Lensa Sejarah Islam Pahang

Lensa Sejarah Islam Pahang
Lensa Sejarah Islam Pahang (Klik di Gambar)

Pilih Bahasa

Rabu, 3 Januari 2018

IMAM SYAHIBUDIN @ TUK SHAHIBUDIN BUKAN KETURUNAN RAJA @ SULTAN.






Saya minta maaf kepada para peminat ruangan SEJARAH ISLAM PAHANG kerana pada minggu ini tulisan saya agak bersifat peribadi kerana menjurus kepada keturunan saya sebelah ibu . Di dalam satu tulisan dari saudara kita, mereka mendakwa bahawa Imam Syahibudin adalah keturunan “Sultan” berdasarkan satu tulisan di dalam akhbar Berita Harian dalam tahun 1960an di mana bapa saya Tuan Guru Haji Hasanuddin mengelar Imam Syahibudin dengan gelaran “Sultan Syahibudin bin Sultan Zainal Abidin”. Sepanjang saya membuat kajian mengenai sejarah Islam di Pahang sebagai satu bidang yang saya minat, saya mendapati satu kecenderongan di kalangan orang lama menyambung keturunan mereka kepada raja atau pembesar. Kalau kita lihat salsilah yang di ambil dari orang lama di mana sahaja, jika mereka itu dari golongan pembesar maka dia akan mencantumkan salsilah tersebut kepada raja, jika dia orang kampong biasa dia akan cantumkan salsilah itu kepada pembesar seperti panglima raja dsbnya.Berbalik kepada Imam Syahibudin, saya telah mengkaji mengenai tokoh ini sejak dari tahun 1983, di mana saya telah pergi ke kampong-kampung yang ada kaitan dengan tokoh ini seperti di Kg Seberang Cenor di situ ada adik beliau bernama Tuk Aboi  atau Tuk Sahi mengikut gelaran orang kampong saya. Saya juga pergi ke Mengkarak untuk melihat makam bapa saudara sepupu kepada Imam Syahibudin iaitu Imam Zul Bayan dan Imam Nurqadim, saya menumpang di rumah Ustaz Ahmad Pelawat, bertemu dengan En Osman Merah dll.Saya lama tinggal di Pekan Bandar Diraja, berkawan dengan Dato Mokhtar penyelia Mezium pertama di Pahang, Saya sering berkonteks dengan Dato Dr Ariffin Said ahli budayawan Pahang, sempat bertemu dengan Dato Aziz bekas SUK Pahang yang juga anak cucu Tuk Sahi di Kg Seberang Cenor. Pada tahun 1995,saya dengan beberpa rakan diserah tugas untuk menulis sebuah buku yang kami beri tajuk “Sejarah Islam Pahang” bagi tujuan mengutip derma bagi Maahad Tahfiz al Amin di Kg Berhala Gantang, buka tersebu lebih banyak mengenai anak cucu Imam Syahibudin bukan sangat mengenai sejarah Islam di Pahang. Selepas itu saya membuat lagi kajian terperinci mengenai sejarah Islam di Pahang serta tokoh-tokohnya, Maka saya dapati penulisan saya di dalam buku Sejarah Islam Pahang banyak mengandungi kesilapan tarikh, maka saya syorkan supaya para pembaca tidak sangat merujuk kepada buku tersebut walaupun banyak fakta di dalam itu adalah benar tetapi masalah tarikhnya meragukan, ini disebabkan saya di dalam keadaan yang tergesa2 telah menulis berdasarkan cerita lisan sahaja amat sedikit saya merujuk kepada sumber tulisan. Selepas itu saya menerima banyak feedback dari mereka yang berminat di dalam masalah ini dengan memberikan saya pelbagai bahan pinjaman seperti syair,kitab dan risalah kecil. Maka dari situ saya dapat membuat satu kesimpulan baru mengenai tokoh2 ini spt berikut:



Tokoh di dalam tahun 1700 -1750 spt Kadi Ismail Bangau,Mufti Imam Zul Bayan,Tok Tuan,Dato Suji Bilang,Mufti Tuk Mengkasar dll.



Tokoh di dalam tahun 1750-1800 spt Imam Syahibudin,Imam Muda Mamat,Imam Nur Qadim,Mufti Haji Mukhsin.



Tokoh di dalam tahun 1800-   spt Tuan Teh, Kadi Besar Pahang Kadi Abu Bakar, Mufti Hj Abdul Syukur.



Berbalik kepada keturunan Imam Syahibudin,marilah kita mengkaji syair Asyikin ia itu satu dari 4 syair yang di tulis oleh beliau sendiri yang di salin dalam tahun 1780 yang saya rakam dari bait ke 207:



207      Tersayang-sayang pada rasaan

Kepada Umbi Datuk Perempuan

Orangnya arif lagi budiman

Upas jahil sudah termakan



208      Beberapa yang lain daripada itu

Suas dan sarban, leqa dan selu

Umma’hat  Fakir nasab yang tentu

Beratur moyang,datuk dan nenek.



Dalam rangkap ke 207, syair ini menyatakan bahawa Imam Zul Bayan adalah anak kepada Nenek Saudara beliau bernama “Umbi”. Nenek ini adalah saudara perempuan kepada Dato Suji Bilang yang menjadi pembesar di Tanjung Keramat Temerloh.Ibu Imam Syahibudin bernama Norsiah berasal dari Cenor berkahwin dengan Zainal Abidin, mereka adalah sepupu.



209      Ke atas  itu Datuk Perkasa

Perhimpunan dagang tempat semenda

Daerah Pahang Sekaliannya rata

Sekaliannya habis cicit dan cunda



Dalam rangkat ke 209, syair ini menjelaskan bahawa moyang Imam Syahibudin bernama Dato Perkasa (ada yang membaca dengan nama Dato Paksa), saya membaca syair ini dengan Imam Mat Yassin di Kg Sanggang dengan sebutan Dato Perkasa. Sebutan ini tidak menjadi msalah yang penting, di dalam rangkap ini menjelaskan bahawa Imam Syahibudin bukan keturunan “raja” atau “Sultan” sebagaimana yang diceritkan oleh ayahnda saya yang besar kemungkinan diambil dari cerita lisan orang tua-tua, bukan dari sumber yang sahih dan betul . Bagi saya hal berkaitan dengan keturunan ini ada lah jelas kerana yang menulis syair ini Imam Syahibudin sendiri.Syair ini di salin oleh anak cucu beliau, di simpan pula oleh berapa orang ditempat yang berlainan. Syair ini saya jumpai di dalam simpana Dato Syahibudin bin Muhamad bekas SUK Pahang, di dalam simpanan Imam Mat Yassin Kg Sanggang yang di ambil dari ayahnadnya Imam Yaakub Sanggang, di dalam simpanan Saadiah bin Imam Yaakub Kg Raja Songsang.



210      Asal Pahang empat saudara

Di Pulau Datu, seorang di Bera

Daerah Mengkarak saudara yang tua

Yang di Cenor moyang Tok Raja.



Dalam rangkap ke 210, di sebutkan di zaman dahulu ada empat kawasan yang mula ditadbir secara berperaturan di Pahang ia itu di kawasan Bera,Mengkara,Cenor dan Pulau Datu. Pulau Datu.





211      Seorang pun tidak ada yang tinggal

Keling dan Cina, Bugis dan Benggal

Sehingga bercicit nutfah nya tanggal

Datuk Perkasa ( فـقـسا )itulah asal



Datuk Perkasa mempunyai menantu dari pelbagai bangsa yang datang ke Tanah Melayu pada masa itu, ada menantu dari keturunan Cina, ada menantu beliau keturunan India @ Keling, ada keturunan Bugis dan Bengali. Bila saya menbuat kajian beberapa keturunan di Cenor dan Jenderak,mereka menasabkan datuk mereka kepada “Tuk Tambi” yang jelas dari keturunan Saudagar Kaya India yang datang ke Pahang mencari emas,gaharu,gading gajah dan kemiyan.





212      Tetapi nya jarang orang yang tahu

Cawangnya banyak mendaun kayu

Beberapa bangsa beberapa suku.



Sedutan dari Syair Asyikin rangkap ke 207 hingga ke rangka ke 213.





Di bawah ini pula saya tambah sedikit mengenai kedudukan mufti di Pahang di dalam awal kurun ke 18, jawatan mufti diberi gelaran “Imam Zul Bayan” atau امام ذو البيان  ,menurut cerita lisan nama beliau ialah Hashim. Imam Zul Bayan dalam tahun 1720-50 ini merupakan Mufti Pahang pada masa itu, beliau mempunyai anak yang diberi gelaran Imam Nur Qadim. Imam Zul Bayan ini merupakan bapa saudara sepupu kepada Imam Syahibudin, makam beliau terletak di Kg Mengkarak Bera Pahang. Pada masa ini telah di dirikan sebuah pusat pengajian diberi nama Pondok Tok Mengkarak yang sangat memerlukan sokongan tuan2/puan2. Di situ terdapat maqam Tok Mengkarak. Namun saya tidak menolak jika dari sebelah ibu Imam Syahibudin adalah dari pembesar yang datang dari Jawa atau Minangkabau jika ada bukti yang kuat dan kukuh.



Cerita ini dipendekkan

Masyhur di Pahang Imam Zul al Bayan

Ialah jadi Naib sultan

Pulang kepadanya perintah sekalian



Perkataan “ Ia lah jadi Naib Sultan” memperlihatkan tokoh ini adalah mufti yakni memberi kata putus di dalam soal2 keagamaan.Pendapat saya mengenai kewujudan mufti Pahang di zaman itu telah ditolak oleh beberapa pihak kononnya tidak wujud lagi jawatan itu pada masa tersebut. Bagi saya ungkapan ini sudah memadai kerana di Temerloh telah wujud jawatan Kadi Bangau.



Kemudian itu Imam Nurqadim

Anak yang tua lagipun alim

Mertabat besar terlalu rahim

Seisi Pahang tawakal dan salim



Jalan agama tatkala itu

Sebarang jenis sekalian laku

Berbuat ibadat sekalian nafsu

Tukang tidak membuang kayu



Berapa banyak yang handalan

Dari Jelai sampai ke Pekan

Kampung Makasar bergelar To’Uban

Dirantau Temerloh berbilang pegangan



Kepala ilmu mengenal diri

Dimitalkan tanah buyung dan kendi

Sekalian alam wujud mazaji

Hanyalah Allah yang hakiki



Berbagai jenis kias dan misal

Siapa yang menang itulah handal

Alam arwah, Alam misal

Alam ajsam, Insan Kamil



Alam lahut, Alam jabarut

Alam nasut, Alam Malakut

Ayan Thabit dimisalkan ombak

Putus makrifat disanalah hanyut



Muhadith dan Qadim disana terhimpun

Umpama laut ombak mengalun

Dimisalkan benih dengan pohon

Benihkan dahulu atau pohon





Istilah2 yang digunakan oleh Imam Syahibudin di dalam syair ini mengambarkan bahawa Imam Zul Bayan membawa kefahaman yang di bawa oleh Hamzah Fansuri dari Aceh. Ajaran ini mengikut Imam Syahibudin di zaman itu menguasai semua penduduk Pahang.Jadi jelas dari kedua-dua sumber ini menyatakan salsilah Imam Syahibudin bukan dari keturunan raja Cuma dari pembesar Pahang yang datang dari Melaka. Menurut pengamatan saya Dato Perkasa ini adalah seorang pembesar raja yang tinggal di Cenor di zaman Sultan Abd Ghafur Mahyuddin Syah dalam tahun 1600 masehi.

1 ulasan:

  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

    Web: almawaddah.info

    Salam


    Kepada:

     

    Redaksi, rektor dan para akademik


    Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


    Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

    Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


    Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan

    BalasPadam

Arkib Blog

Mengenai Penulis

Foto saya
Mengkaji dan mengenali sejarah Islam khususnya di Negeri Pahang