Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Jumaat, 29 Oktober 2010

SYAIR-SYAIR PAHANG SATU TINJUAN AWAL....


Perkembangan Syair Keagamaan di Pahang.


Pendahuluan


          Syair keagamaan mula diperkenalkan di dalam bahasa Melayu oleh Hamzah Fansuri di Acheh. Kebanyakan syair hasil karya beliau adalah di dalam bentuk syair tasawuff yang membawa ajaran Mertabat Tujuh yang terkenal itu. Di samping syair-syair yang di hasilkan oleh Hamzah terdapat juga sebuah lagi syair yang agak awal iaitu sebuah syair berbentuk roman yang berrtajuk “Syair Ken Tembuhan” syair ini tidak di ketahui siapa pengarangnya.
Perkataan “ syair”  di ambil dari perkataan Arab; ia berupa serangkap puisi yang mengemukakan idea yang lengkap. Syair sangat popular di kalangan orang Arab,sehingga penyair-penyair di zaman Jahiliah dianggap aset yang sangat penting bagi sebuah kabilah atau puak-puak yang terdapat di Tanah Arab. Zaman Jahiliah dianggap zaman kemuncak perkembangan syair di kalangan orang Arab. Setelah orang Arab menerima Islam,syair terus diperkembangankan dan disuaikan dengan tatasusila Islam,apabila agama Islam diterima oleh penduduk di Alam Melayu,maka mereka menjadikan syair salah satu bentuk hiburan dan penyampaian maklumat di kalangan mereka. Walau bagaimanapun syair Melayu berlainan bentuk dan rentaknya dari syair Arab. Syair di Alam Melayu lebih menyerupai pantun dari segi bentuk dan rangkapnya.
          Hamzah di anggap sebagai orang yang pertama mencipta syair Melayu,ini kerana beliau ada mengariskan cara-cara bagi membuat syair. Pelbagai bentuk ragam dan rentak syair yang dihasilkan oleh Hamzah. Selepas syair diperkembangkan oleh Hamzah Fansuri,maka syair digunakan dengan meluas oleh para pendidik untuk menyampaikan ilmu pengetahuan terutama bagi peringkat kanak-kanak.Disamping itu juga syair mendapat tempat di kalangan para pencinta kisah-kisah roman. Beberapa hasil karya roman di syairkan seperti Syair Dendang Setia,Syair Siti Zubaidah dsb.

 Syair-syair  di Negeri Pahang

          Karya syair mula dikesan di negeri Pahang adalah di dalam Bahasa Arab,ia tertulis pada batu nesan yang dijumpai di Pulau Tambun di Pekan Pahang bertarikh 419H/1020 M. Potongan syair itu menceritakan tarikh kematian si empunya makam tersebut yang bemaksud:

Ingatlah dunia ini laksana kenderaan,
Datang nya di waktu petang ,
Dan berlalunya diwaktu subuh,
……………………………………………..
(rujuk :Mokhtar Shafiee – Makam Pulau Tambun Pekan Pahang- Laporan Muzium Pahang )

 Syair di dalam bahasa Melayu yang pertama setakat ini dapat di kesan di negeri Pahang adalah merupakan perdebatan di dalam masalah Ilmu Tauhid dan fahaman Mertabat Tujuh di antara Tuk Shahibudin(1708-1800) dengan bapa saudaranya Imam Zul’ Bayan(1670-1740) yang dikumpulkan oleh Sejarawan Pahang; Encik Zakaria Hitam,syairnya seperti di bawah:
Kata Imam Zul Bayan:

Iman Syah Budin alim Betawi,
Batu Intan dikata kawi,
Berbuat ibadat bersayo diri,
                             Seperti kelakuan orang mencuri.

Ilmu Usul (luddin) terlalu payah,
                              Sekalian ulamak selalu membantah,
Jikalau tak kena kata sepatah,
                              Menjadi kafir nauzubillah.
  (Buku Tokoh Ulamak UKM 1983-Anjuran Fakulti Pengajian Islam )

      Oleh kerana negeri Pahang ketika itu menerima ajaran Mertabat Tujuh yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri; maka dengan mudah kita membuat kesimpulan bahawa syair mula diperkenalkan ke Negeri  Pahang menerusi karya-karya Hamzah yang di sebarkan dan dipelajari di Pahang ketika itu.
Pengaruh Hamzah begitu kuat hampir kesemua pusat pengajian di Pahang sekitar akhir 1600 dan awal 1700 masehi mengajar aliran ini,kecuali di beberapa tempat seperti pusat pendidikan di Kampung Bangau Tanjung di bawah Tuan Guru Haji Ismal yang merupakan guru kepada Tuk Shahibudin.
Syair-syair begitu banyak dihasilkan di Pahang ketika itu tetapi di gelar “Syair Rejam” sebagaimana di Berunei Darul Salam.

Bentuk-bentuk Syair  Pahang

A)   Syair Akidah yang di hasilkan oleh Tuk Shahibudin kebanyakannya mengenai kritikan kepada Ajaran Mertabat Tujuh yang terdapat di Pahang di awal kurun ke 18,seperti Syair Asyikin dan Syair Ghafilah.

B)   Terdapat juga syair di dalam bentuk pelajaran seperti Syair Usul dan Syair Sifat Dua Puluh yang berkaitan dengan Ilmu Tauhid.Syair yang di hasilkan oleh Tuk Shahibudin boleh digolongkan sebagai syair Keagamaan dan Syair Pelajaran.

C)   Syair yang memuji kebesaran Allah seperti Syair Tumbuh-tumbuhan.

D)   Syair Tajwid merupakan syair yang agak mendalam mengenai Ilmu Tajwid. Syair ini dikarang oleh Imam Yaakub dan ia lebih merupakan satu terjemahan dari satu kitab atau syair di dalam Bahasa Arab ke Bahasa Melayu, kitab asalnya belum dapat ditentukan namun kemungkinan besar dari kitab Al Syatibi seorang penyair tajwid berbangsa Arab yang sangat masyhur itu.


E)   Syair Mertabat Tujuh, syair ini tidak lagi dijumpai kerana tidak dijaga dengan sempurna oleh warisnya,seperti Syair-syair karya Imam Dzul Bayan di Mengkarak.Dari beberapa sumber penulis pernah menjejaki karya-karya ini di dalam milik orang perseorangan tetapi gagal mendapatnya.[1]

F)    Syair Sejarah iaitu “Hikayat Pahang”.


Koleksi Teks Syair Tuk Shahibudin

          Di antara koleksi teks syair yang banyak  didapati di Pahang ialah hasil karya Tuk Shahibudin. Karya  di dalam bentuk syair yang dimiliki oleh orang persaorangan seperti naskah-naskah di dalam simpanan:

a)Puan Saadiah binti Imam Yaakub Kampung Raja Songsang Temerloh Pahang, iaitu Syair Asyikin,Syair Ghafilah,Syair Usul,Syair Tumbuhan,Syair Burung,Syair Mekah,Syair Kiamat.

b)Naskah Imam Mohd Yassin bin Imam Yaakub Kampung Sanggang Seberang Temerloh Pahang, Naskah ini penulis buat cetakan photocopy tetapi yang masih kekal hanya  Syair Ghafilah sahaja,yang lain sudah hilang.

c) Puan Hajjah  Sharifah binti Haji Ahmad Kampung Berhala Gantang,Temerloh Pahang . Naskah ini pernah dikaji oleh Sdr Ariffin Said dari Universiti Putra Malaysia untuk Thesis Master beliau. Di katakan naskah ini kepunyaan Kadi Ibrahim bin Hurairah ,bekas Kadi Besar Pahang .Penulis percaya naskah ini ditulis lebih awal(1800 Masehi)

d) Dato’ Shahibudin bin  Imam Mohammad bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang berasal dari Kampung Kuala Kaung, Lanchang Temerloh Pahang. Naskah yang paling sempurna setakat ini di dalam simpanan Dato Shahibudin bin Imam Mohammad. Koleksi ini mempunyai kesemua hasil karya Tuk Shahibudin yang belum dijumpai setakat ini seperti Syair Kebun dan Syair Pembasuh Tangan.


[1] Penulis pernah menemui Abdul Manaf bin Haji Mat Aris,Kg Guai Seberang(3870406)mengenai syair ini den beliau memberi panduan kepada penulis untuk mencari pemilik syair tersebut tetapi gagal,diantara syairnya ialah syair rejam naga,syairt rejam kuda dsb.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog

Mengenai Penulis

Foto saya
Mengkaji dan mengenali sejarah Islam khususnya di Negeri Pahang