SYAIR PEMBASUH TANGAN (TIDAK DIKETAHUI SIAPA PENGARANG NYA, KARYA ULAMAK PAHANG).
Faedah kata pada yang gemar
Terkadang racun jadi penawar
Dari mula menjelang khabar
Janganlah marah setahun sesuku ku rasa sebentar
Awal syair permulaan
Dinamai orang pembasuh tangan
Boleh bercerai diputuskan
Kalaulah masa berpanjangan
Jikalau kan malas menyurat
Di dalam hati tiada khasiat
Apa faedah kerja melarat
Habis tempoh kenalah tamat
Kabar pun tidak berapa indah
Orang pun tahu perkataan mudah
Berulang kata yang sudah
Kepada yang gemar ada faedah
Menyatakan peri kebesaran tuhan
Menjadikan misal dengan tauladan
Di dalam dunia permulaan
Akhirat itu kesudahan
Negeri akhirat di dalamnya syurga
Tempat kekal segala yang bahagia
Suatu lagi bernama neraka
Tempat segala yang celaka
Janji bahagia untung celaka
Masa roh sudah bersisi
Menjawab firman katanya “bala”
Menzahirkan janji di dalam dunia
Syurga dan neraka dikekalkan
Akhirnya tidan berkesudahan
Nikmat dan azab berpanjangan
Di dalam dunia ada tauladan
Dijadikan tahun bulan dan masa
Hari yang tujuh,waktu yang lima
Di dalam akhirat demikianlah ada
Sekadarkan kita tidak serupa
Syamsu dan qamar di dalam dunia
Di dalam akhirat hanyalah cahaya
Bulan dan bintang tiada di sana
Sekaliannya habis ke dalam neraka
Sebab pun ia selaku siksa
Kerana disembah seperti berhala
Dimasukkan kafir ke dalam neraka
Bersama-sama dengan tuannya
Dijadikan Allah sekalian binatang
Segala bukit,rumput dan padang
Ada berjalan ada terbang
Meramaikan dunia jangan terlapang
Di dalam akhirat demikian gerang
Terlebih ramai di sana orang
Azab dan nikmat di sana terbilang
Lagipun kekal di sini hilang
Dijadikan Allah segala yang bisa
Seperti ular lipan dan kala
Ipon dan racun segala bala
Menunjjukan azab di dalam neraka
Dijadikan Allah segala yang lazat
Berbagai jenis segala nikmat
Elok dan mulia beberapa pangkat
Menunjjukkan nikmatt di dalam akhirat
Dijadikan Allah segala yang hina
Bangkai dan najis tiada bernyawa
Busuk dan hancing,sopak dan buta
Itulah sifat bangsa neraka
Dijadikan Allah segala yang mulia
Intan baiduri segala permata
Putih kuning lagi berbangsa
Itulah tanda kemuliaan syurga
Dijadikan Alllah segala yang cemar
Tahi dan kencing,leach dan jehar
Anjing dan babi,tuak dan khamar
Misal akhirat segala kuffar
Dijadikan Allah segala yang baik
Suci dan halal,licin dan molek
Cantik manis, dan larik
Misal akhirat mukmin yang sidiq
Dijadikan Allah segala yang jahil
Dengan bantahan serta degil
Bodoh dan ......Lagi pembabil
Isi neraka itulah dalil
Dijadikan Allah orang yang alim
Lagi tawakal serta taslim
Lagipun sabar serta rahim
Alamat syurga Jannatulnaim
Dijadikan Allah kafir celaka
Itulah kekal di dalam neraka
Munafik dan zindik demikian juga
Segala syirik sama belaka
Masing-masing dengan tempatnya
Masing-masing dengan pangkatnya
Kekallah ia di dalamnya
Tiadalah hingga kesudahanya
Dijadikan Allah nur yang bahagia
Ba’du nabi segala aulia
Itulah kekal di dalam syurga
Nikmatnya limpah tiada terhingga
Syurga dan neraka berpangkat-pangkat
Mukmin dan kafir beberapa mertabat
Iblis dan syaitan kepala yang jahat
Akan mukmin, Syaidul Kaainat
Segala mukmin yang durhaka
Seperti namanya tiadalah beza
Kedua negeri dimasukkannya
Kemudian rahmat selama-lamanya
Demikinlah kata zahir syariat
Setengahnya lepas kerana syafaat
Kaya dunia kaya akhirat
Papa dunia papa akhirat
Setengahnya pula daripada umat
Melupakan bahaya semata rahmat
Kemuliaan dunia beberapa nikmat
Demikianlah ada kemuliaan akhirat
Kesakitan dunia beberapa mudharat
Demikianlah misal azab akhirat
Melihat dunia melihat akhirat
Buta dunia buta akhirat
Mulia dunia mulia akhirat
Hina dunia hina akhirat
Senang dunia sakit akhirat
Sakit dunia senang akhirat
Suka dunia duka akhirat
Duka dunia suka akhirat
Berpaling akas dua bait
Jikalau serupa fahamnya lambat
Bait yang ketiga jadi serupa
Segala talib faham di sana
Nas kitab perkataan
Itu lah dhabit perpegangannya
Dunia itu maknanya hina
Negeri yang hilang nikmatnya fana
Tiadalah orang kekal di sana
Lagipun nilai tiada harga
Dunia nan misal tempat berdagang
Nikmat sedikit azabnya panjang
Selesai dirunding hutang berhutang
Kemudianya habis kembali pulang
Dunia ini permulaan jalan
Simpangnya dua kiri dan kanan
Salah satu perhumaan
Lainnya itu perlanunan
Dunia itu terlalu pandak
Segala yang diam asalnya budak
Taulan belum berapa banyak
Paling jadi merangkak
Itupun mujur dibilangkan (h)andal
Terkadang mampus di pertengahan sundal
Setengahnya itu ketika nakal
Setengahnya itu lagi ke babal
Suatu lagi hal nya dunia
Lihatlah segala orang yang tua
Baik jantan baik betina
Disangka orang berkenan ke dia
Hatinya ingin kepada yang muda
Perkataan pedas meskipun hampa
Jikalau serta dengan berada
Memakai emas berkain sutera
Kehinaan dunia diumpamakan
Hamba orang lagi perempuan
Tua dan bisu lagi beruban
Buta dan tuli lagi besiran
Segala orang yang beriman
Umpama lelaki yang bangsawan
Baik rupa lagi hartawan
Seperti itu adakah berkenan ?
0 comments