Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Ahad, 4 September 2016

Tuk Shahibudin bin Zainal Abidin[1708-1800]


Lahir di Kampung Tanjung Keramat,di Kuala Semantan ,Temerloh Pahang. Beliau berketurunan Minangkabau,keluarga ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Raja Siak yang membantu Raja Kecil melanggar Pahang sekitar awal tahun 1700.




Kaum keluarga beliau telah lama tinggal di negeri ini. Khususnya di daaerah Cenor dan Mengkarak.Salah seorang datuknya telah datang ke Pahang dan berkahwin dengan anak kepada Datuk Perkasa, seorang pembesar  yang tinggal di Cenor. Di antara Lelehurnya yang paling popular ialah Datuk Suji Bilang yang tiba ke Pahang sekitar tahun 1000H,dipercayai datang bagi tujuan membantu Sultan Abd Ghafur untuk melaksanakan Hukum Kanun Pahang.


Semasa Imam Dzul Bayan menjadi Mufti Pahang(1700),keluarga ini menguasai daerah Mengkarak dan kawasan yang berdekatan hingga ke Temerloh, Di Kampung Mengkarak terdapat makam bersejarah iaitu Makan Imam Nur Qadim dan di Kampung Buntut Pulau terdapat  makam adiknya iaitu Imam Muda Mamat.Mereka merupakan anak kepada Imam Dzul Bayan yang menjadi Orang Kaya Diraja pada masa itu. Ibu Imam Dzul Bayan merupakan saudara kepada Suji Bilang.


Datuk beliau yang  bernama Muhammad atau di gelar “Suji Bilang” telah memilih Kuala Semantan sebagai tempat menetap.Di sana beliau membuka perkampungan bag Orang Asli Jinak dan juga membuat penempatan bagi Orang Asli yang liar. Oleh kerana kehebatan beliau kampong itu dinamakan “Tanjung Keramat”.

Bapa Tuk Shahibudin bernama Zainal Abidin berkahwin dengan sepupu -nya yang tinggal di Cenor bernama Siti Norsiah[2]. Hasil perkahwinan itu Tuk Shahibudin mempunyai tiga adik beradik termasuk Imam Sahidin dan Meradah. Imam Sahidin berkahwin dengan anak Tuk Kaya Cenor yang bernama Juhara dan Meradah pula berkahwin dengan Dato Panglima Bagus yang berasal dari Negeri Perak Darul Riduan,cucu kepada Dato Matang yang melarikan diri ke Pahang kerana berlaku krisis di antara beliau dengan pemerintah ketika itu.

Beliau mendapat pendidikan agama dari bapanya sendiri Zainal Abidin yang juga merupakan seorang yang alim, 1720 Ketika Berusia 15 tahun mula mengaji kepada Kadi Ismail, Kadi Bangau yang juga mempunyai pusat pendidikan di sana. Kadi Ismail merupakan satu satunya kadi yang membawa aliran Wihdatul Suhud yang berlawanan dengan aliran dominan di Pahang ketika itu iaitu Aliran Wihdatul Wujud. Kadi Ismail apabila melihat kecerdikan  Tuk Shahibudin ketika masih remaja menyimpan hasrat bahawa anak muridnya yang pintar ini akan dapat melakukan sesuatu sesuai dengan hasrat dan cita-cita beliau, maka Kadi Ismail sentiasa mengalakkan Tuk Sahibdin menyambung pelajarannya di luar negara.

Kadi Ismail di percayai merupakan cucu murid kepada Sheikh Nuruddin Al Raniri, Ini kerana beliau dipercayai pernah belajar dari Fakeh Yusuf Abdul Salam. Tuk Shahibudin amat meminati  kedua-dua tokoh ini dari semua segi sama ada perjungan dan juga lewat kitab-kitabnya. Tokoh ini amat mempengaruhi sikap dan pemikiarn Tuk Shahibudin ,beliau sering memuji guru kepada gurunya itu; Antara kitab yang mendapat pujian beliau ialah  dalam bidang Fiqh iaitu “ Siratul ‘ Mustaqim” . Disebut di dalam syairnya:

Sirattul Mustaqim itu pun kuat
Lagipun setengah memberi berkat
Karangan Sheikh Benua Gujerat
Dengan Minhaj mengambil maufakat
(Syair Asyikin)

Dari Pahang  seterusnya beliau menuju ke Jawa , belajar dari Pakeh Abdullah Yusuf[3]  di Betawi. Tuan Fakeh ini anak murid kepada Fakeh Yusuf Abdul Salam juga, Beliau ini yang menjadi perdana menteri bagi kesultanan Banten yang rajanya  Sultan Ageng Tirtayasa. Di bawah bimbingan Pakeh Abdullah Yusuf,Tuk Shahibudin sudah menjadi seorang boleh di panggil Ulamak sebagai mana yang di sebut oleh Imam Dzul Bayan:


Imam Shabudin alim Betawi
Batu Intan dikata kawi
Buat ibadat bersayo diri
Seperti kelakuan orang mencuri
(Petikan – Zakaria Hitam –Budayawan Pahang)

Fakeh Abdullah Yusuf dipercayai pernah  pergi ke Trim,Yaman belajar dari Syed Alawi Ba Al Hadad yang sangat terkenal ketika itu, Oleh kerana pengaruh Fakeh Abdullah Yusuf sangat kuat ke atas diri Tuk Shahibudin,maka banyak buku-buku karya Syed Alawi menjadi rujukan beliau, di antara buku yang sering beliau bicarakan mengenai tokoh ini dan mengamalkan ajaran-ajaran  beliau terutama  Kitab Nur al Mubin. Kitab ini   menbincangkan soal-soal tauhid.

Siratul Mustaqim jalan ibadat
Risalah Aurad mengambil muawanat
Nur al Mubin jalan Idtikad
Makrifatul Atsar jalan tarekat


Duapuluh sifat Nur al Mubin
Fardhu dan sunat Siratul’mustaqim
Takut dan dahsyat Bidayatul Mub’tadiin
Ketiganya itu wajiblah salin
(Syair Asyikin)

1745 Kembali ke kampung halaman dalam usia yang sudah matang dan memulakan dakwah kepada penduduk di seluruh negeri Pahang, antara peranan utamanya ialah menghapuskan ajaran Salek Buta, iaitu kesan dari Ajaran Mertabat Tujuh yang di asaskan oleh Hamzah Fansuri dan lain-lain ajaran sesat yang banyak terdapat di Pahang ketika itu. Beliau memulakan dari Pekan, kemudian ke Daerah Cenor, terus lagi ke Daerah Mengkarak tempat tinggalnya bapa saudara beliau Imam Dzul Bayan. Imam Dzul Bayan merupakan Mufti negeri Pahang ketika, beberapa perdebatan di adakan tetapi Tuk Shahibudin tidak mampu untuk menyakinkan orang ramai dengan pendapat beliau. 


Dari sana beliau kembali ke kampung halamannya di Tanjung Keramat, dan beliau berkahwin dengan anak kepada Gurunya yang bernama Mendiah[4]. Seterusnya beliau meneruskan misi dakwahnya ke Pulau Tawar yang merupakan ibu Negeri Pahang yang kedua ketika itu. Di sana beliau di usir,maka seterusnya beliau kembali semula ke Temerloh, dalam perjalanan pulang,bertemu pula dengan Lebai Ajam To Malim Panjang seorang tokoh Mertabat Tujuh di Kampung Baduk Mukim Sanggang Temerloh Pahang. Namun segala ajakan dan seruannya tidak di terima oleh penduduk setempat.

1750, Beliau membuka Kampung Berhala Gantang setelah gagal dalam usahanya untuk mengubah kepercayaan masyarakat Pahang ketika yang mempercayai  Ajaran Mertabat Tujuh, tujuan membuka kampung adalah bagi mendirikan pusat pendidikan yang berasaskan Aliran Widatul Suhud sebagaimana yang di war-warkan oleh Sheikah Nuruddin Al Raniri di Acheh dan Yusuf Abdul Salam di Banten. Beliau melaksanakan kerja ini dengan bersungguh sehingga berjaya meletakkan pusat pendidikan beliau setaraf dengan pusat pendidikan di Acheh dan Jawa, beliau mengajar pelbagai kitab yang masyhur di dalam Mazhab Syafie dan juga di dalam bidang akidah serta tasawuff. Sebagaimana syairnya:

Perpegangan fakir Insyaallah
Di dalam hati tidak berubah
Segala  puji alhamdulliah
Berkat Syeikh ditetapkan Allah
`
Siratul Mustaqim jalan ibadat
Risalah Aurad  mengambil muawanat
Nur al Mubin  jalan Idtikad
Makrifatul Atsa  jalan tarekat


Kerana pendapat hanya sedikit
Ilmu tak banyak dada pun sempit
Sekadarkan jangan bernama taklid
Seumpama binatang yang diheret


Perinya asal jalan mendapat
Dengan yang lain mengambil maufakat
Seperti Bidayah ,Jauhar dan Dar’rat
Minhaj al Qaim , Tullab  dan Irshad


Sampai kepada Tuhfah ,Nihayah
Sekalian maufakat tiada bersalah
Sekalian kitab usul dan fekah
Syarh al Mawafiq ,Syarh al Raudhah

Maka lahirlah dari kalangan anak-anak beliau sendiri, para ulamak yang berilmu tinggi sehingga mampu menjadi kadi dan mufti untuk negeri Pahang ini tanpa perlu keluar negara. Seperti Tuan Teh, Imam Baada, Kadi Nong. Dari Kalangan cucunya Kadi Besar Pahang,Kadi Abu Bakar (1830), Kadi Ismail dan Kadi Besar Pahang,Kadi Ibrahim bin Hurairah(1840-1820).

1780an  Ketika usianya sudah lanjut Tuk Shahibudin mula mengarang syair-syair, segala kegiatan pasentren di serahkan kepada anaknya Tuan Teh,Ketua kampung pula Imam Baada dan jawatan kadi diserahkan pada anaknya bernama Kadi Nong. Di antara syair beliau yang terkenal ialah Syair Asyikin yang kini diterbitkan oleh Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, juga Syair Ghafilah,Syair Sifat dan Syair Tumbuhan. Syair-syair ini di salin dan di simpan oleh anak murid dan anak cucunya sehingga ke hari ini. 


Begitu juga di jumpai akhir-akhir ini Syair Pembasuh Tangan,Syair Kebun dan Syair Pengantin Berarak. Syair karya Tuk Shahibudin amat popular di Negeri Pahang ,dibacakan di surau-surau dan di perjumpaan keagamaan. Disamping itu juga dijumpai pengaruh karya beliau sehingga ke Johor dan Riau. Seorang pengarang Syair Sultan Abu Bakar telah meniru gaya Tuk Shahibudin di dalam bersyair yang berjudul “Syair Johor “ ,karya ini pernah dijadikan thesis oleh Dr Fauzi Basri,bekas Naib Censelor UUM.


Disamping bersyair, Tuk Shahibudin juga menrupakan orang pertama memperkenalkan Dikir Rebana di Pahang. Sehinggakan dikir tersebut dinamakan Dikir Rebana Tuk Shahibudin. Kegiatan dikir ini masih giat dijalankan di kawasan Tembeling,Jerantut Pahang terutama di Kampung Teh. Dikir ini dibacakan pada malam majlis kenduri perkahwinan atau pada malam Maulid Nabi.

Awal 1800-an  Meninggal dunia dalam usia hampir 100 tahun.




[1] Catitan ini terdapat pada salah satu naskah yang ditulis oleh Khatib Ngah, iaitu bersamaan dengan tahun 1200 Hijrah.
[2] Catitan dari Abdul Hamid Taib – Guru Penerangan Agama Daerah Temerloh-1983.
[3] Sumber dari Kg Sanggang
[4] Menurut Catitan Kadi Osman(Kadi Temerloh) Tuk Shahibudin pernah berkahwin dengan orang Pangsaenam dan membuka sebuah kampong yang di gelar Cerok Tuk Shahibudin,beliau mendapat empat orang anak. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan pertama sebelum ia mengahwini anak gurunya yang juga seorang janda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog