Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
"Pemandangan Sungai Pahang di Temerloh" -Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Ahad, 4 September 2016

Sejarah Ringkas Perkembangan Intelektual Islam Di Negeri Pahang Darul Makmur 1400-1900

Sejarah Ringkas Perkembangan  Intelektual Islam Di Negeri  Pahang Darul Makmur 1400-1900







Kedatangan Islam
Tarikh kedatangan Islam ke Nusantara berkait rapat dengan masa ketibaan saudagar Arab Muslim ke kawasan gugusan kepulauan Melayu.Saudagar Arab mempunyai hubungan yang agak lama dengan saudagar Cina iaitu sebelum zaman kelahiran Rasullulah s.w.a lagi. Hubungan ini adalah menerusi aktivti perdagangan dua hala di antara saudagar Arab dan Cina. Saudagar Arab merupakan golongan pedagang yang menguasai aliran ekonomi di sebelah barat,manakala saudagar Cina pula menguasai perdagangan di dunia timur.

Orang Arab datang ke timur untuk mencari barang yang sangat-sangat dikehendaki di Eropah seperti wangian,gading gajah,rempahratus dan alat senjata yang terdapat di Asia Tenggara. Di negeri Cina pula mereka mendapat barang perdagangan seperti sutera,pinggang mangkuk dan kertas. Barang-barang ini mendapat pasaran yang meluas dan sambutan yang mengalakkan dari penduduk-penduduk di Asia Tengah dan Eropah.


Sungai menjadi salah satu alat perhubungan antara dua kerajaan - gambar Sungai Pahang di Berhala Gantang

Di antara bukti kewujudan saudagar Arab di Nusantara ialah terdapatnya perkampungan Arab di Barat Sumatera dalam tahun 55H. Dari kampung ini terdapat dua orang utusan dihantar ke negeri Cina, salah seorang dari mereka bernama Sulaiman,tujuannya bagi membuat perjanjian dengan Maharaja Cina untuk mendapatkan konsensi perdagangan.Rombongan ini mendapat sambutan yang baik dari Maharaja Cina pada masa itu,mereka diberi persalinan dan beberapa cap tanda mohor kerajaan Cina. Kerajaan Cina merupakan kuasa besar dunia ketika itu,jaminan keselamatan dari Maharaja Cina sangat penting bagi negara-negera kecil di Asia Tenggara.

Dalam tahun 336H, (lihat dlm- Paul Wheatley – The Golden  Khersonese – UM -1980 –hal:228) seorang Arab bernama Al Masudi telah menulis mengenai geografi di Asia Tenggara.Beliau telah menulis mengenai kedudukan negeri-negeri yang ada pada masa itu di Kepulauan Sumatera dan Tanah Melayu.Pengetahuan beliau mengenai kepulauan Melayu boleh dikatakan mendalam terutama dari segi Longitud dan Latitud. Beliau juga menceritakan kedudukan pulau-pulau seperti Pulau Tioman dan bandar-bandar utama. Di samping itu beliau menceritakan tentang kesibukan pelabuhan Canton. Kegiatan yang dilakukan oleh Al Masudi mengambarkan tentang kegiatan orang-orang Arab ketika itu yang begitu mahir dengan suasana iklim,tanah,ekonomi,sosial di Tanah Melayu.

Jika orang-orang Arab tidak mahir mengenai keadaan kawasan di Asia Tenggara masakan mereka datang menceritakan mengenai kawasan ini dengan baik dan jelas,tulisan ini mereka buat adalah sebagai panduan kepada pedagang-pedagang Arab yang datang kemudian dari mereka. Sumbangan mereka ini sangat besar dan memudahkan usaha dakwah pada masa akan datang.

Pada tahun 419H(1050M)kita temui satu makam lama kepunyaan seorang Islam di Pulau Tambun di Pekan Pahang DarulMakmur( lihat dlm – Mokhtar Shafie- Batu Nisan Kurun ke 5 – 1980 –hal:25) . Ini membuktikan bahawa orang Islam sudah membuat penempatan kecil di pesisiran pantai negeri Pahang,Ramai ahli sejarah ragu mengenai tanda yang bersejarah ini,wajar kita ingat bahawa sebahagian batu nesan ini telah dijumpai lama sebelum terjumpanya bahagian yang sebelah lagi. Oleh itu pihak mezium Pahang gagal untuk menentukan tarikh dan beberapa perkara lagi kerana tulisan yang terdapat pada nesan itu merupakan sebuah syair yang cuma dapat dibaca sebahagian saja,apabila dijumpai sebahagian lagi,maka maksud syair ini dapat dibaca dengan jelas itu menceritakan bahawa jenazah ini dikebumikan di situ pada tarikh yang tersebut di atas.

Jikalau kita menyusuri sejarah negeri Pahang,kita dapati kedatangan saudagar Arab ke Pahang lebih awal dari Melaka atau lain-lain tempat bukan satu perkara luar biasa,ini kerana negeri Pahang terutama sungainya terkenal sebagai satu tempat yang mempunyai banyak sumber emas dan lain-lain galian, negeri ini di kenali oleh orang asing sejak zaman kerajaan Greek kuno lagi. Orang-orang asing dari Eropah,Arab,India,Cina dan Siam datang ke Pahang dengan satu tujuan untuk mencari emas yang diibaratkan seperti pasir melaut. Demikian juga sebelum kedatangan Melaka,disebutkan di dalam catitan Cina bahawa Maharaja (Parameswara Tasik Cini) membina istana baginda dari emas. Kekuatan jumpaan batu nesan di Kuala Pahang , ditambah lagi dengan terjumpanya batu nesan seorang perempuan bernama Fatimah binti Maimun bertarikh 475H (1097M)di Jawa. Terjumpanya makam seorang perempuan menunjjukkan bahawa kegiatan saudagar Islam sudah meluas di Tenggara Asia sekitar 300 tahun selepas kewafatan nabi.

Kegiatan Islam  meliputi utara Tanah Melayu hingga ke Kepulauan Sumatera dan juga Tanah Jawa, Ini bermakna orang-orang Islam secara kumpulan-kumpulan kecil boleh ditemui di semerata Asia Tenggara.

Dan dalam tahun 700H(1303M) ,kita temui pula satu diskripsi yang berupa Batu Bersurat di Terangganu. Batu Bersurat ini menandakan wujudnya sebuah kerajaan kecil Islam di sana. Batu bersurat ini walaupun menyamai batu bersurat di Kemboja akan tetapi ia menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang membuktikan ia adalah kepunyaan masyarakat tempatan .Patut di ketahui dari segi politik pemerintahan di zaman dahulu di antara Pahang dan Terangganu mempunyai ikatan yang sangat rapat( Sila Lihat –Buyung Adil – Sejarah Pahang – DBP- 1972) . Pedagang dari Cina dan Kemboja datang ke Pahang melalui Sungai Terangganu ke hulu Pahang dan terus ke Sungai Pahang untuk keluar ke  Laut Cina Selatan atau Selat  Melaka. Di zaman Pemerintahan Melaka, Pahang dan Terangganu di perintah oleh keturunan yang sama.

Saya mengemukakan bukti-bukti di atas untuk menunjjukkan kepada kita bawa Islam sudah tersibar di Tenggara Asia. Sehingga kini kita belum dapat menentukan dengan tepat di mana Islam mula tiba dan bila,akan tetapi wajar kita ingat bahawa pada masa dahulu negeri-negeri Melayu adalah di bawah pelbagai kuasa pemerintahan yang luas wilayahnya.Seperkara yang  perlu juga diingat bahawa tanpa sebarang kuasa yang dapat menyatukan umat Islam ketika itu,sebuah negara Islam tidak dapat diwujudkan,perundangan Islam tidak dapat direalisasikan di dalam masyarakat sehingga ke zaman Melaka.Kita bersetuju dengan pendapat D.Aderea seorang mubaligh Kristian bangsa Portugis yang datang ke Alam Melayu pada tahun 1410 ,yang menyatakan bahawa Islam telah diamalkan di Pahang hampir lebih 100 tahun awal dari Melaka. Pendapat ini memyamai tarikh yang tercatat pada Batu Bersurat Teranggau kerana negeri Terangganu berjiran dengan Pahang. D Aderea bukan saja menyatakan tarikh  tetapi beliau juga menegaskan bahawa masyarakat Islam di Pahang telah beramal dengan tradisi Islam lebih dari apa yang di amalkan di Melaka, samada dari segi pakaian,pergaulan dsb( Lihat Buyung Adil – Sejarah Pahang – hal 10).

Kesimpulannya dapat kita nyatakan bahawa Islam telah tiba ke Kepulauan Melayu seawal perkembangan Islam selepas pembukaan Kota Mekah dan kemenangan Nabi ke atas seluruh penduduk Tanah Arab,dan kita menyakini bahawa Islam tiba ke kepulauan Melayu melalui jalan laut samada di Kedah atau di Utara Sumatera ini merupakan tempat yang mula dikunjungi oleh saudagar Islam Arab.Islam tiba di Pahang adalah di antara yang terawal di Nusantara.

Hukum Kanun Melaka
Pada tahun 1445 M, orang-orang Melaka datang menakluki Pahang.Mereka merampas kuasa dari pemerintah Siam ketika itu.Di bawah pimpinan Tun Perak sebagai Bendahara Melaka,orang-orang Islam di Pahang dapat dibebaskan dari cengkaman Siam. Penaalukan ini amat besar ertinya kepada sejarah negeri Pahang, Oleh kerana penduduk Pahang sudah didominasi oleh orang Islam,maka peperangan tidak mengambil masa yang lama ,maka orang-orang Melaka dapat menaaluki Pahang dan meletakkan wakil kerajaan mereka di sini. Kedatangan Melaka juga membawa satu perundangan yang dinamakan Hukum Kanun Melaka & Hukum Kanun Laut Melaka yang berasaskan Islam dari mazhab Syfiee. Ia  diparktikkan oleh masyarakat setempat( Lihat R. O Winsted – The Malay Classical Litt -1969: Undang-undang Islam Pahang adalah bermodelkan undang-undang Melaka).
Amalan-amalan Islam makin diperkukuh,pusat penempatan baru di buka,masjid dibina begitu juga dengan ousat-pusat pendidikan Islam di dirikan di seluruh Pahang.

Pusat Pengajian Tasawuff  Lubuk Pelang 1500
Sejak sebelum penaalukkan  Islam  Melaka ke atas Negeri Pahang  telah  wujud  sebuah pusat pendidikan Islam di Lubuk Pelang yang merupakan sebuah pusat pendidikan bercorak tasawuff.Pusat ini semakin maju kesan dari penaalukan Melaka ke atas Pahang.Di zaman pemerintahan kerajaan Melaka,kegiatannya semakin terserlah. Ini dapat kita buktikan bahawa apabila Sultan Abdul Jamil meletak jawatan kerana pertikaian dengan adinda baginda Sultan Melaka,Pertikian mengenai hak kuasa Melaka Ke atas Pahang,baginda sultan yang tidak puas hati telah meletak jawatan dan melantik anaknda baginda menjadi sultan Pahang yang baru, Baginda telah pergi ke hulu Pahang sehingga kononnya sampai ke tempat yang tidak lagi kedengaran tiupan gendang nafairi, baginda telah pergi ke Lubuk Pelang menghabiskan sisa umur untuk beribadat kepada Allah di sana. Di dalam Kitab Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang ,ada menyebutkan tentang peristiwa tersebut . Kitab tersebut menyatakan bahawa Sultan Abdul Jamil “Bersheikh” diri di Lubuk Pelang.Bersheikh diri sama pengertian dengan “Bersuluk” pada masa sekarang. Tempat bersuluk semestinya mempunyai seorang guru atau “Sheikh” untuk membimbing anak murid yang ingin mempelajari tasawuff. Ini menunjjukkan bahawa di Pahang ketika itu telah wujud pusat pendidikan keagamaan yang agak tinggi kedudukannya. Kisah ini sama pendapat  dengan pandangan Prof Dr Hamka dalam bukunya “Sejarah Umat Islam”  yang mengatakan bahawa pendakwah Islam yang awal yang sampai ke Nusantara ini melalui peranan Ahli Sufi.

Pemgembaraan Hamzah Fansuri
Pada tahun1594, Hamzah Fansuri telah datang dari Acheh ke Pahang bagi menyambung pelajaran; di dalam syiarnya beliau  menceritakan tentang kunjunganya  ke Pahang untuk belajar dari guru-guru di sana:-
         

Dari Banten ke Pahang terlalu payah
Mencari tuhan di dalam Kaabah
Sebab inilah ia da'im berlelah
Akhirnya terdapat di dalam rumah
T.Iskandar- Hamzah Fansuri, Pengarang,Penyaer,Ahli Tasawuff Abad ke 17-- Dewan Bahasa - Feb 1965


Kedatangan Hamzah Fansuri ke Pahang adalah dari anjuran Puteri Kamariah , Puteri Pahang yang ketika itu menjadi permaisuri Acheh,isteri kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, permaisuri yang sangat meminati ajaran agama telah mencari sesaorang yang berkebolehan untuk menuntut “Ilmu Hakikat”  di seluruh dunia bagi mencari pengertian Hakikat dan Kewujudan di dalam masalah-masalah Ilmu Tauhid dan Ilmu Kalam. Hamzah telah dipilih untuk menjalankan misi tersebut,antara tempat yang dianjurkan oleh tuanku permaisuri ialah pusat pengajian di Pahang,selain di India dan BaitulMaqdis. Hamzah ini akhirnya mengasaskan satu aliran baru di rantau timur ini yang dikenali dengan Ajaran Mertabat Tujuh. Ajaran ini apabila sesudah kematian beliau bertukar menjadi satu ajaran sesat atau disebut di Acheh “Salik Buta”, dan akhirnya ajaran ini sampai ke Pahang dan diamalkan dengan meluas pada masa Imam Nur Qadim sekitar 1720.


Salah satu lakaran Hamzah Fansuri berdasarkan blog terbitan [pakcik wordpress]

Saya berpendapat bahawa tempat yang dimaksudkan oleh beliau adalah Lubuk Pelang, ini kerana perhubungan yang sukar untuk sampai ke sana. Menurut sumber Portugis dan Inggeris,perjalanan dari Kuala Pahang ke Kuala Lipis di hulu Pahang pada zaman dahulu mengambil masa selama 45 hari. Dengan menaiki perahu yang terpaksa melalui kawasan hutan tebal ,air terjun dan jeram.Jika di ambil keadaan perjalanan dari Acheh ke Pahang melalui jalan laut ,kita rasa tidak begitu sukar kerana hanya menyeberang melalui Selat Melaka,akan tetapi jika memudiki sungai Pahang  hingga ke Lubuk Pelang akan berlaku hal sebaliknya sekalipun jarak perjalanan tidak sampai 1/5 dari jarak Acheh Ke Kuala Pahang.Ini memberi gambaran kepada kita pusat pengajian yang ada di Lubuk Pelang merupakan satu pusat pengajian Tasawuff yang agak terkenal juga ketika itu di Nusantara. Dan di yakini mempunyai guru-guru yang terpelajar.

Kitab Hidyatul Mustafid
Dipercayai juga selepas kedatangan Hamzah Fansuri,Pahang juga dikunjungi oleh seorang ulama besar dari India iaitu Nuruddin Al Raniri ( 1658), Semasa di Pahang, beliau dipercayai sempat menulis dua buah buku agama yang asas  di dalam bidang Akidah(Durratu-l Faraid bi Syarhi-l Aqaid) dan Hadis( Habib fi-l Targhib wa-l Tarhib). Tidak terdapat penggunaan dialek Acheh di dalam kedua-dua buah buku ini sebagaimana karya-karya beliau yang lain semasa menjadi mufti Acheh( rujuk R.O Winsted).
 Memandangkan bahan tulisan yang dikemukakan oleh Sheikh Nuruddin begitu tinggi,maka ini membuktikan bahwa Islam di negeri Pahang sudah begitu meluas diamalkan dalam abad ke 15 sehingga terdirinya pusat-pusat pengajian yang di datangi oleh guru-guru dari luar Pahang dan para ulamak di beri penghormatan oleh pemerintah ketika itu.

Undang-undang Islam Pahang 1600
Pada tahun 1592-1614,Sultan Abdul Ghafur,Sultan Pahang ketika itu telah mengarahkan para ulama membuat satu rang undang-undang baru yang lebih kemas dari Kanun Melaka. Undang-undang baru itu dinamakan “Hukum Kanun Pahang”, Pengaruh Mazhab Syafiee lebih ketara di dalam kanun ini berbanding dengan Hukum Kanun Melaka terutama di dalam bab 24-66. Kanun ini  bukan saja digunakan  di Pahang tetapi diterima pakai di Brunei dan Perak serta Patani. Ini sudah tentu Pahang memiliki sebaris ulama yang berwibawa untuk membuat satu perundangan yang begitu lengkap. Di percayai empat orang ulamak besar telah datang ke Pahang bagi membantu usaha tersebut . Mereka akhirnya menetap dan menyibarkan Islam di Pahang,mereka terdiri dari  Tuk Mengkasar, Ali Mambang, Suji Bilang dan Imam Besar. Kesemua mereka mendapat pendidikan dari pusat pengajian Wali Songgo di Jawa dan Acheh .
Sultan Abdul Ghafur juga telah menyusun pentadbiran di negeri Pahang sebagaimana pentadbiran di Minangkabau dengan wujudnya jawatan Orang Besar Berempat,Orang Besar Berlapan,Orang Besar Enam Belas.
Di antara jawatan Orang Besar Berempat yang diwujudkan ialah jawatan Orang Kaya Indera Syahbandar di Pekan,Orang Kaya Indera Segara di Temerloh. Pernah di sebutkan oleh Tuk Shahibudin  bahawa Orang Kaya Indera Syah Bandar pada masa beliau bernama “Orang Kaya Othman”. Beliau merupakan seorang yang alim di dalam Ilmu Mertabat Tujuh dan beramal dengan ilmu ini. Orang Kaya Othman banyak mempengaruhi Sultan supaya beramal dengan ajaran tersebut. Hasrat Orang Kaya Othman pula di sokong oleh Mufti Pahang Sahibus Samahah Imam Zul' Bayan yang sememangnya alim di dalam Ajaran Mertabat Tujuh.

Imam Dzul Bayan Mufti Pahang 1650-1740
Dari tahun 1600 hingga 1800 ,negeri Pahang mengalami keadaan kacau bilau kerana perebutan kuasa.Namun kita dapati kedudukan ini tidak menjejaskan perkembangan agama Islam. W Linehan menulis di dalam bukunya "History of Pahang", dalam sekitar tahun 1600M dengan kemasukan orang-orang Minangkabau,Mendailing dan Rawa perkembangan Islam semakin rancak. Menurut beliau ramai orang Asli dapat di Islamkan terutama di kawasan pendalaman. Orang-orang Minangkabau selain mereka rajin bekerja,pandai berniaga mereka juga berdakwah di Pahang dengan membuka perkampungan baru seperti Tuk Suji Bilang di Temerloh,Tuk Mengkarak,Tuan Sanggang di Sanggang,Tun Ahmad di Lipis. Kita dapati para pendakwah sanggup berkahwin dengan wanita-wanita Orang Asli untuk mengislamkan mereka,mereka juga membuka perkampungan dan tanah baru untuk dimajukan bagi menempatkan Orang Asli yang sudah Islam.Mereka membagikan setiap tempat kepada daerah-daerah dengan diketuai oleh seorang Imam seperti Daerah Mengkarak,Daerah Lebak,Daerah Temerloh,Daerah Sanggang,Daerah Kertau,Daerah Cenor dll. Setiap Daerah mempunyai Imam,Kadi dan Imam Perang. Imam,Kadi dan Imam Perang bergilir kuasa untuk menjadi ketua daerah berdasarkan kekuatan,kekayaan dan umur yang mereka miliki. Biasanya keutamaan kepada keturunan di samping kekuatan dan kealiman ilmu agama.
Jawatan Mufti yang dapat dikesan sehingga ini ialah Tuk Mengkarak.Beliau membuka sebuah pusat pengajian agama di Mengkarak yang ketika itu merupakan sebuah Bandar di pendalaman Pahang. Dikatakan bahawa Imam Zul' Bayan juga membina parit untuk mengairi sawah  dan membina sebuah mahkamah untuk perbicaraan, mahkamah ini mengenakan sistem timbang bagi mengira denda (takzir). Perihal timbangan ini ada disentuh oleh Pak Sako di dalam salah satu karya beliau. Ilmu pengajian agama di Pahang ketika itu agak tinggi kerana perbincangan mereka adalah mengenai ilmu Tauhid Mertabat Tujuh yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri, Dari kitab-kitab yang ditemui di Kg: Loyang dan di Kg: Mengkarak, Ilmu Usuluddin yang diajarkan di Pahang ketika itu menyamai ilmu yang diajarkan di Acheh. Perbahasan mengenai Alam Lahut,Alam Jabarut,Alam Malakut merupakan perbahasan biasa yang diajarkan di pondok-pondok dan pusat pengajian ketika itu.
Selepas kematian Imam Zul Bayan, beliau digantikan oleh anaknya Imam Nur Qadim(1720) sebagai mufti di Pahang. Kedudukan beliau di dalam bidang keagamaan sangat tinggi sehingga mendapat gelaran “Naib’ul Sultan”. Beliau menguasai ilmu yang di dapati dari Hamzah Fansuri  dan Shamsuddin Sumaterani.Namun begitu diakhir hayatnya Imam Nur Qadim kalah di dalam hujah-hujahnya apabila bertemu dengan Tuk Shahibudin dalam membahaskan isu kebenaran ajaran Mertabat Tujuh walaupun dalam waktu yang sama di Acheh,kedudukan ajaran Mertabat Tujuh pulih semula.Imam Nur Qadim sangat masyhur sebagai guru agama yang terkenal di Pahang ketika itu.

Tuk Shahibudin  (1708-1800)
Tokoh ini merupakan seorang tokoh yang banyak menulis syair syair klasik di Pahang,syair-syair beliau banyak disalin semula oleh Sdr Arifin Said dari UPM dan diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan dan kesenian Malaysia. Di antara syair-syair nya ialah Syair Asyikin,Syair Ghafilah,Syair Sifat,Syair Tumbuhan,Syair Kebun,Syair Pembasuh Tangan dll. Pengaruh beliau di dalam bidang ini amat kuat bukan sahaja di Pahang tetapi juga di Johor dan Riau, Sebuah syair yang berjudul "Syair Johor" adalah hasil pena seorang perantau Johor yang datang ke Pahang, dan ternyata tempat tujuan beliau adalah Kg Berhala Gantang,tempat tinggal Tuk Shahibudin. Syair ini banyak sekali mengambil langgang dan rentak syair-syair Tuk Shahibudin. Pengaruh ini juga tidak dapat tidak sampai ke Riau sekitar tahun 1800,walaupun andaian ini agak tinggi tetapi kita dapati bahawa Tuk Shahibudin merupakan orang pertama yang menulis syair-syair pelajaran agama;yakni pelajaran agama ditulis di dalam bentuk syair.
Dalam sekitar tahun 1730,Tuk Shahibudin menyebutkan di dalam syairnya Syair Ghafilah; terdapat hampir sepuluh orang tokoh keagamaan di negeri Pahang ini,seperti Tuk Mengkarak dan anaknya Imam NurQadim , Nahkoda Abdullah di Sungai Ma Dulang,Tuk Uban di Makassar,Maulana Sofi di Bera,Khatib Junid dan Haji Ishak di Cenor,Tuk Malim Lebai Panjang di Badok. Mereka ini mengajarkan ilmu pengetahuan keagamaan untuk penduduk di negeri Pahang dengan membuka pusat pengajian. Mereka juga mengajar dan mendidik penduduk tempatan dengan mengadakan sistem ekonomi yang betul untuk menambah pendapatan.

Abad ke 19
Dalam tahun 1800, hampir 80% penduduk Pahang adalah muslim.Kegiatan keislaman yang besar terdapat di Kampung Mengkasar di Pekan, Kg Kertau di Cenor,Kg Mengkarak di Bera  ,Kg Berhala Gantang di Temerloh. Tuan-tuan guru dari kampung tersebut di lantik menjadi Kadi dan Mufti bagi negeri ini, Menurut Kadi Ibrahim di dalam kitabnya "Syifa' Al Abdan" menyatakan Tuan Teh Mohammad merupakan seorang tokoh agama di Pahang yang sangat kuat berusaha untuk menghapuskan ajaran Mertabat Tujuh dan segala jenis bidaah dan Khurafat di Pahang. Beliau ada menyalin sebuah kitab tauhid yang bernama Ummu Barahim bagin menjelaskan Sifat Dua Puluh secara terperinci di dalam bahasa Melayu.begitu juga sebuah naskah mengenai Usul Fiqh dan Hadis Taqrib wa Tarhib. Tulisan tangan beliau banyak tersimpat di Muzium Pahang. Di antara kitab beliau yang dijumpai di cetak oleh Percetakan Ahamadiyah, Riau ialah Kitab Raudatul Jinan yang menggunakan percetakan batu.


Muzium Pahang indah dikelilingi kolam - gambar cleffairy.com

Menurut W Linehan, Jawatan Mufti dan Kadi Besar dalam sekitar tahun 1830 dipegang oleh  Tuan Mufti  Haji Abdul Shukur dari Kertau Cenor dan  Kadi Besar Tuan Haji Abu Bakar dari Sanggang(Tuan Sanggang, Kadi Abu Bakar adalah anak  Tuk Shahibudin yang tinggal di Sanggang Tuk Penghulu). Jawatan beliua sebagai Kadi Besar ini merupakan jawatan yang pertama di sebut oleh ahli sejarah di Pahang setakat ini.

Tuan Haji Abdul  Shukur telah membuka pondok pengajian yang besar di Kampung Kertau di Cenor,antara muridnya yang terkenal ialah Kadi Besar Pahang iaitu Kadi Ibrahim bin Hurairah. Tuan Haji Abdul Shukur meneruskan usaha Tuk Shahibudin bagi menbenteras ajaran sesat Martabat Tujuh di Pahang ketika itu yang bercampur dengan amalam kebatinan dan ilmu pawang.

Setelah kemasukan Inggeris sekitar tahun 1895 dan bandar Pekan telah dijadikan ibu negeri,maka seorang mufti telah dilantik dari kalangan penduduk Pekan.Beliau ialah Haji Montok yang berasal dari Kelantan yang menetap di Pekan. Tuan Haji Montok telah membuka pusat pengajian di Kampung Ketapang dengan bantuan Syed Hassan Al Attas,seorang kaya yang dermawan yang mengasaskan Sekolah Menengah Agama Al Attas di Pekan dan Sekolah Tinggi Agama Al Atttas di Johore Bahru. Ini adalah usaha pertama mengwujudkan sekolah agama secara moden di Pahang. Dengan pengaruh Sheikh Tahir Jalaludin, sistem pendidikan agama di Pahang menjadi lebih teratur.

Sejak dari datang nya Islam ke Negeri Pahang,kita dapati kegiatan intelektual begitu bersemarak di negeri tersebut. Setiap peringkat masa kedapatan para ulamak dan cerdik pandai berusaha memajukan pemikiran dan kefahaman ummah terhadap agama supaya mereka terus maju di dalam menghadapi cabaran zaman.



Bacaan Tambahan:
1.        Haji Buyong Adil – Sejarah Pahang – Dewan Bahasa & Pustaka- 1973
2.        Prof Dr Hamka – Sejarah Umat Islam – Pustaka Fajar – 1968
3.        Dr Mahayiddin Hj Yahya – Sejarah Islam – Fajar Bakti –1994
4.        Abdul Rahman Hj Abdullah – Pemikiran Umat Islam Nusantara – DBP-
5.        Dr Ahmad Daudy – Allah dan Manusia – Rajawali Press – hal 48&49.
6.        T. Iskandar – Nuruddin Al Raniri – Dewan Bahasa- Oct-1964
7.        Naskah Shellbear – Sejarah Melayu – 1976
8.        W.Linehan – History of Pahang – JMBRAS – Univ Malaya- 1973
                                                                                  9.       Aripin Said – Syair Asyiqin – Kementerian                      Kebudayaan dan Kesenian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ikuti SIP