Pilih Bahasa

PERKEMBANGAN ISLAM DI PERAK 1528-1900 MASEHI.


Negeri Perak merupakan negeri yang bersempadan dengan Negeri Kedah. Oleh kerana dipercayai bahawa Islam mula tiba di Kepulauan Melayu bertapak di Kedah, maka boleh kita katakana juga Negeri Perak merupakan negeri terawal menerima Islam. Dr Hamka sangat yakin bahawa Negeri Kedah menerima Islam lebih awal dari lain-lain negeri di Nusantara, kedudukan Kedah terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu merupakan tempat yang paling awal di jejaki oleh pedagang Islam dari Tanah Arab. Ini kerana di zaman dahulu para pelayar berlayar mengikut garis pantai dari Tanah Arab ke Teluk Parsi menuju ke Pantai Barat India terus ke Myanmar hingga ke Kedah. Kedudukan Islam di Kedah lebih selamat kerana kedudukan negeri ini jauh dari pusat pentadbiran Kerajaan Majapahit yang sangat berkuasa pada masa itu. Kerajaan Majapahit menakluki semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Negeri Perak di akui sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat  pada masa pemerintah Sultan Muzafar Syah 1 yang menjadi sultan Perak yang pertama pada tahun 1528. Baginda telah di mahzulkan oleh ayahnda nya dari menjadi tengku mahkota kerjaan johor lama,sebaliknya ayahndanya telah melantik Raja Ali sebagai Raja Muda Kerajaan Johor Lama di Bentan. Maka Raja Muzafar  telah membawa diri ke Perak dan dijadikan raja di sana. Raja Muzafar seorang raja yang sangat perihatin di dalam masalah agama. Setelah menjadi raja di Perak,Baginda telah menjemput para ulama dari Riau,Sumatera dan Aceh datang ke Perak.Di Antara tokoh ulama yang disebut di dalam cerita lisan ialah Tuan Guru Ibrahim bin Mahmud. Baginda Sultan telah memerintah tuan guru tersebut membuka sebuah pondok @ pasentren di Bota Kanan. Pusat pendidikan agama ini adalah untuk kegunaan rakyat Perak mendalami pendidikan agama agar tidak perlu pergi ke Aceh atau Sumatera.

Pada masa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Syah 1580, baginda telah membentuk satu jawatan kuasa penyelaras untuk merangka satu hokum kanun bagi kegunaan di negeri Perak. Maka dengan keperihatinan Baginda , Baginda telah menjemput seorang ulamak terkenal dari Yaman yang bernama Syed Husin al Faradz al Jamalullail, tokoh ini dilantik menjadi mufti @ Syeikul Islam Negeri Perak. Maka dengan kehadiran Tuan Syeikh ini di susun satu kanun untuk Negeri Perak sebagaimana lain-lain negeri yang ada hokum kanun spt Hukum Kanun Melaka,Hukum Kanun Kedah dan Hukum Kanun Pahang. Maka di namakan hukum kanun ini dengan nama Hukum Kanun 99 Perak.Maka hukum kanun ini digunakan sebagai panduan bagi menjalankan pentadbiran Mahkamah Syariah pada masa tersebut.

Pada tahun 1636 di masa pemerintahan Sultan Muzafar Syah 2, beberapa pondok agama di buka bagi menampung keperluan pendidikan agama di Perak.Baginda menjemput beberapa ulama dari luar Negara untuk membina pondok pengajian agama di sana. Maka dengan itu pada masa tersebut terdapat beberapa buah pusat pendidikkan agama di Teluk Bakong, Teluk Sireh dan Tebing Pulau. Pada masa ini adalah zaman keagungan Aceh sebagai pusat pengajian agama di Nusantara dengan terdirinya sebuah university di sana yang diberi nama Baitul Rahman. Maka kebanyakan ulama di Perak pada ketika itu di import dari Aceh juga dari Hadramaut Yaman.Menurut cerita lisan, anak cucu Syed Husin al Jamalullail telah dilantik menjadi penasihat sultan Perak di dalam bidang agama,dan menjadi rujukan kepada pihak pentadbiran.

Pada awal kurun ke 18 sekitar tahun 1700 hingga 1720 merupakan zaman keagungan Kesultanan Perak, di zaman ini lahir tokoh terkenal iaitu Raja Chulan ibni Raja Hamid, pengarang Kitab Hikayat Misa Melayu atau judul asalnya Hikayat Salsilah Raja Perak. Pada masa ini telah di bina jalan-jalan raya dan pelbagai kemudahan untuk rakyat Perak oleh pemerintah, begitu juga kegiatan agama agak menyerlah dengan lahir golongan agamawan. Golongan ulama diberi jawatan-jawatan yang utama di dalam istana seperti jawatan Dato Bendahara, Dato Menteri dll. Kedudukan mulia golongan ulama ini diceritakan dengan jelas di dalam Hikayat Misa Melayu.

Pada tahun 1743,  Seorang yang bergelar Haji Sorban Besar datang ke Perak. Beliau yang mengaji di Mekah adalah merupakan seorang anak raja Bugis. Asalnya seorang pelaut dan pedagang yang berjaya. Beliau sekembali dari Mekah telah brjaya menghapuskan kegiatan lanun di Pulau Sembilan dan kawasan sekitarnya sehingga kawasan tersebut menjadi aman. Semua lanun-lanun yang di tangkap di serahkan kepada Sultan Muzaffar lll @1728-1752. Oleh kerana jasa beliau yang banyak dan beliau berkebolehan di dalam bidang agama maka pihak istana menjemput beliau tinggal di Perak. Maka Haji Sorban Besar telah dilantik menjadi Orang Kaya Maharaja Lela Tan Lela Panchong Tok Bertanya. Baginda Sultan juga bersetuju menikahkan beliau dengan adinda baginda bernama Raja Su binti Raja Mansur.Beliau dilantik menjadi mufti Perak dengan gelaran Mufti Selili.  Hasil perkhawinan ini dikurniakan 4 anak iaitu Muhamad Abdullah @ Tuk Senggang,Seri Maharaja Mohd Osman,Tok Tongkat Mohamad Abdul Kadir, Tuk Bakul Nurjilisin.Antara anak cucu beliau yang masyhur yang mudah dikenali ialah Dato Maharaja Lela yang membunuh J.W.W Birch di Pasir Salak.

Pada tahun 1756-1770, kegiatan agama di Perak di terajui oleh Tok Tambak, Keramat Pulau Pisang. Disebut nama tokoh ini di dalam beberapa kitab sejarah Perak. Tokoh ini merupakan cucu kepada Syed Husin al Faradz ia itu ulama Perak yang berasal dari Yaman. Nama sebenar Tuk Tambak ialah Syed Jalaluddin bin Syed Abd Majid, sebagai mana datuknya beliau juga dilantik menjadi penasihat Sultan Perak ketika itu , beliau diberi gelaran Dato Bendahara. Sebagai ulama, Tuk Tambak ada membuka pusat pengajian agama dan beliau juga menjadi rujukan penduduk setempat di dalam masalah agama.Makam beliau terdapat di Bota Tengah. Beliau digelar “Dato yang hilang di padang”.

Pada awal kurun ke 19 , seorang tuan guru bernama Tuan Haji Yunus bin Akib yang  berasal  dari Sumatera telah membuka perkampungan di Malim Mawar.  Beliau kemudiannya membuka pusat pengajian agama di Kampung Tualang Sekah. Pusat pengajian yang beliau asaskan masih wujud ketika ini dijadikan sebuah pusat tahfiz al Quraan. Beliau juga ada meninggalkan sebuah risalah bernama “ Masa’il Sibyan” yang masih ada di dalam pegangan anak cucu beliau. Antara murid beliau yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Mohamad Mustaffa dari Negeri Sembilan.

Pada akhir tahun 1800 menjelang awal 1900 ,  setelah Negeri Perak  agak aman dari gangguan penjajah barat,maka beberapa pusat pendidikan agama di dirikan di sana seperti Madrasah Saadiah Salahiyiah di Temoh, Madrasah al Idrisiyyah di Kuala kangsar, Madrasah Ubudiyyah di Padang Rengas, Madrasah al Akhlak al Islamiyyah di Bagan Serai.Madrasah-madrasah ini menjadi asas kepada perkembangan Islam di Perak dalam abad ke 20. Negeri Perak terkenal sebagai negeri yang melahirkan ramai tokoh agama yang terkenal di dalam zaman pasca kemerdekaan seperti  Syeikh Junid Tola, Tuan Guru Haji Idris Marbawi pengarang Kamus Marbawi,Sy Tahir Jalaluddin tokoh kaum muda dan tokoh falak Malaysia,Ustaz Abu Bakar Bakir tokoh gerakan hizbi Islami yang cergas di dalam bidang politik, Dr Burhanuddin Helmi tokoh politik yang kuat menentang penjajah, Dr Zulkifli Muhammad tokoh pas dan tokoh pemikir Malaysia Modern.Maka kesimpulan yang kita dapat bahawa raja-raja Perak sangat kuat beragama dan menyokong kedudukan para agamawan sepanjang sejarah maka dengan itu perkembangan Islam dan kedudukan agamawan sangat terjaga dan mulia di negeri Darul Riduan tersebut.

Share:

2 comments

  1. Assalamualaikum

    Suatu usaha yang baik dalam mengkaji sejarah dan perkembangan Islam di negeri Perak.

    Namun terdapat fakta yang kurang tepat terutama mengenai sejarah, penglibatan dan peranan ulama keturunan nabi saw dari jalur Jamalullail di Perak.

    Untuk mendapatkan fakta yang tepat dan lebih bertanggung jawap, mohon hubungi pihak PERSATUAN JAMALULLAIL PERAK MALAYSIA +60125233164 Tuan Syed Badrul Jamalullail (TYDP)

    Dan juga dicadangkan setiap artikel disertakan juga senarai rujukan yang digunakan. Di harapkan pihak penulis dan pembaca dapat mengambil tindakan susulan agar maklumat yang salah tidak menambahkan kejeliruan awam.

    Terima kasih saya ucapkan
    Syed BaHassan Jamalullail

    BalasPadam
    Balasan
    1. waalaikumussalam... terima kasih ..insyaAllah akan diusahakan

      Padam

Flag Counter