Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
"Pemandangan Sungai Pahang di Temerloh" -Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Ahad, 29 Januari 2017

ASAL NAMA BANDAR TEMERLOH & KUALA SEMANTAN

  
Pada 27 Dis 2016, pihak akhbar Sinar Harian telah menyiarkan temu ramah wakil sinar harian di Temerloh dengan saya mengenai asal usul nama “Bandar Temerloh”. Kenyataan saya itu mendapat perhatian beberapa pihak,maka seminggu kemudian tersiar di dalam surat kabar “Harian Metro” yang menceritakan bahawa asal nama Temerloh & Kuala Semantan dari versi yang berbeza spt berikut:

Kuala Semantan pada asalnya merupakan sebuah kampung tua. Letaknya ialah di tanjung sebelah kanan kuala Sungai Semantan yang bertentangan dengan Kampung Bangau Parit. Mengikut ceritanya, nama 'Semantan'  itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Perkataan 'Semantan' itu terbit dari perkataan 'Seman Tahan' . 'Seman Tahan' merupakan seorang Brunei yang menetap di tanjung sebelah kanan kuala, salah sebuah anak Sungai Pahang . Osman yang dikenali sebagai Seman ini merupakan seorang yang pandai bersilat dan banyak ilmunya. Disebabkan oleh kepandaiaannya,maka ramai orang yang tinggal di sekitar tempatnya datang berguru dengan Seman .Disamping pandai bersilat, Seman juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu.Oleh kerana kemasyurannya ini, maka nama 'Seman Tahan' diabadikan kepada sungai yang terdapat disitu . Dari situlah nama sungai itu menjadi sungai Seman Tahan .Sungai Seman Tahan itu lama kelamaan menjadi sungai Semantan (mungkin untuk penyebutan yang mudah dan ringkas) dan kuala yang terdapat di Sungai Semantan masih kekal hingga ke hari ini . Oleh kerana ramai yang berpindah ke Kuala Semantan untuk berguru dengan Seman Tahan menyebabkan ia berkembang menjadi sebuah pekan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan yang terkenal semasa sebelum kedatangan British.Bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Semantan , maka banyak kawasan-kawasan baru telah dibina untuk dijadikan kawasan penempatan .Nama Kuala Semantan dirasakan tidak bersesuaian dengan perkembangan kawasan baru ini kerana perkataan 'kuala' itu hanya meliputi kawasan sekitar pertemuan antara pintu Sungai Semantan dengan Sungai Pahang .Oleh kerana itu nama Temerloh telah diambil bagi menamakan kawasan yang baru berkembang itu.

Nama Temerloh, seperti juga kawasan-kawasan lain di negeri Pahang , mendapat namanya melalui satu peristiwa yang berlaku di Kuala Semantan .Menurut Haji Zakaria Hitam (beliau mendapat cerita ini daripada orang-orang tempatan) nama Temerloh itu berpunca daripada perkataan 'mereloh' .Ini berdasarkan pada satu peristiwa yang berlaku di sebuah anak sungai di kiri hilir Sungai Pahang bertentangan dengan Pulau Temerloh. Pada suatu hari ada seorang Minangkabau mendarat di kuala anak sungai itu .Semasa beliau berada di kampung tersebut , beliau melihat seorang sakai yang asyik mereloh (tidur) sepanjang hari tanpa mempedulikan hal-hal lain . Dari peristiwa itulah terbitnya perkataan temerloh yang kemudiannya diambil untuk menamakan kawasan yang baru dibuka itu . Pendapat yang mengatakan nama Temerloh itu datangnya dari perkataan mengeloh juga dipersetujui oleh beberapa tokoh tempatan lainnya seperti Ishak Haji Muhammad dan Haji Omar walaupun peristiwa-peristiwa yang mereka ketahui agak berlainan sedikit .

Dari kajian saya  mengenai bandar Temerloh & Kuala Semantan melalui riwayat orang tua-tua dan syair-syair lama berbeda dengan pendapat beberapa pihak. Menurut syair karangan Imam Syahibudib bahawa pekan Kuala Semantan telah wujud lebih awal dari tahun 1780. Ini kerana beliau menyebutkan bahawa telah wujud sejenis mata wang yang di gunakan berjual beli di pekan tersebut. Imam Syahibudin menyarankan kepada anak2 murid beliau yang hendak menyalin syair karangan beliau boleh mengupah penulis yang cantik tulisannya dengan membayar serial dua nukud semantan. Nama matawang tersebut ialah “Nukud Semantan”. Nukud dari perkataan Arab bermakna “Duit”. Dari catatan pihak di Temerloh konon nya nama Kuala Semantan ada lah singkatan dari nama Seman & Tan. Ada pula mengatakan dari perkataan “Seman Tahan” seorang Berunai yang tinggal di Temerloh. Kalau kita lihat di dalam peta kepulauan Nusantara, nama “Semantan” ini sudah wujud di pelbagai tempat seperti nama Tebing Tinggi atau nama Lubuk Kawah atau nama Lebak atau Mengkarak. Bagi saya nama semantan adalah satu nama yang biasa diguna oleh orang Melayu dipelbagai tempat bukan dari singkatan nama tertentu.Kita tidak dapat menentukan mana tempat yang paling awal digunakan nama tersebut.

Hujah saya lagi, untuk meletakan nama Semantan dari perkataan Seman & Tahan  tidak sangat berasas. Ini kerana siapakan anak cucu Seman Tahan  yang disebut2kan itu? Biasa nya setiap tokoh yang terkenal mesti ada salsilah dan anak cucu yang mengaku mereka keturunan seman tahan lebih2 lagi beliau seorang tokoh yang terkenal,jawab nya tidak ada golongan yang mengaku mereka anak cucu seman tahan. Jika kita merujuk pula seman tahan ini kepada Dato Bahaman, saya rasa bertentangan dengan catatan Imam Syahibudin yang mengatakan bandar ini sudah wujud dalam tahun 1780 sedangkan Dato Bahaman dalam tahun 1890 Masehi.

Bagi nama “Temerloh” pula, saya suka merujuk kepada riwayat orang tua-tua di zaman dahulu yang mengatakan bahawa telah wujud seorang tokoh pemimpin di Temerloh bernama Dato Suji Bilang. Beliau pernah menjadi ketua di kawasan Kuala Semantan di sekitar bandar Temerloh. Dato Suji Bilang mempunyai seorang menantu bernama Panglima Bagus yang berasal dari Negeri Perak Darul Riduan anak kepada Dato Matang. Dato Suji Bilang telah memberi sebahagian tempat pegangan beliau kepada menantunya di sebelah hilir Kuala Semantan. Maka nama tempat tersebut ialah Kuala Temerloh(@berdekatan Kg Tengguh). Kemungkinan jawatan yang dipegang oleh Panglima Bagus adalah jawatan Dato Penggawa @Penghulu maka beliau menamakan kawasan pegangan beliau sebagai Mukim Perak. Kalau kita rujuk kepada jawatan penghulu Temerloh memang disebut  “Penghulu Mukim Perak”.Di seberang sungai Kg Kuala Temerloh terletak Kampung Pengkalan Jaya ,asalnya kampong tersebut adalah Kampung Pengkalan Cina. Jadi saya berpendapat bahawa di zaman tersbut (1780) Kg Kuala Temerloh merupakan sebuah pekan kecil yang ada dua bandar berkembar, satu bandar melayu dan satu lagi bandar cina, kenapa mereka tidak duduk sekali? Ini kerana di zaman itu dengan semangat agama yang kuat, orang melayu dan cina tidak duduk berdekatan. Dari mana asal nama bandar Temerloh? Maka ia diambil dari nama kampong Kuala Temerloh di Tengguh.

Di mana perkataan “temerloh” ini diambil, maka bagi saya nama ini diberikan oleh Panglima Bagus dari nama “Temerloh” yang terdapat di Negeri Perak juga tempat asal usul beliau. Kalau kita merujuk ke negeri Perak terdapat satu pekan kecil bernama Temerloh berhampiran dengan kawasan Matang berkedudukan di tepi laut. Bagi perkataan “Merloh” memberi makna tidur yang diambil dari perkataan orang asli. Saya rasa elok kita bertanya kepada Orang Asli di Kampung Darat Senayan atau Darat Perak atau di penampatan orang asli dilebak sebarang adakah wujud perkataan ini di kalangan mereka??? Jika perkataan ini merujuk kepada penggunaan orang Melayu Temerloh, rasa nya tak wujud “perkataan “ ini merujuk kepada makna tidur atau berehat panjang???? Kalau kita lihat lokasi bandar Temerloh yang asal di zaman British adalah terletak di kawasan jambatan temerloh, disitulah wujudnya sekolah,pejabat dan balai polis. Keutamaan Kuala Semantan pula ialah kerana wujudnya masjid,pejabat kadi dan pekan sari sekali seminggu.Dalam tahun 50an,60an hingga 70an pun nama Kuala Semantan masih popular berbanding dengan nama Temerloh.

Kesimpulan, saya tidak menolak kajian yang dibuat oleh beberapa tokoh lama di dalam sejarah tetapi jangan kita abaikan juga sumber2 sejarah tempatan yang rasanya lebih lojik menurut akal biasa.Ia juga berasaskan sejarah lama bukan dari cerita mulut ke mulut,kisah lama ini meniti dari satu jenerasi ke satu jenerasi melalui anak cucu tokoh-tokoh ini spt anak cucu Dato Suji Bilang,anak cucu Dato Panglima Bagus,anak cucu Dato Panglima Sumbing yang masih ada di sekitar kawasan bandar Temerloh.      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ikuti SIP