Pilih Bahasa

TOKOH PEMBESAR PAHANG ABAD KE 18:ALLAHYARHAM IMAM PERANG SANGGANG (1830-1900)


            Imam Perang Sanggang adalah merupakan Orang Besar Berlapan Negeri Pahang yang dilantik pada sekitar tahun 1860an. Nama beliau sebenar ialah Teh atau kerapkali digelar “Imam  Perang Teh”. Anak kepada Kadi Abu Bakar yang merupakan Chief Kadi Of Pahang dalam tahun 1830an, Cucu kepada Imam Shahibudin bin Zainal Abidin, Cicit kepada Dato Suji Bilang;orang kaya Temerloh dalam tahun 1720. Kadi Abu Bakar pula merupakan  ketua kadi bagi kawasan hulu Sungai Pahang yang berpusat di Sanggang. Kadi Abu Bakar balik ke Sanggang kerana ibu beliau Siti Sapor adalah orang Sanggang, Siti Sapor merupakan isteri kedua Tuk Shahibudin yang dikahwini ketika usianya sudah begitu lanjut.Siti Sapor merupakan anak kepada Tuan Sanggang sebelum Kadi Bakar. Tuk Shahibudin mendapat tiga anak dari Siti Sapor iaitu Kadi Abu Bakar ,Aminah dan Omar. Dari Kadi Abu Bakar lahir pula Imam Teh, anak kepada Imam Teh ialah Penghulu Noh dan cucunya Penghulu Mat. Selepas itu jawatan Tuk Penghulu Sanggang berpindah pula kepada Penghulu Hamdan anak cucu Tuk Shahibudin juga, sehingga kini berpindah pula kepada Tuk Penghulu Nordin yang juga anak cucu Tuk Shahibudin.
            Imam Teh mendapat pendidikan dari ayahandanya seorang yang alim ketika itu, kemudian beliau mendapat pula pendidikan dari  Imam Syam dan Lebai Andak di Berhala Gantang. Setelah tamat pengajianya beliau kembali ke Sanggang dan dilantik menggantikan ayahandanya Kadi Abu Bakar sebagai ketua di daerah tersebut. Kedudukan Imam Teh masih lagi dibawah kekuasan Orang Kaya Temerloh, tetapi beliau seorang yang sangat bijaksana dalam soal-soal politik sehingga kadangkala peranannya melebihi peranan Orang Kaya Temerloh yang sudah uzur ketika itu.
            Pada masa pemerintahan Wan Mutahir, Imam Perang telah menyokong pasukan Sultan Ahmad Shah 1, bagi merampas kuasa ke atas kerajaan Negeri Pahang, dan sokongan itu telah memberi kejayaan ke atas Wan Ahmad. Bagi merayakan kejayaan itu Imam Perang telah menjemput Sultan Ahmad Shah 1 ke Sanggang dan membuat kenduri besar-besaran., beliau telah meyembelih seekor kerbau jantan yang sangat besar di dalam majlis tersebut. Sultan sangat bangga di atas sokongan itu dan memberi gelaran “Imam Perang ”kepada beliau.Imam Perang terlibat di dalam dua peperangan yang besar, iaitu pertama terlibat di dalam Perang Kelang sekitar tahun 1872 hingga 1874. Apabila diarahkan oleh Sultan Ahmad 1 bagi membantu Tengku Kudin, orang-orang Pahang pergi ke Selangor untuk menyerang Syed Mashyur. Orang-orang di kawasan Berhala Gantang pada masa itu menyokong Sultan Ahmad Shah 1 kerana baginda melawan orang Rawa yang menyokong Syed Mashyur. Orang Rawa pernah berperang dengan Imam Shahibudin ketika beliau membanteras ajaran Martabat Tujuh, ini kerana sebahagian besar orang Rawa di Pahang yang menduduki kawasan Jerantut dan Raub memegang kuat ajaran tersebut. Setelah memenangi peperangan Kelang beberapa pembesar Pahang tinggal menetap di Selangor seperti Haji Mohd Nor di Hulu Selangor Orang Kaya Pahlawan di Hulu Kelang, Kancing di bawah pengawasan Mat Taib, Kuala Lumpur di bawah Tok Dagang. Begitu juga beberapa orang cucu Imam Shahibudin & Tuan Teh tinggal di Selangor terutama Batang Berjuntai. Pada masa peperangan dengan Datuk Bahaman, Imam Perang turut sama mengejar pasukan Datuk Bahaman yang lari ke Terengganu, tetapi usaha itu tidak bersungguh ini kerana Datuk Bahaman merupakan “saudara” juga dengan beliau, tambahan lagi usianya sudah semakin tua.
            Imam Perang banyak memberi sumbangan kepada kemajuan kampung-kampung di sekitar Mukim Sanggang. Beliau banyak membuka kebun-kebun sehingga digelar orang “Kebun Durian Orang Berhala Gantang”, kebun-kebun tersebut terdapat di Belangka, Loyang, Baduk dan lain-lain tempat hingga ke hari ini masih lagi terdapat pokok-pokok durian tersebut. Beliau juga banyak membuka perkampungan baru sehingga kiri kanan Sungai Pahang di Mukim Sanggang diduduki orang. Pengunsi pula datang dari serata tempat samada Kelantan, Kedah, Johor dan luar negara diberi kelonggaran membuka tanah. Sebagai mengenang jasa beliau, sebuah buah dewan orang ramai di dirikan di Kg Sanggang Bahagia di namakan “Dewan Imam Perang”. Dan di sebelahnya di dirikan masjid. Anak Imam Perang ada beberapa orang antaranya Abu Bakar,Abdullah, Penghulu Awang Noh dan Imam Taib. Anak-anak Penghulu Noh antaranya Penghulu Mat Saman,Penghulu Hamid,Wok Yah,Osman ,Ismail dan Imam Taib. Penghulu Nordin mewarisi jawatan penghulu Sanggang selepas kematian ayahnya. Anak cucu Imam Perang ramai terdapat di Sanggang. Seorang lagi anak cucu beliau bernama Imam Taib tinggal di Kg Batu Sawar,anak Imam Taib bernama Imam Yaakub,antara anak Imam Yaakub ialah Fadhil dan Abdul Halim seorang pensyarah di UITM Shah Alam. Anak nya yang bernama Ismail mempunyai ramai keturunan antaranya Hamid,Din dan cucu2nya Nariman dan Akmaruddin .Tokoh ini tidak ada meninggalkan sebarang karya bertulis yang dijumpai atau yang seumpamanya.


Share:

0 comments

Flag Counter