SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN INTELEKTUAL ISLAM
Sejarah Ringkas Perkembangan Intelektual Islam Di Negeri Pahang Darul Makmur 1400-1900
Kedatangan
Islam
Tarikh kedatangan Islam ke Nusantara
berkait rapat dengan masa ketibaan saudagar Arab Muslim ke kawasan gugusan kepulauan
Melayu.Saudagar Arab mempunyai hubungan yang agak lama dengan saudagar Cina
iaitu sebelum zaman kelahiran Rasullulah s.w.a lagi. Hubungan ini adalah
menerusi aktivti perdagangan dua hala di antara saudagar Arab dan Cina.
Saudagar Arab merupakan golongan pedagang yang menguasai aliran ekonomi di
sebelah barat,manakala saudagar Cina pula menguasai perdagangan di dunia timur.
Orang Arab datang ke timur untuk
mencari barang yang sangat-sangat dikehendaki di Eropah seperti wangian,gading
gajah,rempahratus dan alat senjata yang terdapat di Asia Tenggara. Di
negeri Cina pula mereka mendapat barang perdagangan seperti sutera,pinggang
mangkuk dan kertas. Barang-barang ini mendapat pasaran yang meluas dan sambutan
yang mengalakkan dari penduduk-penduduk di Asia Tengah dan Eropah.
Di
antara bukti kewujudan saudagar Arab di Nusantara ialah terdapatnya
perkampungan Arab di Barat Sumatera dalam tahun 55H. Dari kampung ini terdapat
dua orang utusan dihantar ke negeri Cina, salah seorang dari mereka bernama
Sulaiman,tujuannya bagi membuat perjanjian dengan Maharaja Cina untuk
mendapatkan konsensi perdagangan.Rombongan ini mendapat sambutan yang baik dari
Maharaja Cina pada masa itu,mereka diberi persalinan dan beberapa cap tanda
mohor kerajaan Cina. Kerajaan Cina merupakan kuasa besar dunia ketika
itu,jaminan keselamatan dari Maharaja Cina sangat penting bagi negara-negera
kecil di Asia Tenggara.
Dalam
tahun 336H, (lihat dlm- Paul Wheatley – The Golden Khersonese – UM -1980 –hal:228) seorang Arab
bernama Al Masudi telah menulis mengenai geografi di Asia Tenggara.Beliau telah
menulis mengenai kedudukan negeri-negeri yang ada pada masa itu di Kepulauan
Sumatera dan Tanah Melayu.Pengetahuan beliau mengenai kepulauan Melayu boleh
dikatakan mendalam terutama dari segi Longitud dan Latitud. Beliau juga
menceritakan kedudukan pulau-pulau seperti Pulau Tioman dan bandar-bandar
utama. Di samping itu beliau menceritakan tentang kesibukan pelabuhan Canton.
Kegiatan yang dilakukan oleh Al Masudi mengambarkan tentang kegiatan orang-orang
Arab ketika itu yang begitu mahir dengan suasana iklim,tanah,ekonomi,sosial di
Tanah Melayu.
Jika orang-orang Arab tidak mahir mengenai keadaan kawasan di Asia
Tenggara masakan mereka datang menceritakan mengenai kawasan ini dengan baik
dan jelas,tulisan ini mereka buat adalah sebagai panduan kepada
pedagang-pedagang Arab yang datang kemudian dari mereka. Sumbangan mereka ini
sangat besar dan memudahkan usaha dakwah pada masa akan datang.
Pada tahun
419H(1050M)kita temui satu makam lama kepunyaan seorang Islam di Pulau Tambun
di Pekan Pahang DarulMakmur( lihat dlm – Mokhtar Shafie- Batu Nisan Kurun ke 5
– 1980 –hal:25) . Ini membuktikan bahawa orang Islam sudah membuat penempatan
kecil di pesisiran pantai negeri Pahang,Ramai ahli sejarah ragu mengenai tanda
yang bersejarah ini,wajar kita ingat bahawa sebahagian batu nesan ini telah
dijumpai lama sebelum terjumpanya bahagian yang sebelah lagi. Oleh itu pihak
mezium Pahang gagal untuk menentukan tarikh dan beberapa perkara lagi kerana
tulisan yang terdapat pada nesan itu merupakan sebuah syair yang cuma dapat
dibaca sebahagian saja,apabila dijumpai sebahagian lagi,maka maksud syair ini
dapat dibaca dengan jelas itu menceritakan bahawa jenazah ini dikebumikan di
situ pada tarikh yang tersebut di atas.
Jikalau kita
menyusuri sejarah negeri Pahang,kita dapati kedatangan saudagar Arab ke Pahang
lebih awal dari Melaka atau lain-lain tempat bukan satu perkara luar biasa,ini
kerana negeri Pahang terutama sungainya terkenal sebagai satu tempat yang
mempunyai banyak sumber emas dan lain-lain galian, negeri ini di kenali oleh
orang asing sejak zaman kerajaan Greek kuno lagi. Orang-orang asing dari
Eropah,Arab,India,Cina dan Siam datang ke Pahang dengan satu tujuan untuk
mencari emas yang diibaratkan seperti pasir melaut. Demikian juga sebelum
kedatangan Melaka,disebutkan di dalam catitan Cina bahawa Maharaja (Parameswara
Tasik Cini) membina istana baginda dari emas. Kekuatan jumpaan batu nesan di
Kuala Pahang , ditambah lagi dengan terjumpanya batu nesan seorang perempuan
bernama Fatimah binti Maimun bertarikh 475H (1097M)di Jawa. Terjumpanya makam
seorang perempuan menunjjukkan bahawa kegiatan saudagar Islam sudah meluas di
Tenggara Asia sekitar 300 tahun selepas kewafatan nabi.
Kegiatan Islam meliputi utara Tanah Melayu hingga ke
Kepulauan Sumatera dan juga Tanah Jawa, Ini bermakna orang-orang Islam secara
kumpulan-kumpulan kecil boleh ditemui di semerata Asia Tenggara.
Dan dalam tahun
700H(1303M) ,kita temui pula satu diskripsi yang berupa Batu Bersurat di
Terangganu. Batu Bersurat ini menandakan wujudnya sebuah kerajaan kecil Islam
di sana. Batu bersurat ini walaupun menyamai batu bersurat di Kemboja akan
tetapi ia menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang membuktikan ia adalah
kepunyaan masyarakat tempatan .Patut di ketahui dari segi politik pemerintahan
di zaman dahulu di antara Pahang dan Terangganu mempunyai ikatan yang sangat
rapat( Sila Lihat –Buyung Adil – Sejarah Pahang – DBP- 1972) . Pedagang dari
Cina dan Kemboja datang ke Pahang melalui Sungai Terangganu ke hulu Pahang dan
terus ke Sungai Pahang untuk keluar ke
Laut Cina Selatan atau Selat
Melaka. Di zaman Pemerintahan Melaka, Pahang dan Terangganu di perintah
oleh keturunan yang sama.
Saya
mengemukakan bukti-bukti di atas untuk menunjjukkan kepada kita bawa Islam
sudah tersibar di Tenggara Asia. Sehingga kini kita belum dapat menentukan
dengan tepat di mana Islam mula tiba dan bila,akan tetapi wajar kita ingat
bahawa pada masa dahulu negeri-negeri Melayu adalah di bawah pelbagai kuasa
pemerintahan yang luas wilayahnya.Seperkara yang perlu juga diingat bahawa tanpa sebarang
kuasa yang dapat menyatukan umat Islam ketika itu,sebuah negara Islam tidak
dapat diwujudkan,perundangan Islam tidak dapat direalisasikan di dalam
masyarakat sehingga ke zaman Melaka.Kita bersetuju dengan pendapat D.Aderea
seorang mubaligh Kristian bangsa Portugis yang datang ke Alam Melayu pada tahun
1410 ,yang menyatakan bahawa Islam telah diamalkan di Pahang hampir lebih 100
tahun awal dari Melaka. Pendapat ini memyamai tarikh yang tercatat pada Batu
Bersurat Teranggau kerana negeri Terangganu berjiran dengan Pahang. D Aderea
bukan saja menyatakan tarikh tetapi
beliau juga menegaskan bahawa masyarakat Islam di Pahang telah beramal dengan tradisi
Islam lebih dari apa yang di amalkan di Melaka, samada dari segi
pakaian,pergaulan dsb( Lihat Buyung Adil – Sejarah Pahang – hal 10).
Kesimpulannya
dapat kita nyatakan bahawa Islam telah tiba ke Kepulauan Melayu seawal
perkembangan Islam selepas pembukaan Kota Mekah dan kemenangan Nabi ke atas
seluruh penduduk Tanah Arab,dan kita menyakini bahawa Islam tiba ke kepulauan
Melayu melalui jalan laut samada di Kedah atau di Utara Sumatera ini merupakan
tempat yang mula dikunjungi oleh saudagar Islam Arab.Islam tiba di Pahang
adalah di antara yang terawal di Nusantara.
Hukum Kanun Melaka
Pada tahun 1445
M, orang-orang Melaka datang menakluki Pahang.Mereka merampas kuasa dari
pemerintah Siam ketika itu.Di bawah pimpinan Tun Perak sebagai Bendahara
Melaka,orang-orang Islam di Pahang dapat dibebaskan dari cengkaman Siam.
Penaalukan ini amat besar ertinya kepada sejarah negeri Pahang, Oleh kerana
penduduk Pahang sudah didominasi oleh orang Islam,maka peperangan tidak
mengambil masa yang lama ,maka orang-orang Melaka dapat menaaluki Pahang dan
meletakkan wakil kerajaan mereka di sini. Kedatangan Melaka juga membawa satu
perundangan yang dinamakan Hukum Kanun Melaka & Hukum Kanun Laut Melaka
yang berasaskan Islam dari mazhab Syfiee. Ia
diparktikkan oleh masyarakat setempat( Lihat R. O Winsted – The Malay
Classical Litt -1969: Undang-undang Islam Pahang adalah bermodelkan
undang-undang Melaka).
Amalan-amalan
Islam makin diperkukuh,pusat penempatan baru di buka,masjid dibina begitu juga
dengan ousat-pusat pendidikan Islam di dirikan di seluruh Pahang.
Pusat Pengajian
Tasawuff Lubuk Pelang 1500
Sejak sebelum penaalukkan Islam
Melaka ke atas Negeri Pahang
telah wujud sebuah pusat pendidikan Islam di Lubuk Pelang
yang merupakan sebuah pusat pendidikan bercorak tasawuff.Pusat ini semakin maju
kesan dari penaalukan Melaka ke atas Pahang.Di zaman pemerintahan kerajaan
Melaka,kegiatannya semakin terserlah. Ini dapat kita buktikan bahawa apabila
Sultan Abdul Jamil meletak jawatan kerana pertikaian dengan adinda baginda
Sultan Melaka,Pertikian mengenai hak kuasa Melaka Ke atas Pahang,baginda sultan
yang tidak puas hati telah meletak jawatan dan melantik anaknda baginda menjadi
sultan Pahang yang baru, Baginda telah pergi ke hulu Pahang sehingga kononnya
sampai ke tempat yang tidak lagi kedengaran tiupan gendang nafairi, baginda
telah pergi ke Lubuk Pelang menghabiskan sisa umur untuk beribadat kepada Allah
di sana. Di dalam Kitab Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang ,ada menyebutkan
tentang peristiwa tersebut . Kitab tersebut menyatakan bahawa Sultan Abdul
Jamil “Bersheikh” diri di Lubuk Pelang.Bersheikh diri sama pengertian dengan
“Bersuluk” pada masa sekarang. Tempat bersuluk semestinya mempunyai seorang
guru atau “Sheikh” untuk membimbing anak murid yang ingin mempelajari tasawuff.
Ini menunjjukkan bahawa di Pahang ketika itu telah wujud pusat pendidikan
keagamaan yang agak tinggi kedudukannya. Kisah ini sama pendapat dengan pandangan Prof Dr Hamka dalam bukunya
“Sejarah Umat Islam” yang mengatakan
bahawa pendakwah Islam yang awal yang sampai ke Nusantara ini melalui peranan
Ahli Sufi.
Pemgembaraan
Hamzah Fansuri
Pada tahun1594, Hamzah Fansuri telah
datang dari Acheh ke Pahang bagi menyambung pelajaran; di dalam syiarnya
beliau menceritakan tentang
kunjunganya ke Pahang untuk belajar dari
guru-guru di sana :-
Dari Banten ke Pahang terlalu payah
Mencari tuhan di
dalam Kaabah
Sebab inilah ia
da'im berlelah
Akhirnya
terdapat di dalam rumah
T.Iskandar-
Hamzah Fansuri, Pengarang,Penyaer,Ahli Tasawuff Abad ke 17-- Dewan Bahasa - Feb
1965
Kedatangan
Hamzah Fansuri ke Pahang adalah dari anjuran Puteri Kamariah , Puteri Pahang
yang ketika itu menjadi permaisuri Acheh,isteri kepada Sultan Iskandar Muda
Mahkota Alam, permaisuri yang sangat meminati ajaran agama telah mencari
sesaorang yang berkebolehan untuk menuntut “Ilmu Hakikat” di seluruh dunia bagi mencari pengertian
Hakikat dan Kewujudan di dalam masalah-masalah Ilmu Tauhid dan Ilmu Kalam.
Hamzah telah dipilih untuk menjalankan misi tersebut,antara tempat yang
dianjurkan oleh tuanku permaisuri ialah pusat pengajian di Pahang,selain di
India dan BaitulMaqdis. Hamzah ini akhirnya mengasaskan satu aliran baru di
rantau timur ini yang dikenali dengan Ajaran Mertabat Tujuh. Ajaran ini apabila
sesudah kematian beliau bertukar menjadi satu ajaran sesat atau disebut di
Acheh “Salik Buta”, dan akhirnya ajaran ini sampai ke Pahang dan diamalkan
dengan meluas pada masa Imam Nur Qadim sekitar 1720.
Salah satu lakaran Hamzah Fansuri berdasarkan blog terbitan [pakcik wordpress] |
Saya berpendapat
bahawa tempat yang dimaksudkan oleh beliau adalah Lubuk Pelang, ini kerana
perhubungan yang sukar untuk sampai ke sana. Menurut sumber Portugis dan
Inggeris,perjalanan dari Kuala Pahang ke Kuala Lipis di hulu Pahang pada zaman
dahulu mengambil masa selama 45 hari. Dengan menaiki perahu yang terpaksa
melalui kawasan hutan tebal ,air terjun dan jeram.Jika di ambil keadaan
perjalanan dari Acheh ke Pahang melalui jalan laut ,kita rasa tidak begitu
sukar kerana hanya menyeberang melalui Selat Melaka,akan tetapi jika memudiki
sungai Pahang hingga ke Lubuk Pelang
akan berlaku hal sebaliknya sekalipun jarak perjalanan tidak sampai 1/5 dari
jarak Acheh Ke Kuala Pahang.Ini memberi gambaran kepada kita pusat pengajian
yang ada di Lubuk Pelang merupakan satu pusat pengajian Tasawuff yang agak
terkenal juga ketika itu di Nusantara. Dan di yakini mempunyai guru-guru yang
terpelajar.
Kitab Hidyatul
Mustafid
Dipercayai juga
selepas kedatangan Hamzah Fansuri,Pahang juga dikunjungi oleh seorang ulama
besar dari India iaitu Nuruddin Al Raniri ( 1658), Semasa di Pahang, beliau
dipercayai sempat menulis dua buah buku agama yang asas di dalam bidang Akidah(Durratu-l Faraid bi
Syarhi-l Aqaid) dan Hadis( Habib fi-l Targhib wa-l Tarhib). Tidak terdapat
penggunaan dialek Acheh di dalam kedua-dua buah buku ini sebagaimana
karya-karya beliau yang lain semasa menjadi mufti Acheh( rujuk R.O Winsted).
Memandangkan bahan tulisan yang dikemukakan
oleh Sheikh Nuruddin begitu tinggi,maka ini membuktikan bahwa Islam di negeri
Pahang sudah begitu meluas diamalkan dalam abad ke 15 sehingga terdirinya
pusat-pusat pengajian yang di datangi oleh guru-guru dari luar Pahang dan para
ulamak di beri penghormatan oleh pemerintah ketika itu.
Undang-undang Islam Pahang 1600
Pada tahun
1592-1614,Sultan Abdul Ghafur,Sultan Pahang ketika itu telah mengarahkan para
ulama membuat satu rang undang-undang baru yang lebih kemas dari Kanun Melaka.
Undang-undang baru itu dinamakan “Hukum Kanun Pahang”, Pengaruh Mazhab Syafiee
lebih ketara di dalam kanun ini berbanding dengan Hukum Kanun Melaka terutama
di dalam bab 24-66. Kanun ini bukan saja
digunakan di Pahang tetapi diterima
pakai di Brunei dan Perak serta Patani. Ini sudah tentu Pahang memiliki sebaris
ulama yang berwibawa untuk membuat satu perundangan yang begitu lengkap. Di
percayai empat orang ulamak besar telah datang ke Pahang bagi membantu usaha
tersebut . Mereka akhirnya menetap dan menyibarkan Islam di Pahang,mereka
terdiri dari Tuk Mengkasar, Ali Mambang,
Suji Bilang dan Imam Besar. Kesemua mereka mendapat pendidikan dari pusat
pengajian Wali Songgo di Jawa dan Acheh .
Sultan Abdul
Ghafur juga telah menyusun pentadbiran di negeri Pahang sebagaimana pentadbiran
di Minangkabau dengan wujudnya jawatan Orang Besar Berempat,Orang Besar
Berlapan,Orang Besar Enam Belas.
Di antara
jawatan Orang Besar Berempat yang diwujudkan ialah jawatan Orang Kaya Indera
Syahbandar di Pekan,Orang Kaya Indera Segara di Temerloh. Pernah di sebutkan
oleh Tuk Shahibudin bahawa Orang Kaya
Indera Syah Bandar pada masa beliau bernama “Orang Kaya Othman”. Beliau
merupakan seorang yang alim di dalam Ilmu Mertabat Tujuh dan beramal dengan
ilmu ini. Orang Kaya
Othman banyak mempengaruhi Sultan supaya beramal dengan ajaran tersebut. Hasrat
Orang Kaya Othman pula di sokong oleh Mufti Pahang Sahibus Samahah Imam Zul'
Bayan yang sememangnya alim di dalam Ajaran Mertabat Tujuh.
Imam Dzul Bayan Mufti
Pahang 1650-1740
Dari tahun 1600 hingga 1800 ,negeri
Pahang mengalami keadaan kacau bilau kerana perebutan kuasa.Namun kita dapati
kedudukan ini tidak menjejaskan perkembangan agama Islam. W Linehan menulis di
dalam bukunya "History of Pahang", dalam sekitar tahun 1600M dengan
kemasukan orang-orang Minangkabau,Mendailing dan Rawa perkembangan Islam
semakin rancak. Menurut beliau ramai orang Asli dapat di Islamkan terutama di
kawasan pendalaman. Orang-orang Minangkabau selain mereka rajin bekerja,pandai
berniaga mereka juga berdakwah di Pahang dengan membuka perkampungan baru
seperti Tuk Suji Bilang di Temerloh,Tuk Mengkarak,Tuan Sanggang di Sanggang,Tun
Ahmad di Lipis. Kita dapati para pendakwah sanggup berkahwin dengan
wanita-wanita Orang Asli untuk mengislamkan mereka,mereka juga membuka
perkampungan dan tanah baru untuk dimajukan bagi menempatkan Orang Asli yang
sudah Islam.Mereka membagikan setiap tempat kepada daerah-daerah dengan
diketuai oleh seorang Imam seperti Daerah Mengkarak,Daerah Lebak,Daerah
Temerloh,Daerah Sanggang,Daerah Kertau,Daerah Cenor dll. Setiap Daerah
mempunyai Imam,Kadi dan Imam Perang. Imam,Kadi dan Imam Perang bergilir kuasa
untuk menjadi ketua daerah berdasarkan kekuatan,kekayaan dan umur yang mereka
miliki. Biasanya keutamaan kepada keturunan di samping kekuatan
dan kealiman ilmu agama.
Jawatan Mufti
yang dapat dikesan sehingga ini ialah Tuk Mengkarak.Beliau membuka sebuah pusat
pengajian agama di Mengkarak yang ketika itu merupakan sebuah Bandar di
pendalaman Pahang. Dikatakan bahawa Imam Zul' Bayan juga membina parit untuk
mengairi sawah dan membina sebuah
mahkamah untuk perbicaraan, mahkamah ini mengenakan sistem timbang bagi mengira
denda (takzir). Perihal
timbangan ini ada disentuh oleh Pak Sako di dalam salah satu karya beliau. Ilmu
pengajian agama di Pahang ketika itu agak tinggi kerana perbincangan mereka
adalah mengenai ilmu Tauhid Mertabat Tujuh yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri,
Dari kitab-kitab yang ditemui di Kg: Loyang
dan di Kg: Mengkarak, Ilmu Usuluddin yang diajarkan di Pahang ketika itu
menyamai ilmu yang diajarkan di Acheh. Perbahasan mengenai Alam Lahut,Alam
Jabarut,Alam Malakut merupakan perbahasan biasa yang diajarkan di pondok-pondok
dan pusat pengajian ketika itu.
Selepas kematian Imam Zul Bayan, beliau
digantikan oleh anaknya Imam Nur Qadim(1720) sebagai mufti di Pahang. Kedudukan
beliau di dalam bidang keagamaan sangat tinggi sehingga mendapat gelaran
“Naib’ul Sultan”. Beliau menguasai ilmu yang di dapati dari Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Sumaterani.Namun begitu
diakhir hayatnya Imam Nur Qadim kalah di dalam hujah-hujahnya apabila bertemu
dengan Tuk Shahibudin dalam membahaskan isu kebenaran ajaran Mertabat Tujuh
walaupun dalam waktu yang sama di Acheh,kedudukan ajaran Mertabat Tujuh pulih
semula.Imam Nur Qadim sangat masyhur sebagai guru agama yang terkenal di Pahang
ketika itu.
Tuk Shahibudin (1708-1800)
Tokoh
ini merupakan seorang tokoh yang banyak menulis syair syair klasik di
Pahang,syair-syair beliau banyak disalin semula oleh Sdr Arifin Said dari UPM
dan diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan dan kesenian Malaysia. Di antara
syair-syair nya ialah Syair Asyikin,Syair Ghafilah,Syair Sifat,Syair
Tumbuhan,Syair Kebun,Syair Pembasuh Tangan dll. Pengaruh beliau di
dalam bidang ini amat kuat bukan sahaja di Pahang tetapi juga di Johor dan
Riau, Sebuah syair yang berjudul "Syair Johor" adalah hasil pena
seorang perantau Johor yang datang ke Pahang, dan ternyata tempat tujuan beliau
adalah Kg Berhala Gantang,tempat tinggal Tuk Shahibudin. Syair ini banyak
sekali mengambil langgang dan rentak syair-syair Tuk Shahibudin. Pengaruh ini
juga tidak dapat tidak sampai ke Riau sekitar tahun 1800,walaupun andaian ini
agak tinggi tetapi kita dapati bahawa Tuk Shahibudin merupakan orang pertama
yang menulis syair-syair pelajaran agama;yakni pelajaran agama ditulis di dalam
bentuk syair.
Dalam sekitar
tahun 1730,Tuk Shahibudin menyebutkan di dalam syairnya Syair Ghafilah;
terdapat hampir sepuluh orang tokoh keagamaan di negeri Pahang ini,seperti Tuk
Mengkarak dan anaknya Imam NurQadim , Nahkoda Abdullah di Sungai Ma Dulang,Tuk
Uban di Makassar,Maulana Sofi di Bera,Khatib Junid dan Haji Ishak di Cenor,Tuk
Malim Lebai Panjang di Badok. Mereka ini mengajarkan ilmu pengetahuan keagamaan
untuk penduduk di negeri Pahang dengan membuka pusat pengajian. Mereka juga
mengajar dan mendidik penduduk tempatan dengan mengadakan sistem ekonomi yang
betul untuk menambah pendapatan.
Abad ke 19
Dalam tahun
1800, hampir 80% penduduk Pahang adalah muslim.Kegiatan keislaman yang besar terdapat
di Kampung Mengkasar di Pekan, Kg Kertau di Cenor,Kg Mengkarak di Bera ,Kg Berhala Gantang di Temerloh. Tuan-tuan
guru dari kampung tersebut di lantik menjadi Kadi dan Mufti bagi negeri ini,
Menurut Kadi Ibrahim di dalam kitabnya "Syifa' Al Abdan" menyatakan
Tuan Teh Mohammad merupakan seorang tokoh agama di Pahang yang sangat kuat
berusaha untuk menghapuskan ajaran Mertabat Tujuh dan segala jenis bidaah dan
Khurafat di Pahang. Beliau ada menyalin sebuah kitab tauhid yang bernama Ummu
Barahim bagin menjelaskan Sifat Dua Puluh secara terperinci di dalam bahasa
Melayu.begitu juga sebuah naskah mengenai Usul Fiqh dan Hadis Taqrib wa Tarhib.
Tulisan tangan beliau banyak tersimpat di Muzium Pahang. Di antara kitab beliau
yang dijumpai di cetak oleh Percetakan Ahamadiyah, Riau ialah Kitab Raudatul
Jinan yang menggunakan percetakan batu.
Muzium Pahang indah dikelilingi kolam - gambar cleffairy.com |
Menurut W
Linehan, Jawatan Mufti dan Kadi Besar dalam sekitar tahun 1830 dipegang
oleh Tuan Mufti Haji Abdul Shukur dari Kertau Cenor dan Kadi Besar Tuan Haji Abu Bakar dari
Sanggang(Tuan Sanggang, Kadi Abu Bakar adalah anak Tuk Shahibudin yang tinggal di Sanggang Tuk
Penghulu). Jawatan
beliua sebagai Kadi Besar ini merupakan jawatan yang pertama di sebut oleh ahli
sejarah di Pahang setakat ini.
Tuan Haji Abdul Shukur telah membuka pondok pengajian yang
besar di Kampung Kertau di Cenor,antara muridnya yang terkenal ialah Kadi Besar
Pahang iaitu Kadi Ibrahim bin Hurairah. Tuan Haji Abdul Shukur meneruskan usaha
Tuk Shahibudin bagi menbenteras ajaran sesat Martabat Tujuh di Pahang ketika
itu yang bercampur dengan amalam kebatinan dan ilmu pawang.
Setelah kemasukan Inggeris sekitar
tahun 1895 dan bandar Pekan telah dijadikan ibu negeri,maka seorang mufti telah
dilantik dari kalangan penduduk Pekan.Beliau ialah Haji Montok yang berasal
dari Kelantan yang menetap di Pekan. Tuan Haji Montok telah membuka pusat
pengajian di Kampung Ketapang dengan bantuan Syed Hassan Al Attas,seorang kaya
yang dermawan yang mengasaskan Sekolah Menengah Agama Al Attas di Pekan dan
Sekolah Tinggi Agama Al Atttas di Johore Bahru. Ini adalah usaha pertama
mengwujudkan sekolah agama secara moden di Pahang. Dengan pengaruh Sheikh Tahir
Jalaludin, sistem pendidikan agama di Pahang menjadi lebih teratur.
Sejak dari datang nya Islam ke Negeri
Pahang,kita dapati kegiatan intelektual begitu bersemarak di negeri tersebut.
Setiap peringkat masa kedapatan para ulamak dan cerdik pandai berusaha
memajukan pemikiran dan kefahaman ummah terhadap agama supaya mereka terus maju
di dalam menghadapi cabaran zaman.
Bacaan Tambahan:
Bacaan Tambahan:
1.
Haji Buyong Adil – Sejarah Pahang – Dewan
Bahasa & Pustaka- 1973
2.
Prof Dr Hamka – Sejarah Umat Islam –
Pustaka Fajar – 1968
3.
Dr Mahayiddin Hj Yahya – Sejarah Islam –
Fajar Bakti –1994
4.
Abdul Rahman Hj Abdullah – Pemikiran Umat Islam
Nusantara – DBP-
5.
Dr Ahmad Daudy – Allah dan Manusia –
Rajawali Press – hal 48&49.
6.
T. Iskandar – Nuruddin Al Raniri – Dewan
Bahasa- Oct-1964
7.
Naskah Shellbear – Sejarah Melayu – 1976
8.
W.Linehan – History of Pahang – JMBRAS –
Univ Malaya- 1973
9. Aripin Said – Syair Asyiqin –
Kementerian Kebudayaan dan Kesenian
0 comments