MEMAHAMI PERKEMBANGAN HUKUM KANUN KEDAH 1650-1800
HUKUM ISLAM DITERIMA SEBAGAI PERATURAN
NEGARA.
Apabila Kerajaan Melayu Melaka
menerima Islam pada tahun 1414, sebagai
agama baru mengantikan agama lama anutan mereka, maka Kerajaan Melayu-Islam
Melaka mengistihyarkan mereka menguna pakai perundangan Islam sebagai peraturan
negara. Maka dengan itu dibentuklah satu penyelaras untuk membentuk sebuah
perundangan baru yang sesuai dengan Islam. Maka dinamakan kanun baru itu
sebagai HUKUM KANUN MELAKA. Oleh kerana Melaka sebuah Negara perdagangan Antara
bangsa maka di kanunkan satu lagi peraturan yang diberi nama HUKUM KANUN LAUT
MELAKA. Pada tahun 1590 dengan kenaikan Sultan Abd Ghafur Mahayuddin Shah di
Pahang, maka baginda membentuk satu penyelaras untuk memperbaiki Hukum Kanun
Melaka yang selama ini di pakai di Pahang, maka dibentuk satu hukum kanun baru
yang diberi nama HUKUM KANUN PAHANG. Menariknya para ulamak dari
Berunai,Patani,Kedah dan Perak dijemput datang ke Pahang bagi merangka Hukum
Kanun ini. Para ulamak ini apabila mereka pulang ke Negara masing-masing,maka
setiap Negara merangka hokum kanun berdasarkan hokum Islam di Negara mereka,
maka terbentuk lah Hukum Kanun Perak,Hukum Kanun Kedah,Hukum Kanun Patani
dsbnya.
Undang-undang atau Hukum Kanun
Kedah (selepas ini disebut sebagai 'HKK' sahaja) seperti juga dengan
undang-undang Melayu lama yang terdapat di negeri-negeri Melayu lain di
Nusantara ini adalah berdasarkan Mazhab Al Syafiee namun kebanyakan perundangan
ini menerima pakai uruf setempat di dalam mengenakan denda dan hukuman .Di
Kedah, penulisan HKK bermula pada 1060 Hijrah (1650 Masihi) lagi, di masa
raja-raja Kedah yang terkemudian di tambah lagi beberapa peraturan dan hokum yang
sesuai untuk kegunaan semasa. Maka dari perkembangan ini, HKK boleh di bahagikan kepada empat bahagian yang
masing-masing diberikan judul seperti berikut:
Hukum Kanun Kedah @ Undang-undang
Tahun l060 Hijrah (1650 Masihi).
Hukum Kanun Kedah @ Tembera Dato'
Paduka Tuan.
Hukum Kanun Kedah @ Hukum Kanun
Dato' Kota Star.
Hukum Kanun Kedah @ Fasal Bunga
Mas, Alat Kerajaan Pada Masa Bertabal, Orang Besar-Besar dan Adat Meminang.
HUKUM KANUN KEDAH ABAD KE 17
@1650
Dalam kata pengantar bahagian
terawal dari HKK itu, penulisnya mencatatkan begini :
"Pada tarikh seribu enam
puluh tahun, tahun zai, pada tujuh belas haribulan Jamadilakhir, hari Jumaat,
bahawa pada ketika itu maka adalah titah Syah Alam Yang Maha Mulia terjunjung
ke atas jemala Paduka Raja suruh salin ambil taruh undang-undang perbuatan
Dato' Besar dahulu …………………"
dan pada tempat lain pula
penulisnya menyatakan :
"Maka undang-undang ini
diperbuat dan zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Shah semayam di Naga,muafakat
dengan sekelian menteri pegawai dan pendita membicarakan dia supaya tetap adat
ini janganlah berubah-ubah.............. "
Berdasarkan dua petikan di atas
jelas menunjukkan undang-undang itu mula ditulis pada 17 Jamadilakhir 1060
Hijrah yang menurut kiraan saya bersamaan 26 Jun 1650. Sebagai sebuah hasilan
karya istana, ternyata penulisan HKK itu dilakukan dengan kehendak atau
perintah raja.Kandungan HKK bahagian pertama itu ditulis sesudah berlakunya
serangan Acheh (1619) yang waktu itu pentadbiran Kedah berpusat di Kota
Siputih. Sultan Sulaiman Shah II, Sultan Kedah yang ke-12 (1602 - 1620) telah
ditawan ke Acheh dan akhirnya mangkat di sana (1626). Puteranya Sultan
Rijaluddin Muhammad Shah, Sultan Kedah ke-13 (1626 - 1652) telah memindahkan
pusat pentadbirannya ke Kota Naga.Dan Kota Naga itulah baginda memerintahkan
pembesarnya (Paduka Raja) supaya menyempurnakan penulisan Undang-Undang Kedah
seperti yang ternyata dalam dua petikan tersebut. Kandungan bahagian pertama
dari HKK itu pada keseluruhannya mencatatkan tentang undang-undang yang
berkaitan dengan pelabuhan yang di dalamnya termasuk tatacara mengendalikan
pelabuhan, perdagangan dan pesara (pekan/bandar).
TEMBERA DATO PADUKA TUAN ABAD KE
17 @ 1667
Bahagian kedua dari HKK iaitu
"Tembera Dato' Seri Paduka Tuan" terkarang pada 1078 Hijrah
(1667 Masihi) seperti yang dinyatakan pada bahagian awalnya. Walaupun tidak
terdapat nama sultan yang mengarahkan pembesarnya (Dato' Seri Paduka Tuan)
untuk menulis undang-undang tersebut, tetapi ia dapat dikenalpasti. Berdasarkan
tarikh tersebut (1078 Hijrah), namanya ialah Sultan Dhiauddin Mukarram Shah,
Sultan Kedah ke-15 (1661 - 1687) yang berpusat di Kota Indera Kayangan dalam Negeri
Perlis.Kandungan bahagian kedua HKK ini adalah membicarakan tentang kesalahan
dan hukuman terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang dianggap jenayah dan
yang dilarang oleh syarak. Paling banyak diutarakan ialah mengenai
undang-undang pertanian dan penternakan. Antaranya seperti perintah membuat
pagar di sawah dan hukuman terhadap kerbau dan tuan kerbau jika kerbaunya
menceroboh masuk ke sawah orang lain yang sudah berpagar ataupun jika menanduk
orang. Adanya peruntukan khusus dalam HKK yang berkaitan dengan persawahan itu,
jelas membuktikan bahawa Kedah sejak abad ke-17 lagi telah pun terkenal sebagai
sebuah negeri 'jelapang padi' di Nusantara ini.
HUKUM KANUN DATO KOTA STAR ABAD
KE 18 @ 1735
Dalam 'Hukum Kanun Dato' Kota
Star', bahagian ketiga dari HKK itu tidak tercatat langsung tarikh tercipta dan
siapa Sultan Kedah pada waktu itu. Bagaimanapun berdasarkan sumber penulisan
sejarah Kedah lainnya, dapat juga kita mengenalpasti. Nama Dato' Kota Star
iaitu pembesar yang bertanggungjawab menyiapkan hukum kanun itu adalah satu
gelaran penting yang ada kaitannya dengan nama 'Kota Star' iaitu pusat
pentadbiran terakhir Negeri Kedah yang kemudiannya dikenali sebagai Alor Star.Kota
Star telah diasaskan pada 15 Syaaban 1148 (1735 Masihi) oleh Sultan
Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, Sultan Kedah ke-19. Baginda
memerintah antara tahun-tahun 1710 -1778, di samping peneroka bandar Alor Star,
baginda juga mencipta beberapa perubahan dan pembaharuan termasuklah menetapkan
matawang baru dan sukatan tanah. Dalam buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah
ada menyebut tentang arahan baginda supaya menetapkan undang-undang negeri,
antaranya ditegaskan:
"Adapun Sultan
Muhammad Jiwa Yang Maha Mulia memerintah Negeri Kedah itu adalah mengikut
peraturan negeri besar-besar. Baginda itu membuatkan undang-undang, adat dan
syarak, serta dipertetapkan masing-masing pegangan di atas segala
menteri-menteri tiada boleh menukar pekerjaan masing-masing sebagaimana yang
telah ditetapkan itu."
Berdasarkan kenyataan ini,
pastilah orang yang bertanggungjawab melahirkan "Hukum Kanun Dato' Kota
Star" itu ialah Sultan Muhammad Jiwa itu sendiri. Alasan ini dapat
diperkuatkan lagi dengan adanya nama baginda yang disebutkan pada bahagian
terakhir dalam HKK yang mengisahkan cara-cara membuat 'Bunga Mas' pada zaman
baginda.Hukum Kanun Dato' Kota Star (selepas ini diringkaskan sebagai 'HKDKS')
pada keseluruhannya mengandungi lapan fasal iaitu yang berkaitan dengan:
Tugas Temenggung,
Perintah Raja-raja,
Syarat Raja-raja,
Bahasa Raja-raja,
Pakaian Raja-raja,
Lima Perkara yang dibenarkan
rakyat biasa melakukannya,
Warna bendera untuk Raja-raja,
Menteri dan Hulubalang,
Sifat kebesaran yang ada pada
raja-raja dan para pembesar lain.
Seperti juga dengan tugas
'Syahbandar' yang begitu banyak diperkatakan dalam HKK, maka dalam HKDKS tugas
'Temenggung' paling banyak dinyatakan dari fasal-fasal yang lain. Selaku
pembesar yang bertanggungawab untuk keselamatan negeri dan kesejahteraan
rakyat, beliau bersama pembantunya seramai 60 orang sentiasa melakukan rondaan
secara bergilir-gilir, di samping ada yang mengawal penjara. Mereka akan
menangkap pesalah-pesalah seperti pencuri, penyamun, pemakan madat, penyabung
ayam dan pembunuh orang.
Dari apa yang kita perkatakan di
dalam ruangan ini, jelas kepada kita bahawa perkembangan Islam sudah begitu
maju dan diterima masyarakat di dalam segenap segi kehidupan. Pada masa itu
yakni di dalam abad ke 16,17 & 18, telah wujud golongan agamawan yang utama
seperti jawatan Mufti,Kadi Besar,Kadi-kadi, Imam, Hakim dll di dalam
pentadbiran Melayu-Islam di Nusantara. Kewujudan hokum kanun Melaka,Hukum Kanun
Pahang,Hukum Kanun Kedah,Hukum Kanun Perak mengambarkan ketinggian ilmu dan
ramainya bilangan cendikiawan di kalangan umat Melayu pada masa dulu.
0 comments