maka lahirlah dari kalangan anak-anak beliau
sendiri, para ulama yang berilmu tinggi sehingga mampu menjadi kadi dan mufti
untuk negeri Pahang; seperti Tuan Teh, Imam Baada, Kadi Nong. Dari Kalangan
cucunya Kadi Besar Pahang, Kadi Abu Bakar (1830), Kadi Ismail dan Kadi Besar
Pahang ,Kadi Ibrahim bin Hurairah (1840-1820).Pondok Pesantren ini berkembang
sehingga ke hari ini.Sekitar tahun 1790an hingga 1800an, Ketika usianya sudah
lanjut; Imam Syahibudin mula mengarang syair-syair, segala kegiatan pesantren
di serahkan kepada anaknya Tuan Teh, Tugas Ketua kampung pula Imam Baada dan
jawatan kadi diserahkan pada anaknya bernama Kadi Nong. Di antara syair beliau
yang terkenal ialah Syair Asyikin yang kini diterbitkan oleh Kementerian
Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (Naskah Kadi Ibrahim dalam simpanan Mak Ngah
Fah), terdapat juga syair beliau yang di sebut sebagai Syair Ghafilah (Catatan Imam Mat Yasin Kg
Sanggang Seberang),Syair Sifat, Syair Tumbuhan(Dalam simpanan Wan Sadiah Imam
Yaakub Kg Raja Songsang), Syair Usul . Syair-syair ini di salin dan di simpan
oleh anak murid dan anak cucunya sehingga ke hari ini. Syair karya Imam
Syahibudin amat popular di Negeri Pahang ,dibacakan di surau-surau dan di
perjumpaan keagamaan. Di samping itu juga dijumpai pengaruh karya beliau
sehingga ke Johor dan Riau. Seorang pengarang Syair Sultan Abu Bakar telah
meniru gaya Imam Syahibudin di dalam bersyair yang berjudul “Syair Johor “
,karya ini pernah dijadikan thesis di UM
oleh Dr Fauzi Basri, bekas Naib Canselor
UUM.Di samping bersyair, Imam Syahibudin juga merupakan orang pertama
memperkenalkan Dikir Rebana di Pahang. Sehinggakan dikir tersebut dinamakan
Dikir Rebana Imam Syahibudin. Kegiatan dikir ini masih giat dijalankan di
kawasan Tembeling ,Jerantut Pahang terutama di Kampung Teh. Dikir ini dibacakan
pada malam majlis kenduri perkahwinan atau pada malam Maulid Nabi.
Awal 1800-an Meninggal dunia dalam usia hampir 100 tahun
0 comments